"Kau fikir aku kahwin dengan kau sebab aku cintakan kau ke? Puih!" ayah mendekati bonda lalu mencengkam rambut bonda dengan kuat tanpa secebis belas kasihan.
"Hei, kau dengar sini! Aku, kahwin dengan kau sebab aku taknak jaga si budak Alma tak guna tu! Dia tu tak habis-habis membebankan aku."
"Bawa mengucap bang, itu anak kandung abang."
"Kau siapa nak ajar aku soal agama ha? Kau fikir diri kau tu bagus sangat? Heh, bebal betul betina ni!"
Dahi Seyra ditunjal kuat sehingga jatuh terduduk.
PERISTIWA tempoh hari galak terpapar dalam benak fikiran bonda. Terasa sedih bertandang lalui diselimuti kekecewaan.
"Assalamualaikum bonda, Mina dah balik ni," kata Larmina seiring dengan pintu yang dibukanya. Baru sahaja dia balik dari bekerja di ladang epal berseorangan.
Bonda cepat-cepat menyeka air mata menggunakan hujung baju. Dia tidak mahu anaknya sedih melihat keadaannya begini. Cukup dia sahaja yang menderita dan bukan anak-anaknya.
"Waalaikumussalam, eh Mina dah balik?" tanya bonda bernada lembut.
"Hihi ya, bonda! Bonda dah makan ubat?" angguk Larmina sebelum bertanya, sambil mengucup tangan bondanya.
Senyuman dihadiahkan buat Larmina. "Bonda belum makan ubat lagi, ubat bonda dah habis."
"Eh habis? Kalau macamtu biar Mina pergi belikan bonda ubat ya," ucap Larmina.
"Jangan, Mina. Pekan tu jauh. Kat luar sana tu bahaya, Mina kecil lagi. Nanti kalau Mina sakit macam mana Mina nak jaga bonda?" kata bonda dan Larmina terpaksa akur.
"Mina, mai sini meh, duduk sini."
Bonda menepuk-nepuk tilam nipisnya. Mina membantu bonda untuk duduk bersandar pada dinding kayu rumah usang itu.
"Kerja tadi macam mana? Okey ke?"
"Alhamdulillah, okey je bonda." Larmina sebaliknya menjawab.
"Mina, bonda minta maaf ya? Sebab sekarang Mina terpaksa bekerja untuk sara keluarga kita. Doakan bonda cepat sembuh, supaya keadaan kembali macam dulu."
"Eh bonda janganlah minta maaf. Mina suka tau tolong bonda. Sekurang-kurangnya Mina tak adalah rasa bosan dari duduk rumah je tak buat apa-apa."
Dua pasang bola mata bonda menatap Larmina. Tatapannya syahdu, tapi layu.
'Banyaknya yang aku tak mampu beri buat anakku ini, Ya Allah. Murahkanlah rezeki keluargaku, agar kami dapat merasa sedikit kesenangan. Bukan untuk diriku, namun untuk anak-anak yang aku sangat sayangi. Bantu kami, ya Allah... bantu kami.'
Larmina mengamati wajah bening bonda. Sinar matanya dilindungi mendung. Jelas daripada riak matanya terbayang kesengsaraan dan penderitaan bagaikan tiada kesudahan.
Kata-kata juga tidak mampu untuk menghuraikan segala yang terpendam di lubuk hati terdalam.
Walaupun mulut bonda tidak mengujarkan sebarang bait kata, tetapi Larmina tahu senandikanya meronta-ronta ingin membebaskan segala luahan rasa. Sungguh, Larmina tidak sanggup melihat keadaannya begini.
Tapi, apa yang boleh Larmina buat?
Apa kanak-kanak yang baru berumur sembilan tahun mampu lakukan?
Mata Larmina dikalihkan ke tangan bonda. Tangan tua bonda digenggam kemas. Diamati tangan bonda yang uratnya jelas timbul, lalu dikucup dengan lembut.
Tangan ini... ya.
Tangan ini yang membesarkan aku. Mengusap kepalaku di kala aku menangis dan meraung. Mengelus lembut pipi dengan elusan yang penuh kasih sayang. Bonda menatang diriku dan kakak bagai minyak yang penuh.
YOU ARE READING
FREEDOM | KEBEBASAN [✓]
Krótkie OpowiadaniaSeringkali atma berbisik sendiri, bertanyakan bila kesudahannya. Lelah? Memang. Penat? Itu pasti. Sesak? Selalu terjadi. Sehinggakan dia tertanya, mengapa Tuhan tidak bersikap adil kepada dirinya? Mengapa dunia ini terlampau kejam buat dia? Air ma...