بِسْـــــــــــــــمِ اللّٰه الرَّحْمَنِ الرَّحِيـــم
RUTIN setiap hari tetap terlaksana seperti biasa. Di waktu pagi sehingga petang Larmina dan bondanya bekerja sebagai pengutip buah epal di ladang.
Hampatan waktu yang begitu mendesak menyebabkan mereka lupa sejenak dunia luar.
Angin menjatuhkan daun-daun kering dari pohon-pohon yang berjejer di sepanjang jalan.
Mentari bersinar cerah, namun tak terasa bahangnya kerana diselimuti awan tebal. Angin bayu berhembus membisikkan pesan, bahawa petang itu alam memilih untuk berlembut-lembut dengan umat manusia.
Namun dalam ketenangan itu, lain pula keadaan di rumah Larmina.
"Setakat keputusan yang suam-suam kuku tu, baik tak payah pergi sekolah. Buat habis duit aje."
Alma genggam tangan sendiri. Cuba bertahan. Slip peperiksaannya sudah terbang entah ke mana dibaling dek ayah.
"Yah, keputusan kakak okeylah. Tengok ni, ada subjek yang akak lulus tau!" Larmina terpanggil untuk membela kakak tirinya.
"Larmina, kamu diam. Budak-budak tak payah nak menyampuk. Diri sendiri pun tak sekolah, ada hati nak cakap pasal orang."
"Si kakak kamu ni, dia memang dari dulu bengap. Apa yang dia belajar dekat sekolah tu entah." Hamza menambahkan lagi rasa sedih yang sudah berkilo-kilo membakul dalam hati Alma.
"Alma minta maaf, ayah. Alma minta maaf sebab Alma tak dapat bagi keputusan yang membanggakan ayah," tutur Alma perlahan. Kecewa dan sedih.
"Maaf, maaf. Naik muak telinga ni dengar. Sikit-sikit minta maaf lepastu usaha satu pun tak ada! Apa nak jadi dengan kamu ni? Haih naik rimas betullah duduk dalam rumah ni! Dahlah makanan satu pun tak ada! Balik-balik tunjuk dekat aku keputusan macam itu!"
"Abang, kenapa cakap macam itu dekat anak? Alma punya keputusan ni cukup baik, bang," ujar bonda juga membela Alma.
"Lagipun... ini salah kita jugak," sambungnya. Nada yang dituturkannya sedikit perlahan.
"Ha? Salah kita? Hei, kau jangan nak menyalahkan aku pula eh. Manusia kalau nak berjaya hidup susah pun boleh berjayalah! Semua tu alasan je!" sangkal Hamza.
Alma hanya membatu di situ. Tidak mampu untuk membalas. Hamza mahu melangkah keluar namun cepat-cepat ditahan bonda.
"Abang nak pergi kemana tu?" soal bonda bernada lembut.
"Aku nak keluar, nanti aku balik ah," jawab ayah sebelum terus keluar dari rumah. Pintu rumah dihempasnya dengan kuat sehingga terhinjut bahu semua orang yang berada di dalam rumah itu.
Wajah bonda dikalihkan ke arah Alma. Meskipun hatinya turut bersedih, namun tetap dia cuba untuk mengukir senyum.
Alma membongkok lalu mengambil slip keputusannya dan meluru keluar dari rumah menuju ke pangkin.
YOU ARE READING
FREEDOM | KEBEBASAN [✓]
Historia CortaSeringkali atma berbisik sendiri, bertanyakan bila kesudahannya. Lelah? Memang. Penat? Itu pasti. Sesak? Selalu terjadi. Sehinggakan dia tertanya, mengapa Tuhan tidak bersikap adil kepada dirinya? Mengapa dunia ini terlampau kejam buat dia? Air ma...