BAB 1

271 16 0
                                    

PINTU rumah agam itu dibuka dengan penuh berhati-hati oleh sekumpulan lelaki, lengkap berpakaian seragam serta baju kalis peluru berwarna biru gelap yang mempunyai perkataan POLIS di belakang masing-masing.

Bersedia dengan senjata masing-masing, salah seorang daripada mereka mengangkat tangan, memberi isyarat untuk berpecah bagi memeriksa setiap ruang di dalam rumah agam tersebut.

Masing-masing mengangguk faham lantas mula berpecah dengan langkah yang penuh berhati-hati. Satu kumpulan memeriksa di bahagian ruang tamu dan sekeliling rumah sementara satu kumpulan lagi bergerak naik ke tingkat atas.

Di tingkat satu, mereka berpecah kepada dua kumpulan yang lebih kecil. Satu kumpulan akan memeriksa tingkat satu manakala satu lagi kumpulan akan memeriksa tingkat dua.

Memandangkan keadaan rumah agak suram, mereka terpaksa menggunakan lampu suluh kecil pada senjata masing-masing.

Di tingkat satu, anggota polis di barisan paling hadapan bersedia memeriksa di hadapan mereka. Manakala seorang lagi di belakang, bertanggungjawab menjaga keselamatan mereka. Bimbang jika ada sesiapa menyelinap dari belakang.

Mereka mengatur langkah ke arah salah sebuah bilik yang berada di sebelah kanan mereka. Anggota paling hadapan menghentikan langkah, memberi isyarat sebelum mereka menyerbu masuk.

Setelah memastikan masing-masing bersedia, barulah mereka melangkah masuk.

Pintu yang tidak ditutup rapat itu ditolak, luas. Mereka melangkah masuk, memeriksa setiap ruang bilik itu. Di belakang pintu, di bawah katil, di dalam almari dan di dalam bilik air.

Kosong.

Mereka mula bergerak ke bilik seterusnya. Di tingkat ini sahaja sudah ada empat buah bilik. Belum termasuk lagi yang ada di tingkat dua.

Ruang yang luas membuatkan mereka lebih berhati-hati. Bimbang jika mereka tidak bersendirian di rumah ini.

Bilik seterusnya dihampiri. Sama seperti tadi, setelah diberi arahan oleh ketua pasukan, barulah mereka melangkah masuk.

Kosong.

Mereka saling berpandangan, sempat menghubungi rakan-rakan yang lain untuk memastikan keadaan mereka. Nampaknya kumpulan lain juga masih belum menemui apa-apa.

Mereka mengatur langkah ke sebuah lagi bilik yang sedikit tertutup. Saat itu mereka dapat menghidu bau yang kurang enak, yang mungkin datang dari bilik itu. Mereka saling berpandangan, mulai berasa curiga lantas mengatur langkah dengan penuh berhati-hati.

Mereka yakin ada sesuatu di dalam bilik itu.

Pintu dikuak perlahan-lahan sebelum dua pegawai polis di hadapan mengacu senjata ke arah seorang budak lelaki yang duduk di atas katil, berlumuran darah sambil memegang sesuatu.

Mereka saling berpandangan sebelum salah seorang daripada mereka bergegas mendapatkan budak lelaki itu. Bahu itu disentuh, lembut. Tak mahu mengejutkan budak lelaki itu.

"Adik, adik okey? Nama adik siapa?" soal anggota polis itu, cuba memastikan keadaan budak lelaki yang kelihatan pucat dan tidak bermaya itu.

Budak lelaki itu juga kelihatan seperti sedang termenung jauh. Tak pasti apa yang sedang bermain dalam fikirannya.

"Dik...?" Anggota polis itu bertanya lagi.

Namun, budak itu masih tidak menjawab. Sekadar memandang wajah anggota polis itu tanpa perasaan.

Anggota polis itu tunduk memandang sesuatu yang berada di tangan budak tersebut. Darah yang masih segar...

Alat komunikasi mudah alih di bahu dihidupkan.

"Tuan, kami jumpa seorang budak lelaki. Berumur lebih kurang 10 tahun, di bilik tidur utama. Kami juga jumpa sesuatu. Minta hubungi pihak forensik dan ambulans untuk datang ke sini. Kami akan bawa budak ni keluar sekarang juga," ucap anggota polis itu, lalu mendukung budak itu selepas mengetepikan benda yang dipegangnya dari tadi.

Tiba-tiba salah seorang anggota pasukan khas daripada kumpulan lain menghubungi pasukan itu.

"Kami juga jumpa sesuatu. Bilik di dapur. Kami akan bergerak keluar sekarang."

Suasana kembali sunyi setelah talian diputuskan. Mereka saling berpandangan. Apa dah jadi di rumah ini?

Masing-masing mula tertanya-tanya. Lebih-lebih lagi selepas apa yang mereka jumpa di dalam rumah ini.


SETELAH selamat membawa budak lelaki itu keluar, anggota polis itu meletakkan budak lelaki itu di dalam kenderaan polis sementara menunggu pihak ambulans dan forensik tiba.

Tubuh yang kesejukan itu diselubung dengan selimut dengan berhati-hati supaya tidak terkena darah di tangannya. Ia merupakan salah satu bukti fizikal yang boleh digunakan oleh pihak forensik dalam membantu siasatan.

"Dik, nama adik siapa? Ada sesiapa yang datang rumah ke tadi? Adik kenal orang yang buat semua ni?" soal anggota polis itu sambil memegang bahu itu. Erat.

Wajah yang masih termenung dan tidak berperasaan itu ditatap lama. Berharap agar budak ini memberikan jawapan tentang apa yang telah berlaku.

Dia yakin budak ini ada jawapannya.

"Dik?" tegur anggota polis itu lagi apabila tiada respons.

Tiba-tiba budak lelaki itu menggeleng perlahan.

"Dik, abang ni polis. Cuba bagitau abang apa yang berlaku tadi, hmm?"

Anggota polis itu tunduk memandang tangan kecil itu apabila menyedari jari-jemari itu menggigil. Nampaknya dia dalam ketakutan. Apa dah jadi sebenarnya ni? Otaknya masih ligat berfikir, cuba merungkai pelbagai persoalan dalam kes ini.

Anggota polis itu menoleh sekejap ke arah rumah agam tersebut. Mereka perlu tahu apa yang dah jadi di sini dan dia yakin kejadian ini...

"Inspektor Suhaimi, saya jumpa buku ni di meja sisi katil bilik tetamu tadi. Nampaknya ada beberapa nombor yang boleh kita hubungi," ucap salah seorang rakan sepasukannya.

"Bagus. Hubungi sesiapa yang ada kaitan rapat dengan keluarga budak ni. Kita perlukan seseorang untuk bantu kita kat sini!" tegas Inspektor Suhaimi seraya menoleh ke arah budak itu.

"Baik, inspektor!"

Selang beberapa minit kemudian, pihak ambulans tiba di pekarangan rumah itu, diikuti dengan pihak forensik. Kawasan rumah agam itu mula dikuarantin bagi memudahkan pihak forensik menjalankan tugas mereka.

Inspektor Suhaimi mula mengarahkan pihak ambulans memeriksa budak lelaki itu.

Saat dua orang anggota paramedik menghampiri budak itu, berkira-kira ingin memeriksa tubuh itu, entah bagaimana, budak itu rebah. Tidak sedarkan diri.

Keadaan bertukar cemas.

"Cepat bawa dia ke dalam ambulans!" arah salah seorang paramedik itu kepada rakan setugasnya.

Mereka bergegas mendukung budak lelaki itu lantas dibawa masuk ke dalam ambulans.

Inspektor Suhaimi berkira-kira mahu mendapatkan salah seorang paramedik tersebut untuk mengetahui keadaan budak lelaki itu, namun niatnya terpaksa dilupakan apabila dia diperlukan oleh rakan sepasukannya dan pihak forensik.

Inspektor Suhaimi sekadar memandang kereta ambulans yang mula bergerak pergi. Dia berharap agar kanak-kanak itu dapat diselamatkan. Dia mungkin dapat membantu dalam siasatan ini.

Di pintu pagar rumah agam itu, sebuah kereta hitam memasuki pekarangan rumah itu, lalu berhenti di sebelah van forensik.

Sekali lagi tumpuan Inspektor Suhaimi beralih. Dia menoleh ke arah seorang lelaki yang lebih kurang sebaya dengannya, keluar dari kereta dengan keadaan terkocoh-kocoh lantas mendapatkan sesiapa sahaja yang lalu di hadapannya.

Anggota polis yang ditegurnya menuding jari ke arah Inspektor Suhaimi, tanda dialah yang bertanggungjawab dalam kes ini.

Inspektor Suhaimi dan lelaki itu saling berpandangan.

BIDADARA TAK BERSAYAPWhere stories live. Discover now