BAB 2

85 10 1
                                    

DI hospital berhampiran, lelaki yang masih berbaju tidur dan berselipar itu dilihat berjalan terkocoh-kocoh menghampiri katil di wad kecemasan yang menempatkan budak lelaki yang telah diselamatkan oleh pihak polis tadi.

Tidak jauh di belakangnya, kelihatan sepasang suami isteri turut mengekorinya bersama Inspektor Suhaimi. Daripada keadaan ketika itu, nampaknya pasangan suami isteri dan lelaki berbaju tidur itu sudah pun sedia maklum dengan kejadian di rumah agam itu.

Sebaik sahaja mereka tiba di katil, kelihatan doktor sedang memeriksa IV drip yang terpasang di sisi katil.

"Halim, macam mana keadaan Daniel?" soal Yusuf.

Nampaknya Yusuf dan yang lain memang sudah mengenali doktor yang sedang merawat Daniel, telah Inspektor Suhaimi sendirian. Dia mengerling sekilas ke arah Daniel yang masih terbaring di katil, tidak sedarkan diri.

Pasangan suami isteri tadi sudah awal-awal lagi mendapatkan Daniel di katil. Lebih-lebih lagi si isteri yang sedang menangis teresak-esak.

Doktor Halim memandang Daniel yang masih tidur.

"Rasanya elok la kalau kita berbincang. Kita beri Daniel ruang untuk berehat. Mari," pelawa Doktor Halim, lalu beredar terlebih dahulu.

Dia diikuti Datuk Zulkifli, Inspektor Suhaimi dan Yusuf.

Isteri Datuk Zulkifli, Datin Yuslina, tidak mahu turut bersama. Dia mahu menemani Daniel di katil.

Di luar bangunan hospital, setelah diterangkan oleh Doktor Halim mengenai keadaan Daniel, diikuti Inspektor Suhaimi yang menceritakan apa yang telah berlaku di lokasi kejadian, segala-galanya seperti satu puzzle yang menghubungkan kisah malam itu.

Punca Daniel tidak sedarkan diri sudah diketahui.

Mereka menjadi kelu seribu bahasa buat seketika. Nampaknya masing-masing memerlukan masa untuk menghadam semua ini.

Memang tak disangka kejadian seperti itu boleh menimpa keluarga rakan mereka. Lebih-lebih lagi kejadian itu membuatkan Daniel menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.

Yusuf tertunduk sambil mengepal buku limanya. Nafasnya kedengaran tidak menentu, menahan segala rasa yang terbuku di hati.

"Siapa yang dengki sangat dengan Is, Zul? Sampai hati dia buat diorang macam tu!" tegasnya, tak puas hati.

"Aku tak tahu. Nampaknya kita perlu siasat perkara ni dengan lebih dalam. Buat masa ini, kita perlu pastikan Daniel tak apa-apa. Itu je harapan kita. Dia mungkin saksi dalam kejadian ni."

"Ya, kami pun percaya Daniel satu-satunya saksi dalam kejadian ini. Apa-apa pun, kita perlu tunggu Daniel sedar," tambah Inspektor Suhaimi.

Datuk Zulkifli, Doktor Halim dan Yusuf, saling berpandangan. Kini, pelbagai perkara sedang bermain dalam fikiran mereka.

"Nampaknya bukan itu je yang kita perlu tunggu." Satu suara kedengaran, menghentikan perbualan tiga lelaki itu.

Masing-masing menoleh ke arah Datin Yuslina. Agak terkejut dengan kehadiran wanita itu. Ada air mata yang mengalir di pipi itu.

"Ina, apa maksud awak?" soal Datuk Zulkifli, tidak mengerti.

Datin Yuslina menghampiri suaminya sambil mengesat air mata. Dia cuba mengawal sebak di dada.

"Daniel, bang..."

"Kenapa dengan dia? Dia dah sedar ke?" soal Doktor Halim, berkira-kira mahu beredar untuk memeriksa Daniel.

Namun, kata-kata Datin Yuslina seterusnya membuatkan kakinya menjadi kaku.

"Daniel tak kenal Ina, bang. Daniel tak kenal Ina. Dia... dia tak ingat apa-apa! Apa patut kita buat ni, bang?" esak Datin Yuslina di bahu suaminya.

Masing-masing mengucap panjang seketika. Tanpa membuang masa, Doktor Halim bergegas kembali ke wad Daniel.

Datuk Zulkifli mengurut dahinya. Dia sudah menganggap Daniel seperti anaknya sendiri. Disebabkan keluarganya rapat dengan keluarga Daniel, dia melihat anak itu membesar sejak lahir sehingga kini.

Tambahan pula, dia tidak mampu mempunyai anak. Jadi, kehadiran Daniel dalam hidupnya amatlah istimewa. Dia tak mampu bayangkan hidupnya tanpa Daniel.

Yusuf meraup wajahnya. Satu keluhan berat kedengaran dari mulutnya.

Daniel kini sudah hilang ingatan. Apa akan jadi lepas ini? Macam mana mereka nak terangkan keadaan sekarang kepada Daniel jika dia bertanya nanti?

Keadaan menjadi semakin tegang apabila Daniel tidak mampu mengingati apa-apa, termasuklah apa yang berlaku dalam kejadian malam ini. Niat mereka untuk mendapatkan maklumat daripada Daniel terkubur begitu sahaja.

"Kejap... Ada yang tak kena. Cuba korang fikir, kenapa Daniel selamat sedangkan Is dengan Hanna serta pengasuh dia tak? Kalau dia nak bunuh, baik dia bunuh je semua, kan?" Yusuf teringat sesuatu.

Datuk Zulkifli, Inspektor Suhaimi dan Datin Yuslina saling berpandangan, menyedari perkara yang sama.

"Ah, ya tak ya. Pelik jugak kalau dia biarkan Daniel hidup sedangkan dia bunuh semua orang dalam rumah tu."

"Memandangkan ini adalah kes pembunuhan kejam, mungkin suspeknya adalah orang yang dengki dengan keluarga ini. Jadi, ada sesiapa yang terlintas dalam fikiran kamu semua?" Inspektor Suhaimi cuba mendapatkan serba sedikit maklumat.

Yusuf dan yang lain saling berpandangan. Kelu seketika, namun tetap memikirkan sesiapa yang pernah berdengki dengan keluarga Daniel.

"Maafkan kami, inspektor. Kami tak pasti. Tapi, jangan risau, kami akan bantu dalam siasatan. Kami akan bagi apa-apa saja maklumat yang pihak polis inginkan." Datuk Zulkifli tegas bersuara.

Dia mahu menuntut bela atas kematian rakan baiknya. Dia takkan izinkan pembunuh mahupun orang yang merancang kejadian ini terlepas begitu sahaja!


SEORANG jururawat menghampiri seorang lelaki yang sedang menemani anak kecilnya yang mengalami demam panas.

"Encik Malik?"

Lelaki yang dikenali sebagai Encik Malik itu menoleh. "Ya, nurse?"

"Masa untuk beri dia ubat ya."

"Oh, ya, ya... Sayang, Balqis... Sayang, bangun. Nurse datang ni nak bagi ubat..." Encik Malik mengejutkan Balqis yang sedang tidur sambil mengusap lengan kecilnya.

Balqis membuka matanya perlahan-lahan. Matanya terasa panas. Badannya juga lemah, tidak berdaya sehingga doktor perlu memasukkan drip ke dalam badannya.

Encik Malik segera membantu anaknya bangun untuk makan ubat.

"Makan ubat ni ya. Nanti Qis cepat sihat, cepat boleh balik rumah jumpa mak," bisik Encik Malik, perlahan.

Enggan mengganggu kanak-kanak lain di wad tersebut.

Balqis hanya mengangguk lemah.


DATIN YUSLINA mengambil tempat di sisi katil.

Daniel sekadar memandang wajah itu, kosong. Malam sudah lewat. Matanya masih tidak boleh pejam apatah lagi rasa mengantuk.

"Daniel, tidurlah, sayang. Dah malam ni. Tidur ya?" pujuk Datin Yuslina sambil membetulkan selimut di tubuh itu.

Dia tahu Daniel pasti letih dan keliru dengan apa yang telah berlaku hari ini.

"Mak cik ni siapa?" soal Daniel, kehairanan.

Soalan itu cukup mengusik hati Datin Yuslina. Hatinya mula diserang rasa sebak. Pantas dia menggigit bibir, menahan rasa itu.

"Mama. Ini mama, Daniel. Daniel tidur ya? Mama teman Daniel kat sini. Mama takkan pergi mana-mana. Tidur la," ucap Datin Yuslina lembut sambil mengusap lengan Daniel.

Dia berusaha mengukir senyuman agar Daniel tidak berasa kekok dengan suasana ketika itu.

Daniel yang baru berumur 10 tahun itu hanya mengangguk perlahan. Sememangnya dia tak pasti apa yang sedang berlaku ketika ini dan kanak-kanak sepertinya tidak mampu untuk berfikir mahupun mengesyaki apa-apa.

Apa-apa pun, tubuh yang letih akhirnyamemaksanyauntuk melelapkan mata. 

BIDADARA TAK BERSAYAPWhere stories live. Discover now