BAB 5

57 6 0
                                    

Beberapa hari kemudian...

PAKAIAN dimasukkan ke dalam but kereta. Datin Yuslina melutut di hadapan Daniel yang sudah bersiap. Wajah itu disentuh, lembut.

"Sayang, sayang pergi dulu ya. Nanti mama dengan papa datang jenguk Daniel kat sana, hmm?" ucapnya, lantas mengucup lama dahi Daniel.

Walaupun wajah itu tampak muram kerana ibu bapanya tidak turut bersamanya ke luar negara, namun dia akur. Mungkin ibu bapanya ada hal lain yang perlu diuruskan.

"Daniel, nanti Daniel kena ikut cakap Pak Cik Yusuf. Daniel akan tinggal dengan dia kat sana," pesan Datuk Zulkifli pula sebelum menghantar pandangan ke arah rakannya, Encik Yusuf.

Encik Yusuf sekadar mengangguk, seakan-akan memahami maksud pandangan rakannya itu.

"Okey, papa. Papa dengan mama jangan lupa tau datang nanti."

"Ya, sayang. Dah, pergilah. Nanti lewat. Sampai sana nanti, Pak Cik Yusuf akan ajar Daniel macam mana nak call mama dengan papa. Nanti kita boleh borak-borak lagi."

"Okey."

Datin Yuslina memimpin tangan itu menuju ke kereta.

Sementara itu Encik Yusuf berjabat tangan dengan Datuk Zulkifli sebelum mengambil tempatnya di tempat duduk pemandu.

Disebabkan mereka perlu bergerak secara rahsia, Datuk Zulkifli dan Datin Yuslina tak dapat turut sama dan mereka perlu bergerak pada waktu malam. Dengan bantuan pengawal peribadi yang diupah, kawasan rumah Datuk Zulkifli dikawal supaya tiada sesiapa yang mencurigakan menyedari pergerakan mereka.

Datuk Zulkifli dan Datin Yuslina sekadar memandang kereta Myvi hitam itu bergerak keluar dari pekarangan rumah mereka. Dengan harapan semuanya berjalan dengan lancar demi masa depan Daniel.

Datuk Zukifli memeluk bahu Datin Yuslina rapat ke tubuhnya. Datin Yuslina hanya tersenyum tawar, lalu meletakkan kepala ke bahu suaminya itu.


SEPANJANG berada di luar negara, Encik Yusuf yang menguruskan persekolahan Daniel.

Setelah beberapa bulan, dia mula menyedari bahawa Daniel kelihatan agak sukar untuk bergaul dengan orang asing. Walaupun sesetengah daripada mereka menerima Daniel dengan baik, namun masih ada yang cuba mengganggunya kerana Daniel bukan seperti mereka.

Encik Yusuf mulai bimbang. Lebih-lebih lagi apabila Daniel mula enggan hadir ke sekolah.

Encik Yusuf menghampiri Daniel yang sedang berteleku di meja biliknya pagi itu. Wajah itu seperti biasa, muram.

"Daniel, kenapa Daniel tak nak pergi sekolah? Budak-budak kat sana kacau Daniel lagi ke?" soal Encik Yusuf, ingin tahu.

Kalau boleh, dia tak mahu berpindah. Nak atau tak, mereka perlu menetap di sini. Berpindah-randah hanya akan mengganggu rancangan mereka untuk mendidik Daniel.

Daniel perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini.

"Diorang... diorang tak suka Daniel, pak cik." Perlahan sahaja suara itu, tidak bersemangat.

"Kenapa Daniel kata macam tu?" Encik Yusuf duduk menghadap Daniel sambil menyentuh lutut Daniel.

Daniel pandang wajah di hadapannya itu.

"Diorang kata Daniel tak macam diorang. Diorang tak suka Daniel!" tegas Daniel, geram.

Buku limanya dikepal erat. Entah apa salahnya, dia pun tak tahu. Hampir semua orang enggan berkawan dengannya!

Kalau dia tahu akan jadi begini, tak ingin dia berpindah ke sini. Mama dengan papa pun tak pernah menjenguknya di sini. Hari itu berjanji nak datang, tapi entah bila!

BIDADARA TAK BERSAYAPWhere stories live. Discover now