DATIN YUSLINA menghampiri katil yang menempatkan Daniel di wad kanak-kanak. Kelihatan Daniel sedang termenung, memandang kanak-kanak yang lebih kurang sebaya dengannya di katil sebelah. Datin Yuslina mengukir senyuman nipis.
"Daniel, Daniel buat apa tu?" tegurnya mesra sambil mengambil tempat di tepi katil.
Tangannya mendarat di bahu kecil itu, lalu diusap perlahan.
Daniel menoleh, memandang wajah asing di sisinya.
"Betul ke mama ni mama Daniel?" soalnya, perlahan.
"Kenapa Daniel tanya macam tu? Mama ni mama Daniel la. Macam kawan-kawan Daniel tu, Daniel pun ada mama jugak."
Daniel tidak menjawab. Dia mengalihkan pandangan ke arah kanak-kanak lain yang sedang berbual dengan ibu mereka.
Datin Yuslina sekadar memandang wajah Daniel. Dia tahu anak kecil ini masih bingung dengan keadaan kini. Tapi tak apa, dia akan berusaha menjadi ibu kepada Daniel. Sebaik yang mungkin.
Dia tak mahu anak kecil ini mengingati apa-apa yang buruk mahupun bersedih. Dia mahu Daniel gembira seperti kanak-kanak sebayanya.
"Ina," tegur satu suara.
Datin Yuslina menoleh ke belakang. Suaminya datang menghampiri bersama bungkusan makanan dan minuman di tangan. Bungkusan plastik itu diletakkan di atas meja sebelum dia turut mengambil tempat di sisi isterinya.
"Daniel, jom kita makan sama-sama, nak?" ajak Datuk Zulkifli, mesra.
Daniel menoleh sebelum mengangguk perlahan. Wajah itu masih sama. Tidak menunjukkan sebarang riak, selain tenang.
"Okey, biar mama pergi basuh sudu ni. Daniel duduk dengan papa kejap ya."
Datin Yuslina segera bangun, membawa tiga sudu ke bilik air untuk dibasuh terlebih dahulu.
Datuk Zulkifli sekadar tersenyum sebelum kembali memandang Daniel.
"Daniel, Daniel nak pergi jalan-jalan tak?"
"Pergi mana?"
"Kita jalan-jalan kat negara orang. Jauh kat sana tu..." Datuk Zulkifli menuding jari ke luar tingkap.
Daniel sekadar menghantar pandangan ke arah itu sebelum mengangguk perlahan.
"Daniel nak?"
"Hmm, nak. Kat sana ada salji tak, papa?"
Datuk Zulkifli terdiam sejenak apabila anak kecil itu memanggilnya papa. Entah kenapa hatinya dipagut rasa sebak. Namun, senyuman tetap diukir.
Laju Datuk Zulkifli mengangguk.
"Hmm... ada, banyak. Nanti kita boleh main bola salji sama-sama."
Tanpa disangka, wajah yang sentiasa menayangkan riak tenang itu mula mengukir senyuman. Datuk Zulkifli terpempan seketika sebelum turut mengukir senyuman. Lega.
Mungkin betul keputusan mereka untuk membawa Daniel ke luar negara. Daniel mungkin dapat dipulihkan dan dalam masa yang sama, keselamatan Daniel akan lebih terjamin di luar sana.
"Hai..."
Lamunan Datuk Zulkifli terhenti apabila seorang kanak-kanak perempuan tiba-tiba datang menyapa mereka.
Encik Malik yang baru menyedari anaknya sudah pergi ke katil pesakit lain, bergegas menahan anaknya daripada terus menghampiri Daniel.
"Maaf ya, maaf. Qis, kenapa kacau abang ni?"
"Eh, tak apa. Anak dah discharge ke?" tegur Datuk Zulkifli sebelum tersenyum ke arah Balqis.
Comel kanak-kanak perempuan ini, bisik hatinya sendiri.
"Ya, baru nak balik ni. Dia excited pulak bila dapat keluar ni. Almaklum la, baru lepas baik demam."
"Ooo... Yalah, budak-budak kan. Bila dah sihat, bukan main aktif lagi. Nama siapa?" Datuk Zulkifli menyapa Balqis.
"Balqis," sahut Balqis penuh teruja.
"Ooo... Balqis. Sedap nama Balqis. Umur berapa?"
"Enam tahun."
"Abang Daniel ni 10 tahun." Datuk Zulkifli menepuk lembut kaki Daniel yang hanya membisu itu.
"Wau..." Balqis tersenyum kepada Daniel.
Namun, Daniel sekadar tayang wajah tenangnya.
"Kenapa anak abang masuk hospital?" soal Encik Malik, ingin tahu.
Datuk Zulkifli menoleh ke arah Daniel sebelum kembali tersenyum nipis.
"Dia pun kurang sihat. Biasalah, budak-budak."
"Hmm. Yalah, biasalah kan budak-budak ni. Balqis, salam pak cik. Kita dah nak balik ni," arah Encik Malik, sopan.
Balqis segera mendapatkan Datuk Zulkifli dan mengucup tangan itu. Datuk Zulkifli sempat mengusap kepala anak kecil itu sambil tersenyum.
"Balqis jaga diri. Belajar baik-baik dan dengar cakap mak ayah ya."
"Okey."
Balqis dan Encik Malik mula beredar meninggalkan wad kanak-kanak itu. Balqis sempat menoleh ke belakang, memandang wajah muram Daniel buat kali terakhir. Tiba-tiba langkahnya terhenti.
Encik Malik menoleh. Terkejut apabila melihat Balqis kembali mendapatkan budak lelaki tadi.
"Balqis! Ya Allah, budak ni." Encik Malik bergegas mendapatkan Balqis semula.
Datuk Zulkifli menoleh apabila menyedari kehadiran Balqis. Begitu juga Daniel.
"Eh, Balqis datang balik? Kenapa, sayang?"
"Abang Daniel, ini untuk abang," ucap Balqis sambil menghulurkan patung key chain kegemarannya yang diambil dari beg.
"Kenapa Balqis bagi dekat Abang Daniel? Ini kan Balqis punya," soal Datuk Zulkifli, kehairanan.
Dia dan Encik Malik saling berlaga pandangan.
"Tak apa. Qis bagi kat Abang Daniel supaya Abang Daniel cepat-cepat sihat. Boleh balik rumah, macam Qis."
Balqis tersenyum lebar sehingga menampakkan semua giginya.
Daniel dan Balqis saling berpandangan. Walaupun Daniel tidak mengerti, Balqis tetap tersenyum lebar. Daniel hanya mampu melihat key chain berbentuk patung beruang yang sudah berada di tangannya ketika itu.
"Terima kasih, Balqis," ucap Datuk Zulkifli bagi pihak Daniel.
"Sama-sama. Bye-bye!"
YOU ARE READING
BIDADARA TAK BERSAYAP
RomanceTajuk: BIDADARA TAK BERSAYAP Penulis: SHAFINAZ HANAFI Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2902-32-4 Hidup yang selama ini disangka normal, bertukar secara tiba-tiba apabila identiti dirinya berubah. "You're adopted, Daniel. You're Daniel Henry, the on...