Tiga tahun kemudian...
BALQIS mengambil tempat di meja belajarnya, lalu menghidupkan komputer ribanya. Dia mahu memeriksa e-melnya memandangkan keputusan permohonan untuk dia belajar di luar negara sudah keluar.
Jantungnya berdegup kencang. Tak sabar-sabar untuk mengetahui keputusannya.
"Tenang, Balqis, tenang. Kalau dapat, alhamdulillah. Kalau tak dapat pun, banyak universiti dalam Malaysia ni yang tawarkan kursus yang sama. Relaks, relaks..." bisik Balqis sambil mengusap dadanya terlebih dahulu.
Selepas itu, barulah tangannya bersedia untuk menaip dan membuka e-mel. Selang beberapa saat kemudian, baca dan baca... satu senyuman terukir lebar di bibir merahnya. Balqis menekup mulutnya, terharu.
Ya, dia dapat. Permohonannya untuk sambung belajar di luar negara diluluskan!
Balqis segera bangun untuk mendapatkan ibu bapanya.
"Mak!!!"
"Ha, apa dia?" Gelabah Puan Ain dibuatnya. Dia segera menghampiri anaknya itu.
Balqis pula pantas memegang tangan ibunya sebelum melompat keriangan.
"Qis dapat belajar dekat luar negara!"
"Ha? Betul ke?"
Balqis mengangguk laju dan serta-merta Puan Ain turut menjerit keriangan sambil melompat-lompat. Tak ubah seperti kanak-kanak mereka ketika itu.
Sorakan kegembiraan itu menghiasi ruang rumah itu.
DI lapangan terbang antarabangsa Amsterdam, kelihatan Balqis dan Maya baru sahaja selesai mendapatkan bagasi masing-masing. Mereka mula bergerak ke pintu keluar memandangkan pihak universiti sudah menyediakan pengangkutan percuma ke universiti bagi pelajar-pelajar Malaysia.
"Boleh tahan sejuk dekat sini, kan?" Maya tersengih sambil mengusap kedua-dua lengannya.
"Of course la. Nama pun luar negara. Ni nasib baik kita pergi belum musim salji. Kalau tak, dengan aku-aku beku dekat sini." Balqis melawak sambil mengusap tapak tangannya yang sejuk.
Maya hanya ketawa sambil menggeleng kepala. Macam-macam la kau ni, Balqis.
"Dah, dah. Jom naik bas cepat. Aku dah nak terkencing ni."
"Jom, jom."
Balqis dan Maya mempercepat langkah, mendapatkan bas mereka. Mujur ada pelajar Malaysia yang tolong pegangkan papan tanda. Kalau tak, boleh tersalah bas jadinya.
"Nama siapa?" soal pelajar Malaysia yang bertugas untuk memeriksa nama pelajar-pelajar baru sebelum masuk ke dalam bas.
"Nurul Balqis Afia binti Malik."
"Maya Alia binti Tarmizi."
Pelajar itu mula menanda nama mereka berdua.
"Baik, boleh letak beg di ruang bagasi tu. Lepas tu terus naik bas. Kita akan gerak sekejap lagi."
"Terima kasih."
Maya dan Balqis segera memasukkan bagasi masing-masing dan masuk ke dalam bas. Mereka mengambil tempat di bahagian hadapan kerana hanya di situ sahaja yang masih kosong.
"Wahh, bestnya, Qis. Tak sabar pulak aku!" bisik Maya, teruja.
Balqis tersenyum lebar, turut teruja. Dia sempat menoleh ke luar, melihat orang awam keluar masuk di pintu utama lapangan terbang itu.
YOU ARE READING
BIDADARA TAK BERSAYAP
RomanceTajuk: BIDADARA TAK BERSAYAP Penulis: SHAFINAZ HANAFI Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2902-32-4 Hidup yang selama ini disangka normal, bertukar secara tiba-tiba apabila identiti dirinya berubah. "You're adopted, Daniel. You're Daniel Henry, the on...