PROLOG

414 24 6
                                    

PAWANA pada petang itu membibitkan ambien yang damai. Pepohon hijau di perkarangan rumah melambai-lambai ditiup angin. Mega di kaki jumantara meredupkan cuaca. Menutup kirana mentari yang menjadi cahaya penghulu jagat.

Si perjaka berceloreng menerawangkan pandangan ke sekeliling rumah. Nafas panjang dihela. Melepaskan renjana yang bermukim di dinding hatinya. Sudah setahun dia berada di bumi Lubnan. Menggalas tanggungjawab dalam misi pengaman. Meninggalkan teratak yang menjadi saksi asmaraloka dua hati yang disatukan kerana takdir.

Sebaik saja kaki melangkah masuk, si perjaka meleretkan senyuman manis. Menimbulkan lekuk di kedua belah pipi. Lekuk yang diwarisi daripada ibunya. Tatkala figura ibunya terlintas di ruang memori, ada renjana yang menghias tangkai hati si perjaka. Dia berkira-kira akan melawat ibu dan abahnya dalam masa terdekat. Melepaskan rindu.

Dengan langkah yang gagah, si perjaka melepaskan rehat di ruangan bilik kerja abahnya. Bilik kerja yang turut dijadikan bilik bacaan kelihatan mendamaikan tatkala bau bunga mawar menusuk rongga nasal. Pasti pewangi bilik itu sentiasa diganti oleh isterinya.

Di ruangan bacaan itu, kelihatan tiga buah rak buku yang tersusun kemas. Kata ibu, bilik bacaan itu merupakan hadiah daripada abah. Dek ibunya suka membaca karya Hamka, sebuah rak buku yang dipenuhi dengan karya Hamka turut disediakan. Teringat akan perkara itu, senyumannya melebar. Sungguh, dia suka mendengar kisah cinta di antara abah dan ibunya. Bisa dijadikan sebagai pengajaran kepadanya yang baru berumah tangga.

Beret di atas kepala diletak di atas meja. Kelihatan bingkai gambar foto pernikahan abah dan ibunya. Mereka kelihatan bahagia dengan senyuman yang menjadi penyeri wajah. Bagai pinang dibelah dua. Melihat foto itu saja membuatkan renjana semakin membuak-buak di atma si perjaka. Tak sabar rasanya mahu menemui abah dan ibu. Hanya saja dia perlu menemui isteri tercintanya terlebih dahulu.

Memberikan kejutan buat juita hatinya.

Sebaik saja dia melabuhkan duduk di kerusi, matanya tertancap ke arah sebuah diari berkulit biru tua. Dahinya berkerut melihat buku yang kelihatan asing. Lantas, dia mencapai seraya membelek-belek diari tersebut. Kertasnya sudah kelihatan kekuningan. Dakwat pena juga semakin pudar. Namun, tulisannya masih jelas untuk dibaca.

Tatkala foto ibunya terjatuh daripada buku, si perjaka terus terbejat untuk membelek. Foto ibunya ketika zaman muda dicapai seraya dikelip di dalam helaian. Bahkan, ada juga sekuntum bunga mawar yang sudah layu di dalam helaian tersebut. Menarik perhatian si perjaka untuk membaca isi kandungannya.

Juitaku,

Setiap kali aksa memisahkan kita,

Senandikaku tak bisa berhenti memanggil namamu,

Ketika aku melihat kejora, renjana di atmaku seakan menjadi racun,

Membunuhku dalam diam tika aku hanyut dengan asmaraloka yang kita bina,

Nihilnya sang hati tika tak bisa menatap wajah nirmalamu juitaku,

Tatkala ini, aku hanya bisa mengabadikan sinar bahagia yang kita bina dalam ruang fikiranku,

Kerana aku sudah berjanji untuk pulang...

Kata-kata puitis itu membibitkan rasa hiba di tangkai hati si perjaka. Seakan, dia hanyut dengan jeladeri emosi si penulis. Dia mengerti, ada emosi yang dicoretkan melalui puisi itu. Maka, bacaannya diteruskan. Mahu menyalami luahan hati si penulis melalui aksara.

KETIKA WAKTU MENYEMAI CINTA (EBOOK)Where stories live. Discover now