Bab 6

111 9 0
                                    

SEBAIK saja kereta diparkir di hadapan sebuah rumah kayu, Najla terus menghela nafas berat. Bebola matanya dikalih ke tempat duduk penumpang. Memerhatikan Iftiyah yang sudah dibuai lena. Seharian Najla membawa Iftiyah ke pasar raya untuk membeli baju dan kasut sekolah yang baru. Jelas, terbias keletihan di sebalik roman wajah gadis yang sedang nidera.

Tika itu juga, kotak memori Najla mula mengimbas perbualannya bersama Iftiyah dalam perjalanan ke rumah. Nyata, Iftiyah datang daripada sebuah keluarga yang daif. Ibu bapanya bercerai. Paling tragis apabila ayah kandung Iftiyah merupakan seorang penjenayah yang sedang menanti hukuman undang-undang akibat membunuh.

"Cikgu, ayah saya tu memang penjenayah ke?"

Tika soalan itu terngiang di koklea, Najla terus mengalihkan pandangannya dari menatap laman wajah Iftiyah. Jeladeri emosi mula bergayut di dinding hati. Seakan, Najla pernah berada di tempat Iftiyah. Dihina dan dicaci hanya kerana kejahatan seorang ayah.

Najla membuka pintu kereta seraya melangkah keluar. Hal peribadinya diletak ke tepi buat seketika. Sebagai seorang pendidik tak seharusnya Najla terbawa dengan hal peribadi. Dia harus professional.

Tugasnya bukan sekadar memberikan ilmu pengetahuan. Malah, Najla juga bertanggungjawab menjaga kebajikan muridnya.

"Assalamualaikum!" ucap Najla sembari mengetuk pintu rumah. Sesekali, pandangannya menerawang memerhatikan rumah kayu yang kelihatan daif. Bumbungnya sudah kelihatan bocor. Persekitarannya dipenuhi dengan rumah setinggan. Kelihatan anak-anak kecil sedang bermain di perkarangan rumah pada petang itu.

"Assalamualaikum, Puan Rohayu," ucap Najla lagi tatkala tiada sahutan daripada penghuni rumah.

"Cik ni siapa?"

Sebaik saja seseorang menyapanya, Najla terus kalih ke belakang. Terpampang seorang wanita dengan parut kesan terbakar di seluruh wajah. Seorang kanak-kanak lelaki dipimpin oleh wanita itu. Najla anggarkan budak tersebut dalam lingkungan lima tahun. Tubuhnya kelihatan cengkung seakan tidak cukup zat.

"Saya Najla. Guru kelas Ifitiyah. Puan ni Puan Rohayu ke?"

Seketika, wanita berambut perang itu kematian langkah di sisi kereta. Pandangannya bersatu dengan Najla. Sesekali, sorotan mata wanita itu tertancap ke arah tingkap kenderaan. Wajahnya bengis tanpa segaris senyuman.

"Budak ni mengadu apa je dengan cikgu?"

Mendengar saja soalan dingin itu membibitkan intuisi negatif di sudut hati Najla. Sorotan pandangan wanita itu benar-benar menimbulkan syak wasangka dalam diri Najla. Seakan berselirat dengan amarah. Namun, bibir Najla masih terukir dengan senyuman.

"Iftiyah tak mengadu apa-apa dekat saya. Tapi, saya nak bincang sikit pasal Iftiyah, boleh?"

"Bincang apa? Bincang nak buang anak aku dari sekolah lepas cikgu tahu bapa dia pembunuh?"

"Bukan..."

Belum sempat Najla menoktahkan bicara, kelihatan Iftiyah sudah melangkah keluar dari kenderaan. Mereka berpaling memandang figura Ifitiyah yang sudah tertunduk sambil menghampiri emaknya.

"Saya cuma nak bantu..."

"Kita orang tak perlukan bantuan apa-apa cikgu. Terima kasih sebab prihatin dengan anak aku. Tapi lebih baik cikgu jaga tepi kain cikgu sendiri daripada sibuk hal orang lain," pintas Puan Rohayu seraya mengheret Iftiyah masuk ke dalam rumah. Sungguh, dia tak mahu orang luar memberikan simpati ke atas keluarganya.

KETIKA WAKTU MENYEMAI CINTA (EBOOK)Where stories live. Discover now