BAB 8

105 10 0
                                    

"CAFFE Americano untuk penyelamat saya hari ni. Terima kasih sudi jadi superhero saya," tutur Najla sebaik saja dia melangkah keluar dari 'Starbuck Coffee'. Menghampiri Nadhif yang sedang bersandar di badan keretanya sambil memeluk tubuh yang kedinginan.

Mendengar usikan Najla membuatkan Nadhif tertawa kecil. Satu lagi yang Nadhif tahu pasal Najla Fakhira. Gadis itu suka berseloroh orangnya. Ada saja omongan Najla yang selamba dan mencuit hati Nadhif.

Atau...

Nadhif sendiri yang sudah angau dengan Najla sehingga semua tentang gadis itu mencuit hatinya.

"Cikgu nak ke mana?"

"Saya nak balik Melaka. By the way, janganlah panggil saya cikgu. Panggil Najla dah memadai," ujar Najla diselit dengan ketegasan. Canggung rasanya tika Nadhif menggunakan panggilan formal.

Nadhif mengalihkan pandangan ke laman wajah Najla yang berdiri di sisinya. Dalam diam, dia memuji penampilan gadis itu. Kelihatan manis saja di pandangannya dengan blaus putih dipadankan dengan skirt labuh berwarna hitam dengan bunga-bunga kecil. Selendang berwarna krim menambahkan lagi kemanisan Najla Fakhira.

"Jadi, kau bukan orang sini?" soal Nadhif. Mula membuka topik perihal Najla Fakhira. Tiada lagi formaliti yang digunakan.

"Bukan. Saya orang Melaka. Membesar dekat Melaka sampailah saya masuk IPG. Lepas je saya masuk IPG saya terus merantau," jelas Najla. Cappucino panas dihirup perlahan-lahan.

Mendengar penjelasan Najla membuatkan Nadhif tersentak. Dia seakan hanyut dengan loka kemanisan. Tak menyangka bahawa ada persamaan di antara dia dan Najla.

"Tak sangka pula selain asyik terserempak... kita ni satu negeri."

"Seriously?" soal Najla. Dia juga teruja tatkala mendengar omongan Nadhif. Sorotan matanya yang bersinar saling bersatu dengan perjaka yang sudah menegakkan posisinya.

"Yup. Aku membesar dekat Melaka juga sampai tingkatan empat," ujar Nadhif. Senyumannya terasa pahit tika memori silam tiba-tiba saja bermain di kotak fikiran. Kalau saja ibunya tak kahwin lain, pasti dia masih menetap di Melaka. Lebih bahagia berbanding di Kuala Lumpur.

"Kau memang suka karya Hamka?" soal Nadhif. Tidak mahu hal mereka sama negeri terus berlanjutan. Bukan mudah dia bertemu dengan Najla.

"Macam mana awak tahu?" soalan dibalas dengan soalan. Ada riak kaget terpancar di roman wajah Najla. Manakan tidak, hanya sahabat rapatnya saja yang bisa tahu betapa gemarnya Najla dengan karya Hamka.

Nadhif menghalakan jari telunjuknya ke tingkap. Terpampang buku Hamka di tempat duduk penumpang bahagian belakang yang diselit di dalam poket kerusi.

"Masa kat pantai haritu pun aku nampak kau pegang buku Hamka," ujar Nadhif. Secawan Caffe Americano yang masih panas dihirup perlahan-lahan. Kehangatan kopi mencengkam tubuhnya yang kedinginan.

Najla mengulum senyum dengan omongan Nadhif. Perjaka ini seakan sedang membaca dirinya saja. Membuatkan Najla sedikit tercuit hati. Kerana, bukan mudah untuk membaca peribadi seorang Najla.

"Saya suka karya Hamka sebab falsafah yang ditulis oleh beliau banyak memberikan kesan kepada diri saya sendiri. Macam dalam karya Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick. Karya tu bukan karya cinta semata. Tapi, Hamka turut membangkitkan soal perjuangan dan kritikan sosial yang dapat membuka mata masyarakat tentang darjat dan suasana masyarakat pada ketika itu," ujar Najla.

"Satu lagi saya suka kata-kata watak Hayati yang mengatakan bahawa cinta bukan melemahkan hati. Bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis. Tetapi..."

"Cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri kehidupan. Dalam erti kata lain, kata-kata Hamka ni membawa maksud cinta itu memerlukan perjuangan untuk mencapai sebuah kebahagiaan. Tak kiralah cinta di antara ibu dan anak, ayah dan anak, suami isteri dan sebagainya. Di sebalik perjuangan itu jugalah ada nilai kesabaran yang dapat memberikan kekuatan untuk kita," pintas Nadhif.

Tatkala itu, Najla sudah terpegun dengan omongan Nadhif. Seolah-olah tak percaya bahawa Nadhif tahu kata-kata daripada watak Hayati. Hanya sorotan matanya saja yang saling bersatu dengan pandangan redup perjaka itu. Pawana yang berhembus mula menampar wajah mereka. Seakan menjadi saksi tika mereka mula berdiskusi tentang falsafah dan karya daripada Hamka.

"Awak... baca buku tu?"

Nadhif mengangguk. Mengeyakan omongan Najla. Kalau pada mulanya Nadhif membaca demi topik yang bisa dibicarakan bersama Najla, namun dek falsafah yang dibawa Hamka dan mesej yang disampaikan melalui karya, membuatkan Nadhif turut jatuh cinta dengan karya sasterawan Indonesia itu.

"Aku tak nafikan karya Hamka mengajar kita erti kehidupan, masyarakat melalui falsafah. Salah satu falsafah yang aku suka bila beliau mengatakan cinta itu indah jika kita sebagai manusia tidak menggunakan terma cinta sebagai nafsu semata. Cinta juga boleh menghidupkan semula jasad yang dah lama mati bila seseorang berjuang demi mempertahankan cintanya. Aku..."

Belum sempat Nadhif menoktahkan bicara, telefon pintarnya bergetar di dalam saku seluar jeans. Buru-buru Nadhif mencapai seraya melihat nama pemanggil. Sontak, raut wajahnya berubah tegang. Tiada lagi keramahan tika bertemu dengan Najla Fakhira. Nadhif berganjak. Tidak mahu Najla mendengar perbualannya bersama si pemanggil.

"Waalaikumsalam, tuan," jawab Nadhif.

"Kamu dah dapat berita daripada pihak atasan tentang operasi selanjutnya?" soal Kapten Hasri. Ada ketegasan di sebalik bicaranya.

Mendengar saja perkataan 'operasi', Nadhif terus memalingkan pandangannya ke belakang. Menatap laman wajah Najla yang sedang menikmati Cappucino. Senyuman masih menghias bibir gadis itu.

Najla Fakhira.

Gadis itu memang manis orangnya. Tutur bicaranya yang lembut, ketegasannya, kesantunannya membuatkan Nadhif terpukau. Bahkan, semua tentang Najla benar-benar menghanyutkan Nadhif dalam sebuah keindahan jagat.

Namun, dek sebuah tanggungjawab akan membuatkan Nadhif berjauhan dengan Najla. Terbantut terus rancangannya untuk mengenali gadis itu dengan lebih mendalam. Enam bulan. Itulah tempoh perpisahan sementara di antara Nadhif dan Najla.

Entah adakah setelah dia kembali, gadis itu masih sendiri atau sudah menjadi milik seseorang?

Tika ini, Nadhif masih was-was dengan perasaan sendiri. Mana mungkin bisa dia mengungkapkan jeladeri emosi yang bergayut di dinding hati buat Najla.

Namun, satu hal yang Nadhif tahu. Dia seakan sudah jatuh cinta pada pandangan pertama buat Najla Fakhira. Cinta yang disemai seiring dengan waktu. Bahkan, semakin dia berhadapan dengan Najla, renjana yang berlabuh di ruang hati semakin tumbuh dengan puspa bahagia.

Hanya saja, Nadhif tidak mampu meluahkan perasaan itu buat Najla sehingga dia benar-benar yakin dengan perasaannya sendiri.

KETIKA WAKTU MENYEMAI CINTA (EBOOK)Where stories live. Discover now