Bab 9

91 6 0
                                    

WAJAH kelat Amran yang terpapar di pupil mata membuatkan senyuman terherot di bibir Nadhif. Jelas, ada riak tak puas hati terpampang di wajah perjaka itu tatkala mereka tiba-tiba saja dipanggil oleh orang atasan bagi melaksanakan sebuah operasi.

"Haih! Aku baru je jumpa buah hati pengarang jantung aku. Tak sempat lagi nak mengeratkan silaturahim di antara Tia dan mama aku. Dah kena balik pangkalan semula," keluh Amran sembari membutang baju uniformnya.

"At least kau dah selamat bertunang dengan Tiara. Tinggal tunggu kau balik dengan selamat. Relakslah. Tak ke mana pun tunang kesayangan kau tu. Lagi pun... kau jangan lupa pula yang cuti kita sebagai tentera ni hanyalah satu keistimewaan dan bukan hak milik kita. Bila-bila masa je kita boleh dipanggil," ujar Nadhif. Bahu kekar Amran ditepuk bertalu-talu. Membujuk sahabatnya yang dirundung resah meninggalkan sang kekasih di bumi Kuantan.

"Ada betulnya juga apa yang kau cakap. Aku tak payah risau sebab aku dah ikat Tia. Aku yakin dia akan setia tunggu aku pulang. Tapi, bila kau nak ikat Najla pula?"

Sekonyong-konyongnya, Nadhif menumbuk kuat bahu Amran tika perjaka itu mengenakannya semula. Nadhif kembali memasukkan pakaiannya ke dalam beg. Lelah dengan soalan cepumas Amran yang sering menusuk koklea.

"Kau sukakan Najla kan sebenarnya?" soal Amran lagi. Bukannya dia tak tahu. Sahabatnya yang suka dengan aktiviti mendaki gunung itu tiba-tiba saja jadi kutu buku sepanjang cuti berehat mereka.

"Kau gelojoh sangat tanya aku dengan Najla ni apasal? Tak ada soalan lain dah ke yang kau boleh tanya selain Najla 24 jam?"

Amran mengeleweh dengan soalan Nadhif. Perjaka yang sudah bersiap itu menghampiri meja belajar Nadhif. Tersusun kemas buku karya Hamka di atas meja sahabatnya. Lantas, sebuah buku ditarik keluar lalu dibelek-belek.

"Leftenan Nadhif Firman dah jadi kutu buku lepas jumpa Cikgu Najla. Tak ke sesuatu yang sangat mengejutkan? Oh, kau mesti pelik kan macam mana aku tahu Najla suka membaca? Tiaralah yang bagi tahu aku pasal sahabat baik dia tu," ujar Amran sambil meletak semula buku Hamka di atas meja.

"Si Tiara tu tak habis-habis dengan rancangan nak kenenkan kau dengan Najla. Idea terbaik bukan? Lagi pun bolehlah kau masuk line try Najla," tambah Amran lagi. Kedua belah tangannya dimasukkan ke dalam saku seluar. Segaris senyuman terukir di bibir perjaka itu. Melihat air muka Nadhif yang sudah bisu cukup meyakinkan Amran isi hati sahabatnya. Bukan setahun dua dia kenal luar dan dalaman Nadhif Firman.

Setiap butir bicara Amran benar-benar membuatkan Nadhif terkelu. Terasa kelat liur di rangkungannya tika itu. Dinding hatinya jadi libang-libu tatkala Amran cuba membaca isi hatinya.

"Kalau suka jangan simpan perasaan tu lama-lama, bro. Nanti terlepas kau yang merana. Balik sana nanti tak pasti lagi kau boleh contact dia ke tak. Konklusinya, kau buatlah apa yang patut supaya kelak kau tak makan hati," ujar Amran lagi. Telefon pintar Nadhif yang terletak di atas meja dicapai seraya dihulurkan kepada sahabatnya yang sudah kaku seperti patung cendana.

Lambat-lambat Nadhif mencapai telefon pintarnya. Perjaka itu berdeham. Membetulkan peti suara tatkala dinding hatinya semakin direnggut dengan omongan sinis Amran. Senior merangkap sahabatnya ini memang bijak membaca isi hatinya.

"Kau jangan nak pandai-pandailah, Amran. Aku..."

"Aku kenal kau dah 10 tahun, Nadhif. Jangan nak simpan apa-apalah daripada aku. Kita ni dah macam adik beradik lain mak bapa je. Dahlah! Aku tunggu kat depan. Jangan lambat dari lima minit. Kalau tak... komando rest sejam!" pintas Amran seraya melangkah keluar dari kamar Nadhif. Memberikan ruang kepada sahabatnya yang masih menidakkan perasaan sendiri.

KETIKA WAKTU MENYEMAI CINTA (EBOOK)Where stories live. Discover now