Bab 13

101 6 0
                                    

AMBIEN sepi.

Hanya sorotan mata Najla dan Puan Rohayu saja yang saling bersatu. Sesekali, kedengaran suara Ikram yang sedang menjamah makanan yang dibawa oleh Najla di ruang dapur. Terpancar keceriaan di sebalik wajah Iftiyah dan Ikram tika Najla membelikan KFC kepada mereka. Sudah terlalu lama mereka tidak menjamah makanan mahal seperti itu.

"Terima kasih sebab sudi bagi saya masuk rumah puan," ujar Najla. Segaris senyuman terukir di bibirnya.

"Terima kasih juga sebab tolong hantarkan anak aku ke hospital. Belikan makanan buat anak-anak aku. Tapi aku harap lepas ni cikgu tak payah bazirkan duit untuk anak-anak aku lagi. Kalau aku dah dapat gaji nanti aku..."

"Saya ikhlas, puan. Iftiyah tu anak murid saya. Saya dah anggap dia macam anak saya juga," pintas Najla.

Seketika, bibir Puan Rohayu terherot sinis. Guru muda di hadapannya ini memang tidak pernah berputus asa untuk berbincang mengenai Iftiyah. Jiwa pendidiknya terlalu kuat sehingga keegoan Puan Rohayu sedikit terhakis.

"Iftiyah perlukan rawatan untuk jantung berlubang. Doktor pesan, penjagaan kesihatan Iftiyah harus lebih rapi. Tapi puan jangan risau, pihak sekolah akan lakukan sesuatu untuk bantu kebajikan Iftiyah. Kalau puan perlu sebarang bantuan, puan boleh rujuk dekat saya," jelas Najla. Ada getaran di sebalik suara gadis itu. Masih ada sisa kagetnya bila mendengar berita kesihatan Iftiyah.

"Perlu ke?"

Tak semena-mena, soalan daripada Puan Rohayu membibitkan ambien yang tegang. Anak matanya seakan terpancar dengan kesinisan sekali gus menusuk atma Najla. Seakan ada kebencian yang berselirat di sorotan mata wanita bertubuh cengkung itu.

"Puan. Tolonglah... saya merayu kali ni puan terimalah bantuan daripada pihak sekolah. Demi nyawa anak puan. Iftiyah masih muda untuk hidap penyakit ni. Kita boleh rawat dan sembuhkan Iftiyah selagi kita berikhtiar. Saya faham keadaan puan..." tegas Najla.

Sekonyong-konyongnya, Puan Rohayu tertawa sinis dengan omongan Najla. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Sebaik mungkin, atmanya menahan sebak tika omongan Najla mula menyentuh tangkai hatinya.

"Kau tak faham keadaan aku cikgu. Dicaci. Dihina sebab suami aku penjenayah. Tak ada siapa yang faham apa yang aku rasa! Sebab tu... aku tak nak orang tengok aku ni mengemis ihsan daripada orang lain!" herdik Puan Rohayu. Dahinya sudah dilapisi kerutan melihat wajah tenang Najla.

"Lainlah dengan kau. Hidup kau mesti senang kan sampai akhirnya kau berjaya menjadi seorang guru. Aku tahu kau nak tolong anak aku. Terima kasih! Aku hargainya. Tapi... aku masih ada kudrat dan tenaga untuk rawat anak aku," tegas Puan Rohayu seraya bangun dari duduknya. Pintu kayu rumahnya dibuka. Menandakan dia sudah tak perlu kehadiran Najla lagi.

Mendengar luahan Puan Rohayu, tubir mata Najla mula terasa hangat. Bibirnya diketap menahan sebak di dada. Dia hidup senang? Tidak. Dia juga sama seperti Iftiyah. Dihina. Dicaci. Tiada yang menarik mengenai kehidupan Najla. Tambahan pula tika kakaknya hilang tanpa jejak sehingga kini. Ibunya pula tak lagi mendoakan kesejahteraannya melainkan melontar kata-kata nista.

"Kita tamatkan rundingan..."

"Jangan menilai kehidupan seseorang berdasarkan apa yang puan nampak. Ya, tak ada siapa yang faham hidup puan. Tapi, puan jangan sempitkan pemikiran puan. Tak semua apa yang puan nampak tu sempurna. Semua orang ada kisah pahitnya masing-masing. Jadi, saya harap puan tak rasa diri puan terlalu malang untuk lalui semua keperitan ini," tegas Najla seraya bangun dari duduknya. Tiada gunanya lagi dia mahu meneruskan diskusi andai emosi mendominasi pemikiran.

"Saya balik dulu. Terima kasih sebab terima kunjungan saya. Tapi Iftiyah tanggungjawab saya. Tugas saya bukan hanya mendidik. Tapi, saya juga perlu jaga dan ambil tahu masalah anak murid saya. Assalamualaikum," tambah Najla. Tiada lagi kata yang mampu dituturkan tatkala sang hati mula retak.

Sepeninggalan Najla, Puan Rohayu masih tergamam di depan pintu yang terpelohong. Wajahnya yang dipenuhi parut terbakar mula membahang. Bibirnya menggeletar. Sungguh, kata-kata Najla memberikan dampak di sudut hati wanita itu.

Setitis demi setitis air mata Puan Rohayu mengalir ke pipi. Mulut ditekup. Menahan esak. Tak mahu anak-anaknya melihat kesedihannya menahan keperitan hidup. Tambahan pula memikirkan keadaan Iftiyah. Bukannya dia tak tahu. Malah, dia lebih tahu Iftiyah menghidap jantung berlubang sejak gadis kecil itu lahir lagi. 

KETIKA WAKTU MENYEMAI CINTA (EBOOK)Where stories live. Discover now