BAB 1

282 14 0
                                    

GUBIR KEDAH

SEPI.

Hanya bunyi unggas yang saling sahut-menyahut melatari ambien. Sesekali, bunyi alam menerpa gegendang telinga. Kedinginan mula mencengkam hingga ke tulang hitam. Jumantara kelihatan begitu kelam.

Dengan hanya rembulan yang menyuluh jagat, selangkah demi selangkah, beberapa figura yang mengenakan spike boot meredah kawasan yang dipenuhi dengan belukar. Akar pokok cengal turut tumbuh meliar di kawasan itu. Pandangan dipusatkan ke sekeliling belantara. Mengambil langkah berjaga-jaga daripada diketahui oleh musuh.

Setibanya di sebuah kawasan yang strategik, figura berpakaian celoreng yang berada di barisan tengah membuat isyarat senyap medan. Isyarat yang akan digunakan ketika menjalankan operasi bagi mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang suara. Tangan diangkat dan dikepal erat sebagai isyarat freeze. Langkah mereka akhirnya terbejat di kawasan yang menjadi titik panas.

Sekali lagi, si figura yang membuat isyarat pada operasi malam itu menghayunkan tangannya ke hadapan bagi mengarahkan pasukannya mara dan mengambil posisi masing-masing.

Tanpa berlengah, pasukan yang bertugas berdiri di kawasan terlindung dari persisiran pantai. Menjadi pos pemerhati bagi mengesan kehadiran bot atau kapal yang dipercayai menyusup masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin. Malahan, titik panas itu juga dikenal pasti berdasarkan maklumat yang diterima daripada radar dan agensi risikan. Day and night binocular lantas dikeluarkan untuk meninjau kawasan persisiran pantai.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, kawasan persisiran pantai itu sering menjadi lokasi tersembunyi pertemuan di antara pendatang asing tanpa izin dengan tekong laut.

Malahan, sepanjang pasukan mereka menempuhi belukar ketika menuju ke tempat sasaran, mereka turut mendapati terdapat pakaian, bagasi dan makanan yang ditinggalkan. Sudah tentunya menguatkan lagi maklumat bahawa kawasan itu menjadi tempat mendarat PATI. Bahkan, pakaian yang masih basah mengukuhkan lagi maklumat bahawa musuh masih berlegar di kawasan itu.

Dalam masa yang sama, seorang figura berceloreng dan bertopi hutan turut meronda di persisiran pantai bagi melakukan pemerhatian terhadap sekeliling. Sesekali, bunyi desiran ombak yang bersatu dengan angin malam menyapa koklea. Dengan penuh berhati-hati, langkah diatur merentasi lalang dan semak. Sorotan matanya tertumpu dari kiri ke kanan dalam bentuk z.

Dengan penuh penelitian, figura itu cuba memerhatikan persekitaran jikalau terdapat sesuatu yang aneh di kawasan itu. Lampu suluh dihalakan ke kawasan semak. Tubuh dicondongkan sedikit ke hadapan. Intuisinya kuat mengatakan bahawa ada keganjilan di kawasan itu berdasarkan sepasang kasut yang tertanggal berhampirannya.

Prak!

Mendengar saja bunyi ranting pokok dipijak, si figura menggali nafas dengan sedalamnya. Tanpa berlengah, langkah diatur menuju ke lalang yang kelihatan melentok ke kiri dan kanan. Sudah pastinya, pemerhatiannya tidak salah kali ini. Deria pendengarannya ditajamkan lagi bagi mengira bilangan figura yang sedang bersembunyi di sebalik semak.

Tak semena-mena, tiga figura bangun dari tempat persembunyian mereka. Masing-masing berpakaian serba hitam. Tubuh anggota tentera yang sedang bertugas terus dirempuh bagi melarikan diri. Sungguh, matlamat utama mereka pada saat itu hanya mahu melarikan diri daripada ditahan oleh pihak berkuasa. Tidak mahu menerima hukuman yang akan menjejaskan diri mereka dan keluarga di kemudian hari.

"Berhenti!"

Sontak, ketiga-tiga pendatang asing terbejat tika laungan bergema di persisiran pantai. Suasana yang cemas drastik berubah senyap dengan kemunculan seorang figura bersenjatakan rifle. Sebatang ranting kayu dihalakan ke arah mereka tanda menggugut. Di sebalik rembulan yang menerangi pantai, wajah si figura kelihatan begitu bengis.

"Duduk!" arahnya. Setapak demi setapak, langkah diatur menghampiri tiga orang pendatang asing. Wajahnya sudah membahang dek melihat keberanian musuh yang cuba melarikan diri. Amarah di atmanya semakin memuncak.

"Aku kata duduk! Kau pekak ke? Kau nak aku tembak baru kau nak duduk?"

Bentakan yang keras itu membuatkan musuh tersentak sebelum mereka mencangkung di belakang semak. Kepala sudah tertunduk tatkala ugutan daripada Nadhif membibitkan ketakutan di sanubari. Nafas sudah terasa sesak di dada tatkala derapan tapak kaki Nadhif semakin menghampiri. Aura pemuda berceloreng itu umpama raksasa yang sedang mengamuk saja. Gerun.

"Mana yang lain?" soal Sarjan Mahmud. Wajah ketiga-tiga orang pendatang asing tanpa izin dipandangnya dengan tatapan yang tajam. Suaranya dingin tanpa intonasi.

"Tak... tak tahu pak. Hanya kami di sini tadi. Kami..."

"Kau tak payah nak membongak! Mana kawan-kawan kau yang lain? Tadi kawan kau kata ada 10 orang. Sekarang baru ada enam orang. Mana empat orang lagi?" pintas Nadhif. Suaranya seakan-akan bersabung dengan desiran ombak yang kian mengganas. Angin bertiup semakin kencang saat itu. Awan semakin menutup bumbung langit. Menyembunyikan rembulan yang bersinar.

"Ka... kami memang... tak tahu. Tolonglah... percayakan kami, pak," ujar si figura berseluar pendek paras lutut. Sorotan matanya yang sayu bertaut dengan pandangan membunuh Nadhif. Dia kecut perut memandang wajah pemuda itu. Pandangannya tajam. Seakan-akan helang yang bersedia untuk menyambar mangsanya.

Mendengar itu, emosi Nadhif kian tercabar. Dia sudah lali berhadapan dengan drama air mata sesetengah PATI. Memberikan pandangan sayu hanya demi mengemis sebuah simpati. Hujung bibirnya dijongketkan. Nafas ditarik panjang. Kepala digelengkan sebelum Nadhif mencekak kolar baju musuh. Tubuhnya dibongkokkan sedikit. Pandangan Nadhif semakin berapi tika amarah semakin membelenggu diri.

"Sekali lagi aku tanya... mana..."

"Tuan! Kita orang dah jumpa yang lain. Cukup 10 orang tuan!"

Omongan Nadhif terbejat tatkala menerima laporan daripada Koperal Zakri. Pandangannya dihalakan ke arah pegawainya. Terpampang empat orang pendatang asing yang sedang meletakkan kedua belah tangan di belakang kepala. Lantas, Nadhif menolak kasar tubuh musuhnya. Setapak demi setapak, pemuda itu berundur ke belakang. Ada rasa lega menyelinap ke sukma tika operasi mereka berjaya pada malam itu.

"Bawa mereka ke hadapan. Pastikan jangan ada yang terlepas," arah Nadhif tanpa nada.

"Baik tuan!" jawab pegawai yang bertugas sambil memberi tabik hormat. Lantas, Sarjan Mahmud dan Koperal Zaki mengarahkan pendatang asing yang diberkas bangun untuk diberikan tindakan undang-undang. Dengan langkah yang longlai, pendatang asing yang berjaya diberkas hanya mampu menurut tanpa melawan.

Nadhif menggali nafas panjang. Dia bersyukur tika pasukannya berjaya memberkas pendatang asing tanpa izin dari menceroboh tanah air. Sudah enam bulan Nadhif bertugas. Esok, tiba masanya untuk dia pulang dan merehatkan diri buat seketika. 

KETIKA WAKTU MENYEMAI CINTA (EBOOK)Where stories live. Discover now