Bab 7

108 10 0
                                    

LANGIT seakan menangis pada petang itu. Hujan semakin lebat. Ambien juga kelihatan begitu gelap tanpa mentari meskipun waktu baru menginjak pukul 3 petang. Melihat keadaan itu, Najla menggali nafas sedalamnya. Sesekali, sorotan matanya memandang bar minyak yang sudah berkelip.

Ada gusar bergayut di ruang hati tika itu. Kalau saja dia bukan seorang yang pelupa pasti perjalanannya ke Melaka akan berjalan dengan lancar.

Wiper dinaikkan tatkala pandangan Najla semakin kabur. Lampu kereta dinyalakan. Dengan jalan raya yang licin, Najla semakin berhati-hati menuju ke stesen minyak berhampiran.

Sekonyong-konyongnya, kereta yang dipandu akhirnya terhenti di tengah jalan. Najla tersentak. Kaget tatkala kejadian malang mula menimpanya. Tak lain dan tak bukan pasti keretanya sudah kehabisan minyak. Hailah! Tepuk dahi sajalah yang Najla mampu tika ini.

"Ya Allah! Apa pula dugaan kali ni. Kenapa aku cuai sangat ni!" keluh Najla sembari memicit pelipisnya. Kesal dengan dirinya yang pelupa.

Dalam keadaan kenderaannya berhenti di tengah jalan, Najla sedikit seriau dengan ambien yang gelap. Tambahan pula kawasan itu sunyi. Kepada siapa dia mahu meminta bantuan tika tiada sebuah pun kereta yang lalu di kawasan itu?

Lantas, Najla mencapai telefon pintarnya. Mahu menghubungi Tiara bagi meminta bantuan kecemasan. Sesekali, bunyi guruh yang berdentum kuat membuatkan bahu Najla terhinggut. Terasa kelat liur di rangkungannya tika kilat sudah saling sambar menyambar. Seakan, kilat dan guruh memberikan ancaman kepada Najla.

Malangnya, panggilannya tidak dijawab oleh Tiara. Sekali lagi, Najla menghubungi sahabatnya. Tubuhnya sudah sedikit gemelugut tika bunyi guruh menusuk koklea. Nafasnya seakan turun naik. Bibir diketap menahan gerun. Mahu mengawal pernafasannya tika bunyi guruh seakan menakutkan Najla.

Najla memang fobia dengan guruh dan kilat. Apatah lagi ketika dia bersendirian. Seakan lokanya berada di dalam dimensi kegelapan saja. Dampak daripada fobianya, kadangkala menyebabkan Najla jadi panik.

"Angkat..."

Serentak dengan gumamnya, bunyi tingkap kereta diketuk kedengaran. Perlahan-lahan, Najla mengalihkan pandangannya ke arah si figura. Tangan kanan sudah menggagau pisau lipat yang sentiasa dibawa bersama. Dalam keadaan gelap seperti itu, Najla jadi sangsi dengan persekitarannya.

Namun, rasa gerunnya hanya seketika. Sorotan mata Najla sudah saling bersatu dengan pandangan tajam perjaka yang sedang memegang payung. Tanpa sedar, segaris senyuman terukir di bibir gadis itu. Keluhan panjang terlepas daripada bibir.

Najla menurunkan tingkap. Bunyi hujan menusuk koklea gadis itu. Bau hujan menyapa mukus. Terpampang wajah Nadhif yang turut tersenyum ramah.

"KITA terserempak lagi," gumam Najla. Ada sedikit rasa kaget tatkala dia dipertemukan dengan Nadhif dalam keadaan cemas.

"Yup. Macam tak sangka cikgu rupanya yang ada dalam kereta ni. Nampaknya cikgu dalam kesusahan," ujar Nadhif. Dek hujan lebat, suaranya turut tenggelam timbul.

"Saya lupa nak isi minyak," kata Najla. Pelipis yang tak gatal digaru. Bebola matanya dialihkan dari menatap laman wajah Nadhif. Malu dengan diri sendiri yang cuai.

Nadhif mengangguk. Mengerti dengan omongan Najla. Satu hal baru yang Nadhif baca tentang Najla. Gadis itu pelupa orangnya.

"Tak apa. Aku tolak, kau kawal stereng. Stesen minyak tak jauh mana pun dari sini," ujar Nadhif. Payung yang berada di tangan terus dilipat bagi memudahkannya menolak kenderaan Najla.

"Tapi hujan..."

Belum sempat Najla menoktahkan bicara, Nadhif sudah bertindak. Membuatkan Najla tersentak dengan ketangkasan perjaka itu menyelesaikan masalah. Tak semena-mena, ruang hati Najla juga timbul dengan rasa bersalah dek menyusahkan Nadhif.

Namun, dalam masa yang sama, ada rasa lega di sanubari Najla tika Nadhif muncul membantunya. Ruang hati yang diserang ketakutan juga beransur hilang. Meskipun dia tidak mengenali Nadhif dengan begitu dalam, namun setiap tutur bicara dan tindakan perjaka itu benar-benar menyenangkan Najla.

Setibanya mereka ke destinasi, Najla menaikkan handbreak. Pemegang pintu digenggam sebelum gadis itu melangkah keluar dari kenderaan. Figura Nadhif yang sedang berbual bersama seorang pekerja dipandang silih berganti.

"Terima kasih sebab tolong saya," ujar Najla sebaik saja Nadhif menghampirinya.

"Sama-sama. Eh, kau patut call suami..."

"Suami? Sejak bila pula saya ada suami?" pintas Najla. Dahinya berkerut tatkala perkataan 'suami' meluncur daripada mulut Nadhif.

Mendengar soalan Najla membuatkan Nadhif tersentak. Raut wajah manis Najla ditatapnya. Bukankah gadis ini sudah berkahwin? Kenapa pula gadis itu memberikan pandangan terkejut?

"Kau... tak kahwin lagi? Habis tu budak hari tu bukan anak kau ke?" soal Nadhif bertubi-tubi.

Najla mengalihkan pandangannya tatkala soalan itu menerpa koklea. Bibirnya mengulum senyum dengan salah faham Nadhif. Langkah diatur ke bonet belakang. Bagasi dibuka sebelum sehelai tuala dikeluarkan.

"Saya tak kahwin lagi, Nadhif. Budak yang awak jumpa haritu anak murid saya. Awak salah faham ni. Nah, ambil ni. Awak dah basah kuyup dah tu," ujar Najla sembari menghulurkan tuala kepada Nadhif.

Penjelasan daripada Najla membuatkan Nadhif tersenyum. Puspa bahagia mula mekar di sudut hatinya. Rambutnya yang basah dilap. Sang hati seakan bergetar tatkala kata-kata Najla terngiang di kokleanya. Dia ada peluang untuk kenal Najla Fakhira dengan lebih mendalam.

"Kau ingat nama aku?"

"Of course! Ni kali ketiga saya terserempak dengan awak. Mestilah ingat," kata Najla. Sesekali, sorotan matanya memandang papan tanda 'Starbuck Coffee' yang terletak di sebelah stesen minyak.

"Saya terhutang budi dengan awak hari ni. Sebagai gantinya, boleh kan kalau saya pula yang belanja sempena perkenalan kita?" tambah Najla. Dia ikhlas menyambut salam perkenalan Nadhif yang mahu berteman dengannya.

KETIKA WAKTU MENYEMAI CINTA (EBOOK)Where stories live. Discover now