“Negara jiran sudah merampas perkampungan yang berdekatan dengan sempadan. Ini tidak boleh dibiarkan, tuanku. Kita perlu mengisytiharkan perang terhadap mereka.”
“Perkara ini terjadi kerana mereka telah memandang enteng kepada Lyzantine. Tidak mengenang budi. Saat memerlukan pertolongan ketenteraan, sanggup sujud di depan kita. Tapi menikam belakang dengan merampas tanah kita.”
“Kita perlu menunjukkan kekuatan kita semula bahawa Empayar Lyzantine tidak pernah lemah.”
“Mereka memandang rendah kepada kita kerana pewaris...”
“Silence, all of you.”
Langkah Alayna terhenti di hadapan pintu bilik bersidang. Suara ayahandanya sedang menahan marah. Jika bangsawan itu meneruskan kata, maka Maharaja Zaphar IV akan murka. Mereka akan hilang segala-galanya termasuk pangkat, harta mahupun nyawa. Alayna mahu meninggalkan kawasan itu tetapi tumitnya enggan melangkah.
“Pewaris beta hanya Puteri Alayna Hildelith.”
“Bagaimana pula dengan mereka yang merampas tanah kita, darah kita?”
“Taring masih belum tumbuh. Ruasnya masih muda. Bila tiba masanya, Empayar Lyzantine akan bangkit dengan kemasyhuran yang berlipat kali ganda berbanding dahulu.”
Ucapan Maharaja Zaphar IV mematikan semua hujahan menteri-menteri yang berada di situ. Mereka tidak lagi mampu membuka bicara kerana takut hilang nyawa sebelum menyudahkan aksara. Bangsawan yang berada di situ mula bersurai dengan perasaan tidak puas hati. Mereka agak terkejut melihat susuk Puteri Mahkota itu saat melangkah keluar dari situ.
“Ampun Tuanku,” ucap mereka sebelum melangkah pergi. Kata sapaan mereka terlalu biadap kerana tidak menggunakan ayat yang sepatutnya apabila bertemu seorang puteri.
“Masuklah anakanda. Kenapa tercegat di situ?”
Alayna masuk apabila mendapat kebenaran dari ayahanda. Dia berdiri di hadapan susuk orang yang paling dia sanjung dan hormati. Nampak letih dan lelah. Malah, ayahandanya kerap kali jatuh sakit sejak akhir-akhir ini. Berat sangatkah menggalas tanggungjawab sebagai maharaja sehingga memakan kesihatan diri?
“Anakanda ingin mengajak ayahanda minum petang bersama.”
Maharaja Zaphar IV hanya mengangguk setuju. Sudah lama dia tidak bersua muka dengan si puteri tunggal. Dia perlu tahu perkembangan tentang pelajaran Alayna dalam pelbagai ilmu dalam mempersiapkan anakandanya sebagai pemerintah kelak. Saat, Alayna menaiki takhta pasti ramai yang memberontak. Dia mahu anaknya kuat menghadapi segalanya.
Mereka duduk di beranda sambil menikmati pemandangan taman bunga yang dijaga rapi oleh pekebun istana. Taman yang dihiasi oleh bunga dari pelbagai tempat dan negara menjadi kegemaran arwah maharani dahulu. Di beranda ini jualah, mereka bertiga pernah bergelak tawa sambil berseloka.
“Bagaimana pelajaran anakanda?”
“Meera terlalu tangkas. Anakanda rasa dia bukan mak inang tapi seorang pahlawan yang tidak didendang. Tenggelam hanya kerana jantinanya.”
Maharaja Zaphar IV tersenyum kecil apabila mendengar sang puteri bercerita sambil menunjukkan luka-luka kecil di tangan gara-gara melatih melawan pedang dan panah. Dalam tidak suka, wajah Alayna nampak teruja akan apa yang dipelajarinya.
“Lyzantine perlukan pemerintah yang mengangkat martabat wanita,” ujar Maharaja Zaphar IV. Wajahnya kelihatan sayu saat menuturkan ayat tersebut.
Alayna faham maksud ucapan itu. Sebelum Maharani Lyzantine mangkat, nasib wanita terbela walaupun hanya sedikit cuma. Hak mereka untuk bersuara ada jika berlaku ketidakadilan dalam perkahwinan. Sekarang, lelaki mendominasi segala-galanya. Wanita hanya perhiasan di rumah. Tidak boleh bekerja mahupun mendapatkan pelajaran.
YOU ARE READING
Alayna: The First Emperor
Historical FictionPrincess Alayna Hildelith, Seorang rupawan, lemah-gemalai, puteri. Disayangi oleh rakyat di seluruh empayar. Emperor Alayna Hildelith I, Bloodthirsty, a tyrant, maharaja wanita. Ditakuti oleh rakyat dia seluruh empayar. Kisahnya sebagai Maharaja Wan...