TEMPAT yang paling tinggi dalam hierarki sosial Lyzantine ialah maharaja, maharani, putera dan puteri. Mereka memegang kuasa mutlak dalam memerintah sebuah empayar. Setiap ucapan oleh keluarga diraja merupakan peraturan yang perlu dilakukan oleh rakyat.
Kedua pula dipenuhi oleh golongan bangsawan yang diberi gelaran sebagai Archduke, Duke, Marquess, Earl, Count dan Baron. Mereka mempunyai kuasa memerintah sebuah wilayah yang dikurniakan oleh maharaja. Setiap bangsawan memegang jawatan penting dalam sistem pemerintahan Lyzantine.
Lapisan ketiga pula ialah kesatria. Mereka bekerja dengan golongan bangsawan untuk mendapatkan upahan. Namun, ada sesetengah anak bangsawan menjadi kesatria semata-mata mahu mendapatkan jawatan di ketenteraan diraja. Pedagang juga termasuk golongan yang ketiga kerana memberi kemasyuharan dalam ekonomi empayar.
Hierarki yang terakhir ialah rakyat biasa yang terdiri daripada petani, pelukis, tukang jahit, pembantu rumah, nelayan dan banyak lagi.
"Yang kelima adalah..."
"Dari mana datangnya yang kelima?" soal Alayna.
"Hamba abdi."
Iris Alayna membesar apabila mendengar dua patah perkataan daripada Kayden. Sistem hamba sudah lama dilupuskan sejak pemerintahan Maharaja Zaphar III. Sebab sistem tersebut dihapuskan kerana tidak berperikemanusiaan dan menafikan hak kebebasan rakyat dalam menentukan hidup mereka.
"Sebagai seorang saudagar, patik perlu tahu tentang permintaan terhadap pasaran perdagangan. Hamba merupakan permintaan yang paling tinggi dalam golongan bangsawan."
Alayna mengerip bibir bawahnya. Selama ini dia hidup di bawah pelangi sebagai seorang puteri. Dalam fikirannya, Lyzantine merupakan empayar yang paling aman tanpa sebarang penindasan terhadap rakyat sendiri. Dia silap. Terasa dirinya sudah gagal jadi seorang pemerintah yang diharapkan oleh ayahanda.
Setiap cahaya yang bersinar, selalu ada bayang-bayang.
"Humaira..."
Alayna memanggung kepala apabila diseru oleh nama samaran itu. Telinga seperti sudah terbiasa dengan nama itu biarpun pertama kali mendengarnya.
"Disebabkan patik masih muda dan mentah, patik juga perlu belajar jadi seorang saudagar yang berjaya. Dan tuanku juga begitu, kan?"
Kegusaran yang bertandang di hati terus dapat ditepis apabila mendengar bait yang dikeluarkan oleh pemuda itu. Mereka sama-sama sedang belajar untuk menerima perubahan dalam diri. Banyak lagi yang mereka perlu tahu dan hadam terhadap dunia ini.
"Ini kawasan yang kau mahu tunjukkan kepada beta."
Di sebalik Kota Bagh yang selalu disuluh matahari, ada tempat yang terhalang daripada menerima cahaya itu seperti bayang-bayang. Seolah-olah terbahagi kepada dua dunia yang sangat berbeza.
Rumah mereka diperbuatkan daripada kayu dengan berbumbungkan kain. Ada yang tidur beralaskan kain sahaja. Baju yang dipakai oleh orang dewasa sudah lusuh, compang-camping dan tidak kena dengan saiz mereka. Manakala kanak-kanak ada dibiarkan tidak berpakaian.
Fizikal mereka sangat kurus kerana tidak cukup makan.
"Beta tidak tahu tempat ini wujud," gumam Alayna.
Ada satu perasaan yang menghempap jiwanya saat ini. Perasaan yang sukar ditafsirkan dengan aksara. Apa yang pasti perasaan ini tidak indah. Terasa pahit sehingga mencengkam jiwanya. Dia rasa gagal untuk menjadi seorang pemerintah yang mengambil berat tentang rakyatnya.
"Patik ada satu kisah yang patik ingin kongsikan bersama Humaira," beritahu Kayden.
"Beta tidak berminat."
YOU ARE READING
Alayna: The First Emperor
Historical FictionPrincess Alayna Hildelith, Seorang rupawan, lemah-gemalai, puteri. Disayangi oleh rakyat di seluruh empayar. Emperor Alayna Hildelith I, Bloodthirsty, a tyrant, maharaja wanita. Ditakuti oleh rakyat dia seluruh empayar. Kisahnya sebagai Maharaja Wan...