ISTANA Romeland huru-hara apabila tentera Lyzantine dapat menyelinap masuk ke dalam dengan bantuan Raphael. Para dayang lari lintang-pukang mahu menyelamatkan nyawa mereka. Pengawal istana mempertahankan istana dengan kudrat yang masih ada. Namun, kegagahan kesatria Lyzantine membuatkan mereka tumpas dalam sekelip mata.
Jeritan, raungan dan lolongan penghuni istana bergema di setiap sudut bangunan tersebut. Mayat pengawal istana sudah bergelimpangan di merata-rata tempat. Darah pekat mengalir di mana-mana. Mereka yang menyerahkan diri dikumpulkan di suatu tempat.
Sungguhpun Romeland di ambang kejatuhannya, si raja masih angkuh tidak mahu turun dari singgahsana. Biarpun lutut sudah terketar-ketar melihat susuk Alayna yang berperisai besi di hadapannya. Aura pemerintah itu menghadirkan gentar di hatinya. Namun, dia tidak akan tunduk pada perempuan itu. Takhta ini miliknya.
"Kau hanya seperti pucuk yang baru tumbuh!" ujar Raja Romeland.
"Biarpun baru jadi pucuk, darah beta sudah membara seperti lahar gunung berapi. Apa kau tidak sedar diri lagi bahawa kau telah kalah?"
"Tidak! Aku tidak akan kalah pada betina macam kau! Pengawal istana! General! Komander! Tangkap dia! Hukum perempuan tu!" jerit si raja bagaikan orang gila.
Bibir Alayna sudah melengkung sedikit ke atas mendengar lelaki itu menjerit meminta tolong. Sedangkan orang yang disebutnya sudah mati dan menyerah kalah di bawah tapak kakinya.
"Jerit kuat lagi! Mana tahu askar yang berada di dalam kubur akan hidup kembali selamatkan kau," balas Alayna dengan sinis sekali.
"Kau! Aku takkan biarkan kau rampas takhta dan Romeland dari aku!" tempik Raja Romeland dengan kuat. Pedang yang berada di sisinya ditarik dari sarungnya. Dia turun dari istana untuk membunuh Alayna dengan tangannya.
"Kau akan mati di tangan aku!"
"Oh, ya?" Kening Alayna terangkat sedikit melihat keyakinan yang dipamerkan oleh lelaki itu.
Raja Romeland meluru ke arahnya tetapi Alayna tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Pedang yang bersarung cantik masih tersisip di pinggang. Dia tidak berura-ura mahu menghayun senjata pada lelaki itu. Dia sudah berjanji dengan Raphael agar tidak mengangkat senjata pada ayahanda si putera itu.
Klang!
Libasan pedang bertembung dengan pedang yang datang dari arah belakang Alayna. Susuk tubuh tegap Raphael menghalang pandangan si maharaja. Putera raja itu sudah berdepan dengan ayahanda seperti yang dia impikan. Raut wajah Raphael penuh kemarahan apabila bertentang mata dengan Raja Romeland.
Lelaki itu sangat terkejut melihat anak sendiri berani mempertahankan musuh yang hendak merampas tanah mereka. Langkahnya terundur ke belakang apabila melihat wajah garang anakanda yang sedang merenungnya.
"Apa yang anakanda buat ni? Perempuan itu mahu merampas takhta kita! Sepatutnya anakanda membunuh dia bukan menghunus senjata pada ayahanda!" marah Raja Romeland.
"Anakanda sudah mengkhianati Romeland. Taat setia anakanda sudah berikan kepada Lyzantine!" balas Raphael dengan bangga.
"Tak guna! Anak derhaka!"
Amarah menguasai Raja Romeland. Dia terus menghayunkan pedang ke arah puteranya sendiri yang berani menikam belakangnya. Ini bermakna Raphael yang membantu tentera Lyzantine menceroboh masuk ke dalam istana mereka. Hanya Putera Mahkota itu sahaja yang tahu selok-belok istana.
Setiap serangan yang dilancarkan dapat dipatahkan dengan mudah. Tenaga tuanya tidak dapat menandingi kekuatan Raphael dalam pertarungan ini. Bukan itu sahaja, dia tahu yang puteranya sangat handal bermain pedang. Sungguhpun dia sudah kelelahan, dia perlu menghukum anakanda sendiri.
YOU ARE READING
Alayna: The First Emperor
Historical FictionPrincess Alayna Hildelith, Seorang rupawan, lemah-gemalai, puteri. Disayangi oleh rakyat di seluruh empayar. Emperor Alayna Hildelith I, Bloodthirsty, a tyrant, maharaja wanita. Ditakuti oleh rakyat dia seluruh empayar. Kisahnya sebagai Maharaja Wan...