Aku tidak terbela,mereka kata aku gila.
Biarlah,yang penting aku gembira.
Ahad,7 Jun 2021.
Faris terpisat-pisat di atas katil. Dia melakukan senaman paginya sebelum bergerak ke ruang tamu.
“Arghhhh!”terkejut dia melihat mayat seorang wanita yang diikat pada kerusi.Sudah tidak ada rupa manusia. Jemari kaki dan tangan mayat itu bertaburan di atas lantai yang dipenuhi darah pekat. Wajahnya hancur teruk. Rahangnya yang sudah ternganga itu hampir sahaja jatuh menyembah bumi jika bukan kerana cebisan kulit yang masih kuat menyokong.
Faris termuntah di situ juga. Pening kepalanya melihat pemandangan yang tersaji.
Faris membuat keputusan untuk melaporkan pembunuhan ini kepada Ibrahim, seperti biasa. Sumpah seranah keluar dari mulutnya apabila menyedari bahawa telefonnya tidak ada di dalam kocek. Matanya tertumpu ke arah telefon bimbit yang terletak di atas meja. Dia cuba membuat panggilan namun tiada isyarat.
Faris panik.
Tanpa berfikir panjang, dia segera meninggalkan basement itu dan berlari keluar ke arah hutan tanpa hala tuju. Lariannya membawa dia ke sebuah jalan tar yang menghubungkan kenderaan ke jalan besar.
Fikirannya yang kusut menyebabkannya berlaku cuai semasa melintas jalan. Kenderaan di kiri dan kanan langsung tidak dihiraukan. Sebuah motosikal menghampiri Faris dan-
Dushhh.
Faris terpelanting sejauh 5 meter. Hampir dua minit dia terkapar-kapar di atas jalan raya sebelum matanya terkatup sepenuhnya.______________________________________
Faris tersedar.Dia membuang pandang ke arah sekeliling sebelum menyimpulkan bahawa dia sedang berada di hospital.
Bau ubat yang kuat menusuk hidungnya.
Faris tak mahu berlengah. Ada perkara yang perlu dilaporkannya kepada Ibrahim sebelum terlambat.Wayar yang berselirat dicabut dari badannya tanpa teragak-agak. Tingkap sliding dibuka, dan Faris melompat keluar.
Dia menuju ke arah pondok telefon yang terletak lebih kurang 30 meter daripada tingkap tadi. Belum sempat dia membuat panggilan, seorang makcik tua yang bekerja sebagai cleaner menyapanya.
“Ada duit syiling tak?”soalnya.
Faris memusingkan badannya menghadap wanita itu sebelum menggeleng perlahan.
“Eh, kamu ni Inspektor Ibrahim, kan? Saya nampak Tuan dekat tv dulu, kacak betul.” Faris keliru.
“Tak, tak. Saya Faris, makcik.”
Faris memegang kepalanya yang berdenyut.
“Saya nak pinjam duit syiling, boleh?”wajahnya dimaniskan.
“Nah,”dua keping duit syiling 20 sen dihulurkan kepada Faris.
“Terima kasih, makcik.”
Wanita tua itu tersenyum sebelum meninggalkan Faris sendirian dan menyambung kerjanya yang tergendala.
Faris mendail nombor Ibrahim namun perbuatannya terhenti apabila lehernya dicengkam dari belakang.
“Kau telefon dia, aku bunuh kau,”suara Kamal yang garau menyapa pendengarannya.Faris terdiam.
“Kau melampau, Kamal. Melati tu ibu muda, pembantu Ibrahim pula tu. Kau tak takut?”soal Faris, berpura-pura berani.
Wanita tua tadi berpaling semula ke arah Faris kerana sangkanya lelaki itu mengajaknya berbual. Terkejut dia melihat Faris yang sedang mencekik lehernya sendiri.
‘Eh, budak ni dah kenapa?Tadi elok sahaja bersembang dengan aku,’getusnya.
“Dan kau siapa nak sibuk-sibuk hal aku?”soal Kamal dengan mata yang menjegil.“Kamal, berhenti!Aku tak akan teragak-agak untuk tembak kepala kau sampai tembus.” Ibrahim tiba tepat pada masanya.
Kamal melepaskan Faris dan berjalan perlahan mendekati Ibrahim.Pergelangan tangan Ibrahim dipulas, menyebabkan pistol dalam genggamannya terpelanting jauh. Kamal tersenyum kemenangan. Mereka bergelut seketika. Suasana yang tadinya sunyi kini dipenuhi erangan Ibrahim, Faris dan Kamal.
Kamal menarik Ibrahim ke arah pondok telefon awam dan bertindak menjerut leher lelaki itu menggunakan wayar telefon. Nafas Ibrahim tersekat-sekat. Dia cuba melawan, namun apakan daya, kudrat Kamal jauh lebih besar daripadanya.
Wanita tua yang melihat jejaka bernama ‘Faris’ itu menjerut lehernya sendiri menjerit ketakutan. Baru sebentar tadi dia berbual dengannya, tiba-tiba sahaja lelaki itu bercakap sendirian sebelum bertindak mencederakan dirinya sendiri.
Wanita itu segera membuat panggilan polis. Ibrahim yang terkulai layu hanya mampu melihat dari jauh sebelum pandangannya kelam.
YOU ARE READING
PERSONA
Mystery / ThrillerIbrahim, seorang inspektor dengan peratus kegagalan menyelesaikan kes jenayah sifar. Faris? Jejaka penakut, lemah dan terlalu jujur. Dia mendapat ketenangan dan kepuasan maksima dengan berbuat baik dan melaporkan segala jenayah yang disaksikan mata...