SEISI ruang bilik mesyuarat mula senyap setelah beberapa orang atasan Apex Corporation melangkah masuk. Serentak itu juga kesemua mata mula memusatkan pandangan ke hadapan. Kerusi ditarik dan duduk dilabuhkan. Mesyuarat yang dihadiri oleh orang atasan syarikat serta ketua-ketua jabatan akan bermula beberapa minit sahaja lagi.
Saat mesyuarat dimulakan, keadaan bilik yang besar dan luas itu menjadi semakin dingin. Sementelah yang sedang berbicara di hadapan sekarang adalah CEO syarikat yang baru dilantik seminggu yang lalu. Seorang yang kelihatan mesra tetapi serius bila melibatkan soal kerja.
"Sebelum kita ke agenda yang seterusnya, saya ingin memperkenalkan COO baru syarikat kita." Kamal berpaling ke arah kiri dengan senyuman.
"Zarif."
Serentak itu kesemua mata memandang ke arah lelaki yang memakai kemeja putih dengan tali leher hitam yang disimpul kemas. Wajah yang langsung tidak beriak waima segaris senyuman.
"Mulai hari ini, Zarif akan mengambil alih tempat saya sebagai COO. Saya harap kamu semua dapat memberi kerjasama yang baik buat beliau sepertimana yang pernah kamu lakukan bersama saya dahulu."
Perlahan-lahan bunyi tepukan mula kedengaran sehingga akhirnya bunyi tepukan gemuruh berserta ucapan tahniah mula memenuhi bilik mesyuarat tersebut. Zarif menundukkan kepala buat beberapa ketika sebagai tanda terima kasih. Dan saat wajahnya diangkat, terpamer senyuman bangga di hujung bibir.
SELESAI BERMESYUARAT, Zarif menuju ke arah lif untuk ke tingkat atas. Tangan dimasukkan ke dalam poket seluar sambil memandang nombor lif yang bergerak.
"Dekat sini rupanya."
Zarif berpaling ke belakang dan senyum sesaat sebelum kembali memandang ke arah lif semula.
"Tahniah Zarif," ucap Hannah yang tegak di sisinya. Manis dengan pakaian pejabat berserta tudung di kepala.
"Or should I call you Tuan Zarif?"
Zarif senyum lagi tapi kali ini tanpa memandang Hannah di sisi. "Zarif je Hannah. Anyway, thank you."
Hannah ikut senyum. "Nak ke mana ni?"
"Bilik Tuan Kamal. Awak?"
"Nak jumpa PA Tuan Kamal."
"Nak bergosip ke?" usik Zarif dengan nada sinis. Hanya dengan Hannah dia banyak bicara begini. Hanya dengan Hannah senyumannya mudah terukir di wajah. Kerana Hannah, tidak seperti wanita lain. Kerana Hannah adalah ibarat perempuan Melayu terakhir. Itu yang sentiasa terdetik di hati setiap kali dia memandang gadis itu.
"Zarif!"
Terlepas tawa halus di bibir dan bila pintu lif terbuka, serentak dia dan Hannah melangkah masuk ke dalam perut lif.
"Zarif."
"Hurm?"
"Awak free tak lepas kerja nanti?"
Perlahan-lahan ketawanya mula surut. Riak pada wajah juga berubah dingin. "You already know the answer."
Hannah senyum. "Yeah, just trying my luck."
Walaupun hatinya kecewa, tetap bibirnya mengukirkan senyuman agar Zarif tidak merasa kekok
setelah menolak ajakannya itu tadi.
Zarif ikut senyum sesaat sebelum kembali memandang ke hadapan. Bila pintu lif terbuka, dia terus melangkah menuju ke bilik Kamal tanpa berpaling lagi.
Hannah diam memandang dari belakang. Sejak dia menjejakkan kaki ke bangunan ini, hatinya sudah mula terpaut bila melihat Zarif. Lelaki yang dingin pada awalnya tetapi perlahan-lahan berubah menjadi sedikit mesra. Malah Zarif hanya begitu bila dengan dia sahaja. Masih dingin bila bersama rakan-rakan sepejabat yang lain.
YOU ARE READING
Intrigue Cinta Zarif - Jaja Ahmad
RomanceTAJUK: INTRIGUE CINTA ZARIF PENULIS: JAJA AHMAD BLURB: Pangkat, darjat dan harta, segalanya datang tepat pada masanya. Kecuali cinta! "Kenapa baru sekarang awak hadir dalam hidup saya?" - Iffat Mencintai Iffat yang pada ketika itu merupakan kekasi...