TING! Ting! Ting!
Iffat mengangkat kepala dari bantal dengan terpisat-pisat. Hampir sahaja dia merebahkan kepala ke bantal semula bila bunyi ting ting kembali kedengaran. Menggagau tangannya mencari telefon dengan mata yang sebelah terbuka. Langsir tebal yang tertutup membuatkan keadaan bilik malap dengan hanya lampu sisi meja yang bernyala.
Telefon yang masih berbunyi di atas meja sisi katil akhirnya berjaya dicapai. Tanpa melihat nama pemanggil, panggilan tersebut terus dijawab.
"Oh my, Iffat! Kau dekat mana?"
"Bell?" soal Iffat dengan suara yang serak.
"Kau tidur ke?"
"Ada apa Bell?" Badan yang meniarap bertukar telentang. Dengan mata yang terpejam dia melekapkan telefonnya ke telinga.
"Astaghfirullahalazim Iffat. Dah dekat pukul 10 pagi kau duk membuta lagi? Dari tadi orang Apex duk cari kau ni hah."
Spontan mata Iffat terbuka dan tunak memandang siling bilik tidurnya. "Kau cakap apa tadi? Pukul berapa?"
"Pukul 10, orang Apex..."
Iffat terus tegak di tengah katil dengan rambut yang serabai. "Aduh!" Ditekan-tekan kepalanya yang tiba-tiba sakit mencucuk. Suara Bell dengar tak dengar sahaja pada pendengarannya sekarang.
"Dari tadi dia cari kau. Tuan Syed pun tak masuk-masuk lagi ni ha, adoi peninglah aku nak menjawab."
"Siapa cari?"
"COO Apex. Ada masalah dekat tapak projek..."
"Apa??" Sekali lagi Iffat terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Bell. Selimut tebal ditolak ke tepi dan dengan kepala yang mencucuk kesakitan, dia cuba bangun dari katil. Sempat dia menilik pakaian yang tersarung pada badan. Terus buntang matanya. Pakaian semalam?
"Kau nak masuk ofis pukul berapa ni Iffat? Apa aku nak jawab kalau orang Apex call nanti ni?"
Punggung dihempas ke katil semula dengan tangan kanan memegang telefon manakala tangan kiri pula naik memicit kepala.
"Sekejap lagi aku call Tuan Zarif. Kau call Tuan Syed, beritahu dia tentang perkara ni."
"Baiklah. Kau masuk ofis ke tidak ni?"
"Apa-apa nanti aku beritahu kau semula." Perbualannya dengan Bell ditamatkan dan dia terus menyemak rekod panggilan yang tidak dijawab. 10 panggilan daripada Zarif sahaja. Tangan kanan terus naik ke dahi.
"Matilah!"
Nafas ditarik dalam lalu nombor telefon Zarif dihubungi. Tangannya tidak diam mengemaskan rambut yang berserabai sambil menenangkan hati yang berdebar menantikan panggilannya berjawab.
"Still alive?"
Belum sempat dia menyapa, Zarif terlebih dahulu melontarkan soalan sinis kepadanya. Dengan nada dingin dan beku begitu, dapat dia bayangkan bagaimana reaksi wajah lelaki itu ketika ini.
"Tuan Zarif..." Terus panggilannya kepada Zarif berubah.
"Where have you been, Iffat? Dah pukul berapa sekarang, tak masuk kerja ke?"
"Saya minta maaf Tuan Zarif. Saya..."
"Berlaku kemalangan dekat tapak projek. Saya nak awak ikut saya ke sana sekarang."
"Kemalangan apa?" Terus dia terbangun daripada duduknya dan meraba-raba tidak tahu apa yang perlu dicapai dahulu.
"Didn't you get the news? Damn it Iffat, awak buat kerja ke tidak ni?" Jelas kedengaran suara Zarif yang tertahan. Menahan diri daripada memarahi Iffat.
YOU ARE READING
Intrigue Cinta Zarif - Jaja Ahmad
RomanceTAJUK: INTRIGUE CINTA ZARIF PENULIS: JAJA AHMAD BLURB: Pangkat, darjat dan harta, segalanya datang tepat pada masanya. Kecuali cinta! "Kenapa baru sekarang awak hadir dalam hidup saya?" - Iffat Mencintai Iffat yang pada ketika itu merupakan kekasi...