TALI leher yang terikat kemas dilonggarkan sedikit ikatannya sambil Afiq melangkah keluar dari bilik pengarah urusan. Langkah terus diatur ke tingkat bawah, menuju ke ruang kerja yang luas terbuka. Kelihatan pekerjanya tekun dengan kerja masing-masing. Turut kelihatan beberapa orang sedang berkumpul di meja berhampiran dinding kaca, juga sedang berbincang soal kerja. Dia hanya angguk bila disapa ketika berjalan melepasi mereka.
Tiba di hadapan bilik Iffat, badannya yang tegap disandarkan pada ambang pintu dengan kedua-dua belah tangan memeluk badan sendiri. Kebetulan pula pintu bilik kekasihnya itu telah sedia terbuka. Buat seketika dia hanya diam melihat Iffat yang tunduk fokus pada kerja. Serasa seperti telah lama mereka tidak bertemu, segala gerak-geri dan reaksi kekasihnya itu diperhati.
"Bos?"
Afiq berpaling ke belakang. Tersengih-sengih Bell memandang ke arahnya. Terus kening dijongket ke arah pekerjanya itu.
"Mengintai ya?" usik Bell tanpa rasa bersalah membuatkan tawa halus lelaki itu meletus.
"Pergi buat kerjalah Bell."
Mencicit Bell lari sambil membawa muk di tangan. Dia baru keluar dari pantri ketika terlihat Afiq yang elok bersandar pada pintu bilik Iffat yang terbuka. Sudah lama tidak melihat bosnya itu turun melawat kawasan, sajalah dia nak mengusik.
Afiq mengalihkan pandangan ke hadapan semula dan serentak itu pandangan matanya bersabung dengan pandangan mata Iffat. Kekasihnya itu kelihatan tenang bersandar dengan kedua-dua belah tangan bersilang. Kening Iffat juga turut terjongket seperti keningnya seketika tadi.
"Hai sayang."
"Buat apa dekat situ? Mengintip?"
Terlepas tawa daripada bibir Afiq dan serentak itu dia melangkah menuju ke arah meja si gadis.
"You dengan Bell sama je. Sorang tuduh I mengintai, sorang tuduh I mengintip." Kerusi ditarik dan duduk dilabuhkan berhadapan dengan Iffat.
"Sibuk?"
Iffat mencemik. "Boleh tahanlah. I tengah semak e-mel dari engineer dekat Nusajaya. Rasanya minggu depan dah kena balik JB semula."
"That soon?"
Iffat angguk dengan wajah tanpa riak. Lihat pada raut wajah Afiq juga dia sudah tahu kekasihnya itu tidak berpuas hati bila dia terpaksa kembali ke Johor semula dalam waktu yang terdekat.
"Agak-agak bila kerja dekat JB boleh siap?"
"Sekarang dah masuk fasa ke 4, dalam beberapa bulan lagi kalau tak ada masalah siaplah projek tu."
Terangkat kening Afiq. Rasa macam lama tapi hakikatnya pejam celik dah nak siap projek yang telah memakan masa selama 2 tahun itu.
Iffat juga tidak sangka projek di Nusajaya berjalan dengan lancar dan dapat disiapkan lebih awal dari jangkaan. Inilah yang untungnya bila bekerjasama dengan syarikat besar, tiada sebarang masalah yang timbul sama ada dari segi kewangan, pekerja juga bekalan bahan binaan.
"Rasa lain bila you tak ada dekat sini. Tak bersemangat I nak datang kerja."
"Oh, really?" soal Iffat dengan kening terjongket.
"Betul ke tak bersemangat sebab I tak ada? Bukan tak bersemangat sebab sibuk fly sana sini?"
Afiq tergelak. "I fly buat duit sayang, bukan fly buang duit."
"Yeah, dah puas fly sambung party pula. Kan?"
"Oh, come on Iffat." Hilang tawa berganti dengan senyuman kurang senang. "Siapa yang repot dekat you ni?"
YOU ARE READING
Intrigue Cinta Zarif - Jaja Ahmad
RomantizmTAJUK: INTRIGUE CINTA ZARIF PENULIS: JAJA AHMAD BLURB: Pangkat, darjat dan harta, segalanya datang tepat pada masanya. Kecuali cinta! "Kenapa baru sekarang awak hadir dalam hidup saya?" - Iffat Mencintai Iffat yang pada ketika itu merupakan kekasi...