"DUNIA korporat memang begitu Zarif. Kita bukan sahaja perlu bijak, malah kena pandai bermain di dalamnya."
"Bermain?"
Tan Sri Megat tersenyum melihat Zarif yang mengulang kata-katanya dengan wajah tanpa riak. Anak muda ini sangat menarik pada pandangan matanya. Mempunyai raut wajah yang kacak tetapi agak misteri. Sukar untuk ditebak apa yang bermain dalam fikirannya itu.
"Dan kita sebagai pemain harus pandai menyusun strategi serta taktik permainan."
Kayu golf diayun perlahan dan sebiji bola putih kecil terus bergolek masuk ke dalam lubang. Tan Sri Megat senyum lagi. "But I know you are always ready to play and you can play it very well. Kalau tidak, takkanlah Kamal pilih awak untuk gantikan tempat dia."
Baru sekarang hujung bibir Zarif ditarik senyuman walaupun cuma sesaat.
"Setiap kali saya jumpa Kamal, nama awak tidak akan terlepas daripada bibir dia."
"He's my mentor."
"Saya tahu. Tengok cara awak bekerja pun saya dah tahu siapa mentor awak."
Kening Zarif sedikit berkerut.
"Jangan selalu berkerut macam tu, nanti cepat tua." Canda Tan Sri Megat sambil ketawa.
Belum sempat Zarif membalas, kelihatan sebuah kereta buggy berhenti tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Tidak lama kemudian, turun seorang gadis yang memakai pakaian sama seperti atlet golf wanita siap dengan topi di kepala. Teratur langkahnya menuju ke arah Zarif dan Tan Sri Megat yang tegak memandang.
"Iffat Emily... What brings you here?" Melebar sengihan pada wajah Tan Sri Megat saat Iffat semakin merapat.
"Hai Tan Sri Megat. Maaf kalau saya mengganggu."
Tan Sri Megat berpaling ke arah Zarif dengan kening terjongket. "No, you're not. Come, join us. Boleh Zarif?"
Serentak Tan Sri Megat dan Iffat berpaling ke arah Zarif. Baru sekarang pandangannya dipakukan ke wajah jejaka yang tegak di sisi Tan Sri Megat. Sejak Iffat tiba seminit yang lalu, langsung dia tidak memandang jejaka itu.
Zarif cuma angguk dengan wajah tanpa riak.
"Tak mengapa Tan Sri. Lagipun, saya tak pandai main golf."
"Tak pandai main? But your outfit..."
"Pemakaian saya mengikut keadaan dan suasana Tan Sri," jawab Iffat dengan gaya bersahaja. Langsung tidak terusik dengan kata-kata lelaki itu.
"Oh begitu. Nak belajar main golf tak?"
"Tan Sri nak ajar saya?"
"Oh tidak Iffat Emily, bukan saya. Kalau Puan Sri tahu nanti, tidur luar saya malam nanti." Serentak itu ketawa Tan Sri Megat dan Iffat bergabung. Hanya Zarif yang masih tidak bereaksi. Tegak merenung si gadis dengan wajah tanpa riaknya itu.
"Zarif boleh ajarkan." Sekali lagi Tan Sri Megat berpaling ke arah Zarif. "Kan Zarif?"
Hilang tawa daripada bibir Iffat dan serentak itu pandangan matanya bertaut dengan pandangan mata Zarif.
Belum sempat Zarif menjawab, sekali lagi Tan Sri Megat bersuara.
"By the way, kamu berdua sudah saling mengenali atau tidak?"
Iffat menggeleng. Tetapi berbeza dengan Zarif, dengan mata yang masih merenung wajah Iffat dia menjawab... "I know her."
"Really? Tapi awak tak kenal siapa dia, Iffat?"
YOU ARE READING
Intrigue Cinta Zarif - Jaja Ahmad
RomanceTAJUK: INTRIGUE CINTA ZARIF PENULIS: JAJA AHMAD BLURB: Pangkat, darjat dan harta, segalanya datang tepat pada masanya. Kecuali cinta! "Kenapa baru sekarang awak hadir dalam hidup saya?" - Iffat Mencintai Iffat yang pada ketika itu merupakan kekasi...