BAB 38 | DENDAM CINTA 2

5.7K 466 141
                                    

MENGHEMPAS lelah, tubuh dibongkokkan sembilan puluh darjah. Bibir terbuka sedikit mengejar nafas, menghirup laju oksigen yang mula berkurangan dalam tubuh. Dalam postur itu, dapat Adam rasa paluan jantung yang menendang-nendang sangkar dada. Keringat yang membasahi dahi dilap menggunakan tuala kecil yang dililit pada leher.

"Huh, penat! Tak cukup nafas dibuatnya." Yazid yang baru tiba mendesah kepenatan. Tercungap-cungap dia mencari udara. Mana tidaknya, lima kilometer larian yang dibuat hari ni. Ini semua gara-gara Adam.

Beria-ria Adam mengajak dia bersenam pada petang itu. Katanya sudah lama tidak memanaskan badan dek kekangan kerja dan waktu. Ikutkan hati, Yazid malas mahu mengikut. Yalah, hujung minggu begini patutnya Adam 'qada'' waktu tidurnya yang banyak dihabiskan di hospital. Ini tidak. Ada saja aktiviti yang doktor lelaki itu mahu lakukan. Yang jadi mangsa penemannya si Yazid nilah.

"Baru lima kilometer kita lari. Takkan kau dah pancit kut?" Adam menggeleng seraya menyorot pada Yazid yang kelihatan penat sangat gayanya. Jelas berombak kasar dada jejaka itu.

"Tu... tuan cakap senanglah. Tuan dah biasa. Saya ni macam nak putus nyawa tau! Air... air mana air?" Menggagau Yazid mencari botol air yang dibawa bersama. Tanpa bismillah, terus diteguk minumannya melepasi tenggorok. Fuh, lega betul!

Geleng kepala Adam tengok tingkah gelojoh Yazid. Tersedak nanti, Adam juga yang susah. Eh, apa pula susah? Memang itu tanggungjawabnya sebagai seorang doktor, kan?

"Saya rasa tuan dah patut berkahwin. Sampai bila tuan nak membujang? Takkan tuan nak berkepit dengan saya sampai ke tua? Eh, saya nak kahwin tau!" Bising mulut Yazid menceceh. Seketika kemudian, punggung dilabuhkan di sebelah Adam. Di hadapan mereka, terbentang luas sebuah tasik. Cantik sungguh pemandangannya.

Berdecit halus, Adam menjeling Yazid yang kelihatan pegun mengamati keindahan di depan mata.

"Sekurang-kurangnya kalau tuan kahwin, takdelah tuan sunyi. Tengok sekarang ni, saya juga yang tuan heret ke hulu ke hilir."

Menceber bibir Adam. Rungutan Yazid langsung tak terpahat di hati. Kedengaran jelak benar nadanya tu.

"Kau ingat nak kahwin ni senang? Pilih yang mana berkenan, lepastu terus ajak nikah? Ni bukan main kahwin-kahwin masa zaman kita budak-budak dulu." Adam membidas. Mudah betul Yazid suruh dia berkahwin. Kalau calonnya dah ada, tidak mengapa juga. Ini bayang-bayang pun yillek.

"Pu... Cik Jasmine kan ada?" Yazid kerling-kerling Adam dengan riak wajah mengusiknya. Ada senyuman miring yang bergayut di hujung bibir. Bukankah Adam sudah lama memendam perasaan terhadap Marissa? Jadi, apa lagi yang lelaki itu mahu tunggu? Masuk meminang teruslah!

"Kau cakap senanglah. Macamlah Jasmine tu nak kat aku. Aku tak nak bertepuk sebelah tangan. Lagipun, Jasmine baru berpisah dengan Harraz. Mustahil dalam masa terdekat ni dia nak cari peganti."

Mengeluh agak kuat, Adam sandarkan tubuhnya pada bangku yang diduduki. Tangan bersilang rapat ke dada. Sembari menghirup angin segar pada petang itu, benak jauh menerawang memikirkan masa depan.

Tipulah kalau Adam kata dia tidak ada niat mahu mendirikan rumah tangga. Lumrah seorang manusia, sudah tentu mahu membina sebuah keluarga, menyalur kasih pada tempat yang sebetulnya.

Namun, barangkali sudah tertulis yang jodohnya masih belum tiba. Perlu bersabar sedikit cuma, Adam yakin, di saat rohnya ditiupkan ke dalam rahim sang bonda, termaktub sudah siapa pemilik tulang rusuknya.

Kerut-kerut dahi Yazid berfikir. Dia tak rasa itu alasan kukuh Adam yang membuatkan doktor muda itu masih belum mahu berumah tangga. Nak kata Marissa tak mempunyai rasa yang sama, Yazid nampak bagaimana sinar mata wanita itu setiap kali berdepan dengan Adam. Netra Marissa tak pernah berbohong dalam mengeskpresi perasaannya. Dalam erti kata mudah, Adam dan Marissa berkongsi rasa yang sama. Dan Yazid yakin, Adam tahu lubuk hati Marissa terhadapnya.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [COMPLETED]Where stories live. Discover now