BAB 47 | DENDAM CINTA 2

2.8K 149 6
                                    

APA yang patut dia rasakan tika ini... Marissa sendiri tak pasti. Kawasan perkuburan itu lama diperhatikan. Entah betul atau tidak dengan keputusannya datang ke sini. Dia mahukan jawapan. Tapi yang menyerabutkan fikirannya sekarang, adakah dia akan dapat jawapan yang dimahukan? Mahu berpatah balik, mereka sudah terlajak ke sini. Daripada otaknya berterusan berteka-teki, lebih baik dia sendiri menggali jawapan tersebut.

"Jom?" Kekura si isteri disulam dengan jemarinya.

Tersentak, Marissa cepat-cepat alihkan pandangannya. Adam di sisi sedang tersenyum manis ke arahnya. Ah, kuasa magis apa yang lelaki itu gunakan sehinggakan gundah dalam dada bertebangan hanya dengan senyuman bak gula itu.

"Min tak sedap hatilah... Macam mana kalau jawapan yang Min cari tak seperti yang Min harapkan?" Gusar dalam hati diluahkan. Sekejap-sekejap matanya meliar-liar ke kawasan tanah perkuburan itu.

Adam menghela nafas. Dia turut memandang sama ke satu arah yang menjadi bualan mereka tika ini. Fahamlah dia mengapa air muka si isteri muram sejak mereka sampai ke kawasan tersebut.

"Sayang... look at me."

Perlahan-lahan Marissa menoleh, menatap sepenuhnya ke wajah Adam. Bebola mata bergerak-gerak mencari anak mata sang suami. Renungan yang sangat lembut itu sedikit sebanyak meredakan gelodak jiwanya.

"Abang tak tahu jawapan apa yang sayang mahukan. Tapi abang harap, apa pun kenyataan yang kita tengok nanti, abang nak sayang terima dengan hati yang terbuka. Cukuplah isteri abang disakiti. Abang tak mahu Min sakitkan hati sendiri pula." Serentak, tangan naik mengusap kepala si isteri yang berlapik tudung. Adam tahu apa yang bermain di fikiran Marissa.

Udara disedut, berlumba-lumba masuk ke dalam peparu. Berbekalkan semangat dalam diri serta sokongan sang suami, Marissa atur langkah memasuki kawasan tersebut.

Terpaku.

Langkah kaki dimatikan betul-betul di pusara yang tidak asing. Namun, riak muka tak mampu dikawal dengan rasa terkejutnya. Kepala digeleng-geleng seraya mata melingas ke kiri kanan mahu memastikan sesuatu. Dan dia cukup pasti inilah pusara yang dicari. Pusara yang tidak asing lagi. Tapi kenapa...

Sekejap cuma, Marissa bagaikan baru tersedar.

Dhian Lisa binti Manaf.

Senyuman pahit diukir. Yang diharapkan kekal sebagai mimpi, menjadi realiti. Marissa pejam mata sesaat, cuba mengusir pelbagai rasa yang mula mengambil tempat ke dasar hati.

Perhati, diam dan biar.

Diperhatikan sang isteri tanpa lepas.

Diam tanpa perlu sepatah kata untuk memujuk.

Dibiarkan Marissa melayan perasaan tanpa perlu diganggu.

Semua itu dilakukan hanya menggunakan bahasa tubuh. Bukan Adam tak mahu memujuk Marissa yang mula menangis, tetapi dia mahu memberi wanita itu ruang untuk bersendirian. Hatinya juga meronta-ronta mahu mendakap tubuh yang teresak itu.

Mulut ditekup saat tangisannya tak mampu lagi dikawal. Terenjut-enjut bahu menahan esakan yang makin menggila. Luka yang masih belum sembuh kembali ditoreh-toreh. Seperti ada sebilah belati sedang menghancur lumatkan sekeping hatinya tika ini.

"Ya Allah... Allah... sakitnya..." Kalimat Tuhan bergema di bibir. Air mata yang deras turun di lekuk dagu dibiarkan terus mengalir. Adakah sesakit ini sebuah penipuan?

Adam tak betah lagi mahu membiarkan. Segera didakap jasad isterinya. Semakin ketat pelukannya bila mana gigilan pada tubuh Marissa semakin terasa. Esakan wanita itu juga tiada tanda-tanda mahu berhenti.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [COMPLETED]Where stories live. Discover now