AIR mata yang jatuh ke pipi, segera dikesatnya. Yazid pandang sekeliling rumah yang tiada lagi seri. Rumah milik Adam yang dijaga sejak pemergian lelaki itu beberapa hari lalu. Tidak mahu melayan kesedihan yang melilit hati, segera gugusan kunci dikeluarkan dari poker seluar.
Buat sekian kali, kaki Yazid bagai dipasak ke lantai bumi. Setiap ceruk dalaman rumah itu diamati. Tanpa dia sedar, kolam mata yang sudah kering kini dibasahi dengan cecair hangat.
"Yang kau tercegat dekat depan pintu tu dah kenapa? Sinilah, masuk!"
"Masuk, Yazid. Saya ada masak nasi lemak sambal sotong ni. Meh makan dengan kami sekali."
Terngiang-ngiang suara Tuan Adam dan Puan Jasmine di halwa telinganya. Yazid menjunjut dalam nafasnya. Dada yang terasa sakit, lekas ditepuk perlahan. Seperit inikah rasanya tatkala kehilangan orang yang terlalu rapat dengan kita? Dilayan seperti keluarga sendiri. Sungguh, Yazid masih tak dapat terima kenyataan bahawa Adam dan Marissa telah pergi meninggalkan dia.
"Meow..."
Terasa geselan di kaki, pantas Yazid menundukkan kepala. Air wajahnya kembali sendu. Kucing parsi milik majikannya direnung dengan perasaan sayu. Lantas, Darling diangkat ke dalam dukungan.
"Kau mesti tertanya-tanya ke mana tuan kau pergi, kan?" Sofa berangkai tiga dituju. Yazid melabuhkan duduknya sambil mengusap kepala Darling. Diam saja kucing betina itu dalam dakapan Yazid.
"Tuan Adam dan Puan Jasmine dah tak ada. Mereka dah meninggal dunia. Sekarang, cuma tinggal kau dengan aku je..." Lirih suara Yazid saat mengungkapkan ayat tersebut. Semakin bertambah sedih hatinya apabila kucing parsi milik Adam menyahut perlahan.
Kembali teringatkan tragedi hitam itu, serta-merta hati Yazid membahang. Urat-urat lehernya timbul tegang. Wajah Diana berlayar-layar di ruang mata. Setiap kali itu juga, dengusan kerasnya dilepaskan keluar. Kalau perempuan tu ada di depan matanya sekarang, dah lama dia pecahkan muka Diana itu. Nasib saja Diana tiada di Malaysia sekarang ini. Perempuan itu sekarang berada di luar negara untuk menerima rawatan lanjut kerana penyakit mentalnya. Dengar-dengar juga, selepas insiden itu Shafqi terus membawa adiknya pindah ke luar negara. Di mana, Yazid sendiri tidak pasti.
"Apesal kau makin kurus?" Tubuh berbulu Darling dibelek-belek. Terasa ringan semasa Yazid mendukung si kucing parsi itu.
Seketika, Yazid ketawa kecil. Serupa orang tak betul saja dia tika ini. Berborak seolah-olah Darling mampu membalas kata-katanya.
"Cubalah bawak berbaik sikit dengan kucing aku tu. Kau ada masalah apa dengan dia, Yazid? Lepas ni kalau aku tak ada, kau yang kena jaga dia. Ada faham?"
Bicara dan pesanan Adam bermain lagi di indra pendengaran. Bibir Yazid melengkung naik dan serentak itu, helaan lemah dilepaskan panjang.
"Lepas ni, kau kena makan banyak sikit. Sebab Tuan Adam dah amanahkan aku untuk jaga kau andai satu hari nanti dia tak ada. Sekarang, tuan baru kau adalah Daddy Yazid. Kau kena panggil aku daddy, tahu?" Sejurus itu, tawa Yazid pecah melatari suasana. Bahunya terhinggut bersama linangan air mata yang bakal tumpah bila-bila masa. Sengaja buat lawak bodoh untuk mengurangkan kesedihan hati.
"Aku tahu kau rindukan Tuan Adam... Aku pun rindukan dia juga..."
Mata dipejam. Sekejap sangat rasanya Tuhan meminjamkan Adam kepadanya. Ketika dia tidak punya sesiapa, Adam menganggap dia seperti saudara. Datangnya dia ke kota besar ini bersama tangan kosong. Adamlah yang memberi Yazid peluang merasai nikmatnya bekerja dan mengumpul wang. Apa yang ada pada dirinya sekarang, semuanya atas jasa Adam. Lelaki itu terlalu banyak membantu.
YOU ARE READING
3.0 | DENDAM CINTA 2 [COMPLETED]
RomanceDua bulan hidup di bumi Ireland, cukup membuatkan Marissa merasai bahagia yang pernah hilang dahulu. Demi anak-anaknya, Marissa bangkit untuk melupakan derita dan lelaki yang pernah bertakhta di hatinya. Hidupnya semakin berseri dengan kehadiran seo...