BAB 40 | DENDAM CINTA 2

10.2K 474 73
                                    

HILANG kosa kata. Tubuh mengeras di tempat duduknya. Lebih senang menekur jari kaki daripada mengangkat muka menentang mata mereka. Entah yang ke berapa kali, nafas ditarik payah masuk ke dalam peparu. Ruang pernafasannya sesak.

"Marissa..."

"Stop right there." Tangan diangkat lurus ke depan bila bayang-bayang seseorang makin dekat ingin menghampiri. Melarang agar wanita itu tidak mendekati dirinya.

Hening mendominasi suasana. Baik Marissa mahupun manusia-manusia di situ, semuanya kekal berdiam tidak bersuara. Cuma mata menjadi medan mereka berkomunikasi. Senyap.

"Seven years... and I know nothing about this..." Sumbang tawa Marissa memecahkan sunyi. Diselitkan nada kesal sebelum bicaranya bertemu noktah. Tujuh tahun dan dia tidak tahu apa-apa mengenai kejadian yang dirasakan bodoh itu.

Harraz tersentak. Urat tangannya sudah keras mengejang mendengar nada yang penuh sinis itu. Bukan reaksi sebegini yang Harraz mahu. Marissa yang ini lebih gerun jika dilihat sekarang. Mata yang selalu bercahaya itu sekejap saja bertukar gelita.

"Ris, dengar penjelasan ab..."

"Dari dulu sampai sekarang, aku memang dungu. Terlalu mudah letak kepercayaan pada orang sekeliling. Aku ni memang senang nak diperbodoh-bodohkan atau aku yang terlalu naif untuk nampak perangai iblis kau orang tu?" Langsung tak bagi peluang Harraz bercakap, Marissa cepat saja menyelar tajam.

Tujuh tahun bukan dalam lingkungan masa yang singkat. Selama ini, dia hidup dalam senario penipuan. Lisa yang disangkakan sudah mati, rupanya-rupanya masih bernyawa hingga hari ini. Harraz yang dianggap orang asing sewaktu awal perkenalan, ternyata pernah hadir sebagai kenalan.

Mengenangkan kenaifan diri, bibir berdesir melepaskan gelak. Seribu satu rasa yang dipendam akhirnya membuak keluar. Tidak melalui bicara, bahkan bukan juga air mata. Tetapi tawanya. Agaknya, hidup Marissa memang sudah ditakdirkan untuk ditipu dan diperdaya.

"Demi Allah, abang tak ada niat nak tipu Ris. Abang cuma tak bersedia nak bagitahu Ris tentang masalah yang pernah jadi antara kita tujuh tahun lalu. Percayalah, Ris." Lelaki dengan emosi, selalunya mudah dikawal. Tapi tidak untuk Harraz serta bukan kali ini.

Saat yang ditakuti akhirnya berlaku. Dihukum sebagai pesalah, menjadi tontonan beberapa mata sebagai saksi. Dari awal lagi, Harraz dapat mengagak detik ini bakal terjadi. Oleh sebab itu jugalah, dia tiada nyali untuk membuka mulut sewaktu pertemuan dia dengan sang juwita setahun yang lalu. Harraz pengecut untuk bersikap jujur.

Wallahi, tiada sedikit pun di hati Harraz terdetik mahu membohongi Marissa. Pertemuan mereka semasa di pejabatnya dahulu turut mengundang terkejut pada Harraz. Tujuh tahun lamanya setelah peristiwa pahit itu, Harraz langsung tidak memunculkan diri lagi.

Namun, segala-galanya berubah bila Marissa dengan sendiri datang menyerah. Perselisihan faham yang timbul menyebabkan keadaan berubah sekelip mata. 'Kematian Lisa' adalah punca semua ini berlaku. Kalau tak kerana Harraz yang mencipta masalah, keadaan mungkin dapat dikawal dan tidak setegang sekarang ini. Dek tidak berfikir panjang, impak datang bertubi-tubi.

"Semua ni salah Abang Ian." Damian bersuara dari pihaknya. Apa yang berlaku dulu, semua silap dia. Sepatutnya Damian yang perlu dihakimi. Harraz tak akan bertindak sebegitu jika ia tidak datang dari permintaan abangnya sendiri. Yang seharusnya galas dosa itu ialah Damian.

Dua jari naik menutup bibir, menahan geli hati yang bermukim sejak tadi. Mata teroleng ke atas.

"Abang Ian?" Mengejek. Memerli juga pun ya. Memicing bola mata ke arah Damian. Lelaki itu membahasakan diri sebagai abang? Kah! Lucu sungguh bunyinya.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [COMPLETED]Where stories live. Discover now