Prolog

391 45 10
                                    

DAREENA pandang lama lelaki yang kekal tenang itu. Riak wajah selamba saja. Seakan tiada apa yang menggusarkannya.

Dareena berdeham sedikit. Seakan mengosongkan tekak sebelum melanjutkan bicara.

"Saya ni cuma pengganti ke?" Akhirnya terkeluar juga kemusykilan hati. Memang itulah yang bermain dalam fikiran. Dia pasti wanita yang dia nampak di parkir kereta dulu, pasti seseorang dalam hidup Saheim.

"Is it?" Soal Dareena lagi.

Lelaki itu kekal tenang dan seketika kemudian dia menggeleng.

"Habis tu?" Dareena jadi hilang sabar melihat betapa tenangnya si lelaki walau teraju soalan yang menuntut jawapan.

"I did some research on you."

Mata Dareena membulat dan kemudian terhela nafas seiring dengan gelengan kepala.

Jawapan yang diterima langsung tak seiring dengan soalan yang dia lontarkan tadi. Langsung tak menjawab apa-apa juga.

"Jadi saya ni salah satu projek untuk awak kaji ke?" Dareena bertanya serentak dengan keluhan kecil.

Melihat si dia terangguk kecil, makin menipis kesabaran yang cuba dikumpul sejak tadi.

"Rasanya tak apa kan kalau saya jadi macam salah satu projek awak yang tak jadi, yang tergendala." Dareena renung wajah tak beriak Saheim.

Susah betul bercakap dengan orang yang sukar dibaca raut wajahnya. Sukar ditebak apa yang sedang bermain dalam fikiran.

"I akan buat sampai jadi."

Mata Dareena tak berkelip memandang Saheim. Kesungguhan yang dia tak pernah nampak dalam diri Fakrul.

Keduanya sangat berbeza dalam serba-serbi.

"Lagipun I memang tak suka buat kerja separuh jalan. Alang-alang bertemu, lebih baik terus ke jinjang pelamin."

Bibir Dareena terkunci terus. Hilang bicara hendak membalas. Kesungguhan yang berjaya menjentik hatinya.

Tapi yang jadi masalahnya, dia sudah terikat dengan orang lain.

"Pegang kata-kata I, Dar."

Mata Dareena terus terpaku pada wajah Saheim. Hanya lelaki ini yang memanggilnya begitu. Sedangkan yang lain sudah terbiasa memanggilnya Reena sejak dulu.

Dan panggilan nama itu bagaikan melembutkan hatinya untuk menerima. Betapa mudahnya dia membuka hatinya. Hanya dengan sebaris panggilan.

Tapi, macam mana jodoh yang sudah diatur kedua orang tuanya?

Haruskah ditolak sedangkan persiapan sudah hampir siap, hanya menanti saja hari besarnya.

"Dar..." Suara Saheim meleret menyeru.

"Hmm?" Sendiri tak sedar menyahut begitu, kening Dareena sedikit ternaik di hujungnya. Dan apabila tersedar, cepat-cepat dia berdeham segan.

Kenapalah terasa diri di persimpangan. Kenapa perlu dia memilih dan kenapa Saheim muncul saat dia sudah tiada pilihan dalam memilih.

"Nak kahwin lari?"

Bulat mata dan rahang sedikit ternganga.

RASA YANG ADAWhere stories live. Discover now