PUSING kiri dan pusing kanan. Dari menyandar pada kerusi, ditegak pula badan. Yang pasti dia dah tak tenteram dengan perkhabaran yang baru diterima tadi.
"Ada orang merisik."
Lebih kurang begitulah kata-kata ibunya tadi. Terasa seperti ada batu meteor yang baru menghempap bahu dan memusnahkan harapannya untuk bersama dengan Fakrul.
Walau kekasih hati dan serupa biskut. Sekejap ada dan sekejap hilang. Sekejap lagi muncul pula dengan jambangan bunga di tangan, tapi tetap juga mampu membeli jiwanya kembali.
"Tapi ma..." Ayat terhenti di situ, hujung bibir digigit perlahan. Dareen telan liur.
Tak sanggup nak menghabiskan kata-kata senduru apabila jelingan mata si ibu memenuhi ruang mata.
"Ma tak nampak ke mana hala tuju hubungan Reena dengan Fak..." Mata Puan Suhaili menjeling lagi. Nak sebut habis nama lelaki yang menjadi pujaan si anak. Buat hati jadi sakit saja.
"Fakrul ma, Fakrul. Tak boleh ke ma sebut habis nama dia. Sebut betul-betul. Dah macam mencarut, ma. Tak baik." Dareena lirik sedikit. Nak menjeling lebih-lebih dia takut pisau di tangan ibunya yang singgah dulu. Takut dia bakal jadi pengganti bawang yang sedang dihiris ibu.
"Papa nak terima pinangan tu." Puan Suhaili cacak pisau di papan pemotong. Sengaja nak bagi gerun Dareena yang membantah dan seakan tidak setuju sejak tadi. Terpaksa pula diguna nama si suami dalam skrip rekaan.
"Ma..." Meleret suara Dareena. Tak habis lagi diubat hati apabila Fakrul menghilang seminggu ini tanpa khabar.
Dan dia tak pasti alasan apa yang bakal ditabur Fakrul kelak.
"Kalau dia serius dah lama dia masuk merisik." Mata Puan Sulaili masih menjeling.
"Alasan apa dia bagi? Dah kenal bertahun-tahun tapi tak ada usaha nak menghalalkan. Atau dia memang tak ada niat langsung ke arah tu? Hanya nak buat Reena teman mesra semata?"
Dareena diam.
Ada benarnya apa yang dikata ibu. Selama ini memang dia tak pernah nampak Fakrul berusaha ke arah itu. Malahan tidak pernah juga membicarakan tentang masa depan bersama.
"Red flag! Red flag!" Terngiang pula suara teman baiknya, Sha.
"Aku mengaku memang Fakrul tu hensem, tapi tengok cara dia tu memang macam ada yang tak kena. Kau tak nampak sebab kau tengah dilamun asmara. Teruk mana layanan dia pun kau tetap tak akan nampak sebab kau dah sayang mati dengan dia." Selamba saja bicara Sha. Langsung tak ada selindung-selindung.
Pedih namun ada kebenarannya.
Dareena sandarkan tubuh ke belakang. Walau si ibu dah menghilang ke atas dan suara Sha sudah tidak terngiang lagi, tetap juga membuatkan dia tidak keruan.
Memang dari dulu dia tak pernah membantah. Diturutkan saja kata si ibu. A kata ibunya, A jugalah yang dia akan ikut. Tak berani nak membangkang.
Tapi, kali ini tak tahu kenapa hari terasa berat. Bertunang dengan entah siapa. Lelaki yang dia lamgsung tak kenal.
Dareena hela nafas berat.
Kalaulah berita ini sampai ke telinga Sha, pasti berbulan-bulan dijadikan bahan gurauan dan sindiran.
Sejak dulu betapa dia mempertahankan cintanya pada Fakrul. Lelaki yang dicanangkan sana sini sebagai bakal imam dalam hidupnya.
Namun Sha antara yang membantah. Sama seperti mama. Kalaulah ada kelab anti Fakrul, pasti keduanya jadi ahli seumur hidup tanpa paksaan. Agaknya kalau dikenakan yuran tahunan pun mungkin sanggup juga.
Dari dapur berpindah ke bilik, fikiran Dareena terus berkecamuk. Dalam fikiran dihujani wajah lelaki dikatakan merisiknya.
Mata, hidung, telinga, bibir seakan terlukis sendiri dan menjelmakan imej rekaan dalam kepalanya.
Hensem atau tak?
Dareena sedut nafas panjang.
Tua atau muda?
Tinggi atau pendek?
"Kenalan lama papa."
Itu yang dikatakan mama apabila dia bertanya. Pelik betul begitu mudah menerima pinangan tanpa bertanyakan persetujuannya terlebih dahulu. Dah macam urusan jual beli pula, tapi malangnya tuan empunya diri tak tahu apa-apa.
Dareena rebahkan tubuh di tilam.
Penat kepala otak memikirkan.
Dan perhatian teralih apabila bunyi notifikasi dari telefon pintarnya.
Wow.
Dareena renung mesej Sha.
Dah bertunang terus tak nak balas mesej aku.
Muncul pula mesej Sha yang lain. Siap dengan emoji jelir lidah.
Hujung bibir Dareena terjonget sedikit.
Sah lah Sha dah tahu. Dan dia tak perlu tanya macam mana Sha tahu. Pastilah kerja mama.
Nak campak telefon ke tepi, dia tahu esok lusa kena menghadap juga. Dah nama pun kerja di tempat yang sama dan merangkap kawan baik pula tu. Manalah dia nak larikan diri.
Laju Dareena taip dan hantar.
Taklah.
Dareena lepas nafas lelah. Melihat Sha yang sedang menaip, lagilah buat dia macam nak putus nyawa.
Pasti bertalu-talu pertanyaan demi pertanyaan bakal diaju Sha.
Beep.
Apa yang taklah? Untuk persoalan tentang tunang atau jawapan untuk kemusykilan aku?
Dareena sedut nafas panjang. Belum bersemuka pun dah macam-macam soalan dilontar Sha. Kalau bertemu empat mata, rasanya tak tertepis dengan soalan demi soalan.
Aku nak tahu the whole story.
Dareena renung saja mesej Sha tanpa ada rasa hendak membalasnya.
Esok kita jumpa!
Muncul pula mesej yang buat dia lagi tak senang duduk.
Apa yang nak diceritakan?
Kalau ditanya siapa lelaki itu, dia sendiri pun tiada jawapan.
Dan yang menjadi persoalan dalam kepalanya, ke mana Fakrul menghilang.
Ghaib tanpa dikesan.
Kebelakangan ini memang hatinya jadi hambar dengan Fakrul. Masih sayang, namun rasa itu semakin memudar.
Beep!
Mungkin ini saja cara kau untuk lupakan Fakrul.
Mata Dareena tak terkelip.
Kalaulah semudah itu.
YOU ARE READING
RASA YANG ADA
RomanceSaat Dareena buntu apabila Fakrul sering menghilang, dia terima saja pinangan dari kenalan papanya. Tapi munculnya Saheim telah membuatkan hatinya huru-hara. Antara mahu teruskan apa yang telah dirancang atau kahwin lari mengikut kata hati sendiri...