BAB 11

58 11 0
                                    

SAMPAI di rumah, ada kereta yang dia tak kenal terparkir di elok di tempat dia selalu parkir kereta miliknya.

Menjengah saja ke rumah, Dareena menangkap susuk seseorang. Bertudung hijau dan hampir sebaya dengan mama.

Manis saja wajahnya. Mengingatkannya pada seseorang:

"Reena." Nampak saja Dareena masuk, Puan Suhaili segera menyapa si anak dara. Tangan melambai sebagai isyarat supaya mendekat.

Wanita bertudung hijau turut memusat pandang padanya dengan senyum manis. Senyuman yang seakan pernah dia lihat. Senyuman yang buat jiwa jadi tenang.

Mendekati, Dareena hulur tangan menyalami wanita itu. Terlukis senyum kekok di bibir, dilabuh duduk di sebelah mama.

Hati tertanya gerangan wanita ini kerana semua kenalam mama dia kenal rapat.

"Tergesa-gesa pilih cincin hari tu. Auntie harap Dareena suka." Lembut bicara si wanita dengan senyuman tak lekang di bibir.

Dareena tunduk pandang cincin di jari. Dan perlahan-lahan diangkat wajah dan ditoleh sedikit memandang Puan Suhaili.

"Auntie Rossa, bakal mentua Reena."

Kelu lidah dibuatnya mendengar penjelasan itu. Malu tiba-tiba menerpa, pipi mula rasa hangat. Langsung tak bersedia menerima kunjungan ini.

"Auntie takut Dareena tak berkenan dengan cincin tu." Puan Rossa masih tak lepas memandang cincin di jari Dareena. Perkara sekecil itu mampu membuatkan hatinya berbunga rasa bahagia.

"Cantik je." Dareena senyum kekok. Malu kalau Puan Rossa tahu dah berapa kali cincin ini dimasuk dan dikeluarkan dari kotak. Semua gara-gara perasaannya yang tak tetap.

"Saiz pun okey." Puan Suhaili pula menyampuk. Dia tahu Dareena kekok dengan kehadiran Puan Rossa secara tiba-tiba.

"Nanti untuk tunang dan nikah, Dareena boleh pilih sendiri dengan Im." Puan Rossa senyum.

Dareena hanya senyum apabila nama itu disebut.

Im.

Si bakal tunang yang misteri. Walau membuak rasa hati mahu mengenali namun Dareena tahan diri. Mungkin Im punya senyuman semanis ibunya. Senyuman yang bakal menyejukkan sesiapa saja yang memandang.

"Im tak kisah pun siapa pilihan auntie." Puan Rossa sudah beralih duduk di sebelah Dareena apabila Puan Suhaila meminta izin menjawab panggilan telefon.

Dareena hanya diam. Tak tahu apa yang dia patut balas. Hanya senyuman dilempar buat Puan Rossa.

Dia memang sejenis yang lambat mesra dengan orang yang dia baru kenal. Memang lambat nak warm up dalam perbualan.

"Susah nak jumpa anak-anak sekarang yang ikut saja pilihan orang tua." Puan Rossa bersuara lagi.

Dareena senyum. Memang benar. Pada zaman moden ini, sudah kurang ibu bapa yang carikan jodoh buat si anak. Adat yang sudah lapuk dek zaman. Semua lebih suka mencari jodoh sendiri mengikut pilihan masing-masing

"Dah kenal Im?" Aju Puan Rossa. Jelas wajahnya ada sedikit keterujaan. Sebenarnya dia langsung tak berniat hendak ke sini, kunjugan buat kali kedua ini, terjadi tanpa dirancang. Elok saja dibelok kereta menuju ke sini. Rupanya memang hari bertuah dapat berjumpa bakal menantu.

Dareena geleng. Macam manalah nak kenal, nak tengok muka 'Im' pun dia belum bersedia lagi.

Agaknya kalau diajak bertemu janji, pasti dia akan menolak mentah-mentah.

Takut, gerun semua ada.

"Last Sunday, auntie ingatkan Im nak ajak Dareena keluar."

Mata Dareena membulat sedikit.

Tiba-tiba dia teringatkan insidennya dengan Fakrul dan pertemuannya dengan Saheim.  Dua orang lelaki yang sangat berbeza sifatnya. Fakrul yang menghuru-harakan harinya, dan Saheim yang serba-serbi tenang.

"Lepas nikah nanti boleh keluar sama-sama." Dareena bermulut manis. Lagi pun ada benarnya juga, tak manis dia kerap keluar dengan lelaki yang bukan mahram. Ternyata apa yang berlaku antara Fakrul dan dia sedikit sebanyak menyedarkannya juga.

Dia pun bukanlah sebaik mana. Solat pun ada masanya lompong sana dan sini.

"Im suka tengok wayang."

Terus Dareena teringatkan Saheim sekali lagi.

"Jarang nak pergi dengan kawan-kawan. Nanti dah kahwin Dareena boleh teman pula." Puan Rossa masih berceloteh. Nampak seronok bercerita tentang si anak. Anak pula yang mendengar kata. Memang susah nak jumpa anak lelaki di zaman sekarang ini yang mengikut saja pilihan keluarga.

"Dareena tak kisah ke nikah dengan bukan pilihan sendiri?" Soal Puan Rossa ingin tahu. Takut pula timbul masalah di kemudian hari.

Dareena tergeleng sedikit. Sekadar membuang rasa canggung.

"Reena ikut saja apa kata mama. Mungkin ini yang terbaik. Mencari sendiri pun belum tentu jumpa yang sesuai, yang boleh dijadikan suami. Kadang-kadang tu, bercinta bertahun-tahun tapi masih tak kenal pasangan luar dan dalam." Kata-kata yang memang kena dengan batang hidung sendiri.

"Im pun macam tu. Mungkin dah puas mencari tapi tak sesuai dengan apa yang dia inginkan." Puan Rossa belek muka Dareena. Gadis yang tak nampak cacat celanya, elok bicaranya dan sopan di matanya juga.

"Sah..." Kata-kata Puan Rossa tergantung apabila melihat Puan Suhaili masuk.

Dareena yang mendengar terkebil mata. Apa yang sahnya? Nak bertanya, segan pula.

"Maaf, Datin."

Laju Dareena menoleh. Datin?

Dareena pandang pula wajah Puan Rossa.

"Jangan berdatin. Semua tu hanya sekadar pangkat duniawi." Segera Puan Rossa memintas. Dari dulu memang dia terasa kekok setiap kali pangkat yang dibawa atas dasar jasa si suami, menjadi panggilan yang dipraktis di kalangan kawan-kawannya. Dia tak suka ada jurang dalam bersosial setiap kali ada yang tahu status dirinya.

"Dareena jangan panggil Datin juga pula. Kalau nak panggil mommy sekang pun tak apa. Mommy lagi suka."

Dareena hampir tersedak.

Pantas sungguh. Dan tingkah Puan Rossa ini hanya membuatkannya teringatkan Saheim.

Tiba-tiba berterbangan bauan maskulin Saheim yang tersimpan rapi dalam kotak fikirannya. Bauan yang tidak begitu keras, tidak juga lembut. Tapi cukup membuatkan sesiapa saja menoleh kalau berselisih.

Dia mengaku, Saheim kerap benar muncul dalam fikiran kebelakangan ini. Dan dia tahu kenapa.

RASA YANG ADAWhere stories live. Discover now