DAREENA hanya merenung bunga yang dihulur Mel. Masih jambangan bunga yang sama, namun kali ini tiada coklat terselit bersama.
Kalau ikutkan hati, nak saja dihumban masuk ke dalam tong sampah.
Ingatkan dengan apa yang jadi semalam, Fakrul tidak akan menghubunginya lagi. Ternyata dia silap. Masih berani rupanya memujuk hati.
Jambangan bunga Dareena ambil dengan senyum yang dibuat-buat. Kali ini, tiada lagi kata maaf dengan apa yang terjadi. Dia dah jadi tawar dengan apa jadi dan sebelum ke pejabat cincin belah rotan yang tersimpan di dalam kotak kembali tersarung di jarinya.
Kali ini dia benar-benar nekad. Tiada lagi berpatah balik.
Biarlah kebahagiaannya kali ini ditentukan mama dan papa saja. Mungkin itulah yang lebih baik sejak dulu. Hanya dia saja yang tidak sedar.
Akan dibuang terus nama Fakrul dari ingatan. Memang tak mudah. Tujuh tahun bercinta pasti tidak mudah melupakan.
"Termenung."
Langsung tak sedar dengan kehadiran Sha di belakang. Dareena dongak dan kemudian kembali ke posisi asal.
"Kenapa?" Sha tarik kerusi. Melihat riak muka Dareena, dia pasti ada sesuatu yang berlaku. Mengenali Dareena dah cukup lama, melihat keadaan si teman begitu pun dia sudah tahu.
Dareena senyum kelat sebaik Sha duduk di tepinya.
"Aku dengan Fakrul..." Dareena sedut nafas.
"Dah back together?" Sha geleng dan sandar tubuh pada kerusi. Berita yang dia tak nak dengar. Sampai ke hari ini dia tak faham kenapa sukar betul Dareena melupakan Fakrul.
"Tak."
"Then?" Sha dorong tubuh ke depan. Tiba-tiba saja rasa teruja mendengar penafian Dareena itu. Mengharapkan apa yang bakal keluar dari mulut Dareena sama dengan apa yang sedang dia sedang fikirkan sekarang.
"Aku dengan dia dah officially over." Tenang saja Dareena menerangkan.
Sha melongo. Macam nak melompat keterujaan. Akhirnya apa yang dia harapkan selama ini menjadi nyata. Tiada lagi Fakrul dalam hidup Dareena. Tak perlu lagi dia melihat Dareena menangis berjam-jam seperti dulu.
"Should I congrats you, Reena?" Seloroh Sha, namun melihat riak Dareena hanya serius saja segera dia menyambung kata.
"Sorry, Reena." Sha angkat kedua tangan. Menyesal pula menunjukkan rasa teruja yang berlebih-lebihan.
"Aku okey je." Dareena senyum. Memang itulah hakikatnya. Pulang saja semalam, sedikit pun dia tak sedih dengan apa yang jadi. Setitis air mata pun tak gugur apabila terkenang apa yang jadi. Atau mungkin kerana dia dah puas menangis ketika di dalam panggung.
Saheim.
Terdetik saja nama itu dalam kepala, Dareena panjangkan sedikit kepala menjengah ke arah bilik Saheim. Masih tertutup rapat.
"Encik Saheim dah datang?" Dareena bertanya. Tak tahu apalah perasaan yang sedang menghuni hatinya ketika ini. Segala layanan Saheim semalam seakan segar lagi dalam ingatan.
Bicara lembutnya, tingkahnya. Semuanya cukup menyenangkan. Membuatkan dia lupa dengan apa yang jadi antara dia dan Fakrul. Saheim berjaya membuang rasa canggungnya juga.
Dareena capai tas tangan dan digagau mencari sapu tangan kepunyaan Saheim. Semua tentang lelaki itu membuatkan dia lupa segalanya juga. Lupa tentang Sha yang masih di sebelah dan sedang memerhati gerak-gerinya.
"Sapu tangan siapa tu?" Tak menunggu lama untuk Sha bertanya. Sapu tangan dengan corak sebegitu, dia sangat pasti kepunyaan lelaki.
"Aku punya." Dareena masukkan semula sapu tangan ke dalam tas tangan.
YOU ARE READING
RASA YANG ADA
RomanceSaat Dareena buntu apabila Fakrul sering menghilang, dia terima saja pinangan dari kenalan papanya. Tapi munculnya Saheim telah membuatkan hatinya huru-hara. Antara mahu teruskan apa yang telah dirancang atau kahwin lari mengikut kata hati sendiri...