BAB 7

51 7 0
                                    

HATI berbunga-bunga. Sekejap sentuh muka, sekejap betulkan rambut. Macam bertemu janji buat pertama kali. Nervous memang lain macam. Yalah, kalau diikutkan dah sebulan dia dan Fakrul tak bersua muka. Rindu menggunung tak tertahan lagi.

Awal-awal lagi dia dah oderkan minuman kegemaran Fakrul. Teruja dengan pertemuan kali ini.

Dari ais menggunung, sehingga ais menghilang, bayang lelaki yang ditunggu entah ke mana. Dareena mula gelisah. Mesej WhatsApp yang dihantar dibiarkan sepi tanpa balasan.

Sekejap pandang ke arah pintu, sekejap lagi Dareena belek skrin telefon pintar. Hati mulalah memikirkan yang bukan-bukan.

Sayang, you dekat mana?

Sekali lagi mesej dihantar.

Mesej dibaca namun tiada balasan kunjung tiba. Online dan kemudian offline semula.

Dareena pandang skrin lama-lama. Sedut nafas dan dia cuba bertenang. Tapi dalam keadaan begini, ketenangan pun sudah hilang ke mana. Mustahil Fakrul mungkir janji lagi?

Ini bukanlah pertama kali terjadi, sehinggakan dia sudah hilang hitungan. Kalau ikutkan hati, tentulah dia kecewa namun setiap kali Fakrul kembali dengan kata maaf, setiap kali itulah dia memaafkan juga.

Dia selalu kalah dengan rayuan dan pujuk rayu Fakrul.

Benar kata Sha, dia cintakan Fakrul sehinggakan tak nampak keburukan Fakrul. Apa yang lelaki itu lakukan, tak pernah mengurangkan rasa cinta dan sayangnya.

Bunyi notifikasi mematikan lamunan Dareena. Laju dibuka kekunci paparan dengan harapan itu adalah notifikasi mesej balasan dari Fakrul.

Sekali lagi dia hampa.

Jom tengok wayang.

Dareena baca mesej Sha itu tanpa ada apa-apa perasaan. Hanya membuakkan lagi rasa kecewa.

Kalau nak aku datang.

Dareena lepas nafas perlahan. Sha selalu untuknya. Sedar atau tak. Walau dalam situasi begini, dia tak pasti macam mana tiba-tiba saja Sha tergerak hati menghubunginya. Namun terselit rasa lega.

Ini bukan kali pertama.

Sudah acap kali Fakrul tak muncul. Buatkan dia menunggu macam orang bodoh. Atau memang dia bodoh dalam kata sebenarnya.

Tas tangan dicapai, Dareena segera bangun. Tak guna menunggu kerana dia tahu Fakrul tak akan muncul.

Sambil berjalan, mata leka dengan telefon. Menanti balasan mesej Fakrul pun ya juga. Dalam situasi begini pun dia masih mengharap.

Kau nak tak?

Muncul lagi mesej dari Sha.

Tak. Aku malas nak keluar.

Laju saja Dareena membalas. Tipu sunat. Mana dia nak letak muka kalau dia beritahu Sha tentang apa yang berlaku. Pasti akan dibebel seperti selalu. Pasti selepas ini Sha akan ambil jawatan mama untuk memantaunya setiap masa.

Keluar dari lif, langkah dihala ke arah kereta di ruang parkir. Dalam situasi begini, lebih baik dia pulang saja. Memandangkan hari ini hari berkerja, banyak ruang parkir Saujana Mall yang masih kosong. Baru beberapa langkah, ada seseorang mencuri perhatiannya.

Dareena lencongkan arah langkahan kaki. Patutlah tak muncul, rupanya sibuk dengan perempuan lain. Boleh saja dilampiaskan rasa marah, namun dia masih waras akalnya.

"Fakrul." Dareena menyapa tenang membuatkan keduanya segera menoleh. Riak wajah Fakrul berubah serta-merta dan si gadis di sisi mengerut dahi seribu.

Bergerak mendekat, pandangan mata Dareena tajam memanah si gadis yang bergenang tubir matanya. Kulit wajah kemerahan, seakan baru saja menghambur tangis.

RASA YANG ADAWhere stories live. Discover now