NIAT ke kereta dibatalkan Dareena kembali ke arah lif. Tak tahu ke mana hala tuju langkah kaki dia hanya akan dituruti.
Berundur ke belakang, Dareena tersandar pada dinding lif, hanya menanti pintu tertutup sendiri.
Kepala Dareena automatik ternaik saat mata tertangkap pada tangan yang sedang menahan pintu lif daripada tertutup. Dan saat susuk itu melangkah masuk, tegak badannya tidak menyangka.
"Encik Saheim." Bibir Dareena seakan menggeletar. Sebesar-besar KL, boleh pula bertemu di sini. Air mata yang jatuh dari tubir mata, diseka dengan kekura jarinya.
Wajah Saheim beriak selamba. Kening ternaik sedikit sebelum jari menekan butang bernombor 2.
"Tingkat berapa?" Saheim kembali memandang Dareena yang masih merah wajahnya dan kelihatan jelas tubir mata yang masih bergenang.
Kebetulan yang tak disangka. Keluar dari kereta, anak telinga menangkap perbualan tidak menyenangkan.
Dareena diam. Dia tak tahu ke mana nak dituju.
"Teman saya tengok wayang."
Terangkat kepala Dareena. Sangat tiba-tiba.
Hari pertama di pejabat, selamba saja beritahu nak kenal dan hari ini, tiba-tiba pula mengajak tengok wayang. Memang sejenis spontan agaknya lelaki bernama Saheim ni.
"Awak boleh menangis puas-puas dalam panggung nanti, tak ada orang nampak."
Muka Dareena jadi hangat. Ketara sangat ke keadaannya ketika ini? Disentuh pipi sendiri, Dareena masih pusatkan pandangan pada wajah Saheim.
Dia tak pernah percaya pada kebetulan. Tak ada kebetulan dalam dunia ini.
"Encik Saheim ikut saya?"
Mata Saheim terlirik dan serta-merta bibir terjongket senyum sinis. Seakan pertanyaan Dareena itu menggelikan hatinya.
"Kenapa saya nak ikut awak?" Pertanyaan yang dijawab juga dengan pertanyaan, riak wajah Saheim selamba saja. Matanya masih melekat pada wajah Dareena yang masih ada kesan tangis yang ditahan sejak tadi.
"Tak ada keperluan untuk saya ikut awak." Saheim menjelaskan lagi.
Dareen pandang muka Saheim lama dan sesaat kemudian dia tertunduk pula. Malu memikirkan prasangka yang baru diaju kepada Saheim. Tujuan apa lelaki itu hendak mengekorinya? Sedangkan langsung tiada apa-apa kaitan dengannya pun.
"And by the way..." Ayat Saheim tergantung. Dibiarkan pandangan saling bertemu dan dijamah rakus anak mata cantik milik Dareena.
"Sekarang bukan waktu kerja, lebih baik gugurkan panggilan encik tu." Pinta Saheim.
Mata Dareena membulat sedikit. Terasa kekok dengan permintaan Saheim itu. Tadi ajak tengok wayang bersama dan sekarang ini dipinta memanggilnya dengan nama saja.
Kalau terserempak dengan rakan sekerja, bukan ke haru jadinya? Dan tiba-tiba saja dia teringatkan Sha yang mengajaknya tengok wayang tadi. Macam mana kalau Sha ada di sini?
Dareena telan liur. Gerun memikirkan. Kalau dengan Sha bukan boleh buat main-main. Kelentonglah dengan apa cara sekalipun, nak meyakinkan memanglah susah.
"Tak guna awak menangis untuk lelaki macam tu."
Ternaik anak mata Dareena sekali lagi. Hangat terasa muka mendengar kata-kata Saheim itu.
Apa maksud dengan 'lelaki macam tu'?
Bukan ke Saheim pun dalam kategori yang sama? Bukan ke dia juga melakukan perkara yang sama dipertemuan pertama mereka dulu.
YOU ARE READING
RASA YANG ADA
RomanceSaat Dareena buntu apabila Fakrul sering menghilang, dia terima saja pinangan dari kenalan papanya. Tapi munculnya Saheim telah membuatkan hatinya huru-hara. Antara mahu teruskan apa yang telah dirancang atau kahwin lari mengikut kata hati sendiri...