Gemuruh. Daripada tadi dia terasa tak tentu arah. Sekejap berdiri, sekejap duduk. Penyaman udara langsung tidak menenteramkan hatinya. Sejak dia mendapat panggilan daripada Shafiq tentang pertemuannya dengan 'Tuan Dika', dia semakin gementar. Namun hadir rasa syukur kerana akhirnya diberi peluang untuk bersuara. Dia berharap sangat dapat berbincang cara baik dengan lelaki yang papanya berhutang. Papa? Sehingga kini masih tidak kelihatan. Mengenangkan itu, dia mengeluh berat. Ke mana sahajalah papa pergi?
Seketika matanya meliar melihat sekeliling. Tidak dia sangka dia akan jejak ke hotel ini lagi untuk kali kedua. Rupa-rupanya lelaki yang papanya berhutang adalah pemilik hotel mewah ini juga merupakan lelaki dia langgar tempoh hari. Sungguh kecil dunia ni!
"Cik Larissa..." seru seseorang dari luar bilik. Larissa diminta menunggu di suatu bilik khas.
Mendengarkan namanya dipanggil, dia mengangkat tubuh dan memandang seraut wajah lelaki di hadapannya itu. Lelaki yang sama datang ke rumahnya tempoh hari.
"Tuan Dika panggil Cik Larissa ke biliknya sekarang."
Tangan Larissa semakin menggigil hebat. Detak jantungnya usah dikata, laju kalah orang bersukan. Wajahnya jelas riak takut kelihatan. Dia hanya mengangguk dan tersenyum kecil sebelum mengikut langkah Irdan dari belakang.
Sampai sahaja di hadapan pintu bilik CEO, matanya terhala ke arah nama yang tertera di pintu itu.
'Chief Executive Officer: Randika Daniel'
Entah mengapa hatinya tiba-tiba rasa tak senang. Ya Allah, petanda apa ni?
"Cik Larissa boleh masuk."
Dia terus mengalihkan perhatian ke arah lelaki di hadapannya itu.
"Terima kasih, Irdan."
Lelaki itu menayangkan senyum ringkas seraya mengangguk kecil.
Tok! Tok! Tok!
Pintu diketuk dahulu sebelum satu suara garau kedengaran dari dalam.
"Masuk."
Dengan Bismillah, dia memusingkan tombol pintu itu dengan hati yang berdebar-debar. Terus kornea matanya dipenuhi dengan figura seorang lelaki yang sedang berdiri tegap menghadap tingkap membelakangkannya. Lelaki itu kemas dengan suit berwarna dark blue. Hanya sipi-sipi sahaja dia dapat melihat raut wajah lelaki itu.
Dia melangkah masuk dengan perlahan-lahan. Pintu ditutup semula. Nafas ditarik dan dihembus kuat mengumpul kekuatan lantas kaki terus bergerak melangkah. Dia berdiri kaku di hadapan meja lelaki itu. Baru sahaja beberapa saat dia berada di situ, dia sudah terasa hendak balik. Aura yang ada dalam bilik itu membuatkan Larissa rasa tak tenang.
Suasana hening seketika.
Kedengaran suara Randika berdehem kuat sebelum memusingkan tubuh menghadap Larissa. Gadis itu terlihat menundukkan wajahnya, mungkin gerun untuk memandang Randika.
YOU ARE READING
Lost In Revenge (TERBIT)
Romance[ Book 3 ] Randika Daniel- sebaris nama, dua patah kata namun siapa sangka mampu menggerunkan hati yang melihatnya. Beku. Itulah definisi yang sesuai untuk menggambarkan dia. Tiada siapa tahu apa yang berada di dalam benak fikiran lelaki itu. Semuan...