Crush | Bab 1

279 14 5
                                    

BAB 1

SEORANG GADIS dalam lingkungan umur 17 tahun sedang menulis sesuatu di kertas kajang yang mempunyai jenis formula algebra. Wajahnya berkerut, sebelum dia menghentikan perlakuannya. Pensel mekanikal yang ditampal dengan dua baris nama 'Hannah Insyirah' diletakkan dengan kasar di atas kertas tersebut. Sebuah keluhan terluncur dari bibir gadis itu.

"Macam mana nak dapat jawapan macam dalam skema jawapan ni?" tangannya menyelak sebuah buku kerja subjek Matematik Moden.

Hannah tenung helaian buku kerja yang mengandungi jawapan kepada soalan tadi. Matanya sekejap dibesarkan, dan dikecilkan. Manalah tahu dapat ilham nak dapatkan jalan penyelesaian soalan tadi.

Sedang gadis itu sibuk merenung, muncul seorang gadis yang lebih berusia dari Hannah berjalan ke arahnya di ruang tamu.

"Kau tenung apa sampai nak tembus buku kerja tu, Hannah?" tegur gadis itu kepada Hannah. Hannah memanggungkan kepalanya ke arah kakak sulungnya, Huda Ilyana yang sudah melabuhkan duduk di sebelahnya.

Buku kerja yang berada di tangannya sudah beralih ke tangan kakaknya pula.

"Oh, math mod ke. Soalan mana yang kau tak faham?" soal Huda.

Hannah tunjuk ke arah kertas kajang yang ada di meja kecil di hadapan mereka berdua. Huda kerling kertas kajang seketika sebelum tangannya bergerak mengambil pensel mekanikal milik Hannah. Laju tangannya menulis jalan kerja, kemudian dia mencapai kalkulator saintifik di meja tersebut.

"Ok dah siap." Huda tulis jawapan di kertas tersebut dan dia berikan kepada Hannah semula.

Hannah lihat jawapan tersebut dan mengangguk. "Akak ajar Hannah lah. Orang dahlah tak minat subjek Math ni."

Rasa menangis bila fikirkan subjek ini. Setiap kali kelas Matematik Moden je mesti dia seperti cacing kepanasan.

Sejak masuk sekolah menengah, dia tak berapa suka dengan subjek ini. Kalau subjek bahasa seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kedua-duanya memang menjadi kegemarannya. Subjek-subjek teras lain dia okey je, tapi yang bernama Matematik ni...awal-awal dia angkat bendera putih tanda menyerah kalah.

"Boleh tapi nanti Hannah kena belanja akak air Tealive. Deal?" Huda tayang sengih kepadanya.

Hannah menjeling kakaknya. Bab nak minta belanja nombor satu! Dalam fikiran Hannah, dia mencongak duit belanja yang dia simpan. Hmm, satu cawan saiz sederhana dalam RM8 atau RM9.

Bolehlah kut...fikir Hannah dalam hatinya.

"Ok, nanti adik belanja Tealive. Tapi sepatutnya akak lah kena belanja. Ni adik pula yang kena keluarkan duit." dalam setuju, sempat dia mengungkit akan senioriti antara dia dan Huda. Jadi terbalik pula bila Hannah yang kena keluar duit.

"Itu sebagai upah mengajarlah...itu pun nak berkira ke?" tangan Huda naik mencubit sebelah pipi Hannah yang berkulit cerah dan gebu.

Hannah cuba menepis, tapi Huda lebih pantas menepis. Habis pipinya jadi mangsa. Dari kecil sampai dia dah remaja, Huda suka benar cuit pipinya. Boleh berkurang saham pipi Hannah kalau berterusan begini.

"Eii akak..." rungut Hannah sambil mengusap pipinya.

"Huda, Hannah...kenapa ni? Tak usahlah bergaduh. Dah besar panjang masing-masing," entah dari mana umi muncul di ruang tamu itu. Mereka berdua sibuk berkelahi sampai tak perasan akan kedatangan umi.

Huda cepat-cepat membetulkan tingkahnya.

"Eh umi, bila masa umi datang?" dia cuba berbasa-basi. Muka acah baik dipamerkan.

Puan Ilya menggeleng melihat perangai kedua orang anak perempuannya. Huda yang kuat mengusik manakala Hannah yang selalu mengalah dan reda dengan kakaknya. Sejak kecil begitulah keletah anak-anaknya. Nasiblah tak sampai bergaduh teruk, bermasam muka tu bisalah bila masing-masing tak mahu beralah.

𝐂𝐑𝐔𝐒𝐇 (𝗖)Where stories live. Discover now