BAB 2
"HAN!" JERIT SEORANG gadis yang berpakaian uniform sekolah dan bertudung putih. Hannah yang baru saja sampai di pintu pagar sekolah, terhenti langkahnya. Dia mengalihkan pandangannya ke arah suara yang memanggil.
Kelihatan Ezza Mikayla, kawan baiknya sedang melambai ke arah Hannah. Hannah menunggu Ezza datang mendekatinya sebelum mereka berjalan beriringan untuk ke dewan sekolah. Hari ini merupakan hari Isnin jadi perhimpunan perdana akan diadakan.
Setelah mereka mengambil tempat di barisan kelas, baru Hannah bersuara. "Kau siap dah ke latihan yang Cikgu Jamilah bagi?"
"Oh subjek Sejarah tu ke? Dah, tu pun last minute malam tadi aku baru siapkan." jawab Ezza sambil menayangkan sengih di wajahnya.
Hannah mengangkat ibu jari tangan kanannya. "Bagus, nanti tak adalah kau kalut masa kelas dia nanti."
Kelas subjek Sejarah yang diajar oleh Cikgu Jamilah memang membuatkan semua pelajar di kelasnya sedikit gerun sebab ketegasan guru tersebut dalam memastikan semua latihan yang diberikan telah disiapkan. Kalau tidak, ada yang kena berdiri di tempat masing-masing. Hukuman yang begitu ok lagi, tapi kalau mood guru itu tengah tak elok, silap hari bulan ada kertas dan buku yang terbang.
Tsk. Hannah terbayangkan kejadian tersebut yang pernah terjadi semasa mereka di Tingkatan 4. Cikgu Jamilah juga yang mengajar mereka. Lepas habis waktu guru tersebut, semua pakat meluahkan ketidakpuasan hati dan rasa gerun terhadap guru itu. Siap ada yang minta ketua kelas pergi jumpa ketua panitia subjek tersebut agar ditukar kepada cikgu lain.
Tapi ketua kelas mereka pun tak berani, sebab ketua panitia subjek itu geng dengan Cikgu Jamilah. Maka terpaksalah mereka menghadap guru itu selama tahun.
Hannah terasa pinggangnya dicuit. Tersentak, Hannah berpaling ke arah sebelah. Ini mesti kerja Ezza. Hannah buat muka tidak puas hati terhadap kawannya. "Asal?"
"Berangan apa? Pengawas dah bagi arahan suruh berdiri tu. Perhimpunan dah nak mula," ujar Ezza dengan memuncungkan bibirnya ke arah pentas di dewan sekolah.
Hannah pandang ke arah depan pula. Betullah semua pelajar rata-ratanya sudah bangun dan berdiri mengikut kelas dan tingkatan masing-masing. Hannah ikut bangun dari duduknya dan berdiri tegak di sebelah Ezza.
Perhimpunan perdana pun bermula dengan lagu Negaraku, lagu negeri dan lagu sekolah dengan iringan piano yang dimainkan oleh pelajar yang bertugas. Ikrar Rukun Negara diikrarkan sebelum semua pelajar dibenarkan duduk semula untuk mendengar pesanan dan kata-kata aluan daripada guru-guru yang bertugas serta barisan guru kanan dan pengetua sekolah.
Hannah memasang telinga mendengar, mata pula cuba ditahan sebab dengar orang berucap ini memang baginya membosankan dan boleh jadi ubat untuk tidur pada waktu awal pagi. Ezza di sebelahnya selamba menunduk, gaya macam tekun mendengar. Tapi Hannah benar dengan taktik kawannya itu. Pastilah minah seorang ini cover untuk tidur. Dia sudah lama kenal Ezza jadi dia tak terkejut pun.
Hmm, semoga perhimpunan pagi ini berakhir dengan cepat.
WAKTU REHAT menjadi waktu kegemaran para pelajar untuk berehat selepas beberapa waktu menghadap kelas selain ingin mengisi perut yang lapar dan menghabiskan masa dengan kawan-kawan untuk bergosip. Lagi-lagi sekolahnya ialah sekolah 'all girls', jadi semua pelajar perempuan takkan melepaskan masa yang ada untuk bersembang di waktu ini.
Hannah dan Ezza mengambil tempat di meja kosong yang ada di kantin. Mereka menunggu beberapa orang kawan mereka yang dari kelas lain untuk ikut serta di meja tersebut. Muncul Natalia dan Hafieya yang sedang menatang makan dan minuman yang dibeli oleh mereka.
YOU ARE READING
𝐂𝐑𝐔𝐒𝐇 (𝗖)
RomanceHannah Insyirah, seorang gadis muda ditugaskan untuk menulis artikel mengenai topik 'crush', satu tugasan buatnya sebagai seorang wartawan junior. Mengimbau kembali kisah antara crushnya, Hannah sehingga kini tidak tahu akan nama si jejaka yang per...