BAB 44 | DENDAM CINTA 2

2K 106 18
                                    

ADAM tenung Marissa. Marissa tenung Adam. Begitulah sampai kesudah. Masing-masing berlawan tidak mahu melarikan pandangan. Sesekali, Marissa mengemut bibirnya tatkala melihat mata Adam yang mula kemerahan dan berair.

"Okey-okey, saya surrender." Laju je Adam kedipkan matanya beberapa kali. Hampir gugur air mata jantannya menahan pedih. Ceh, propa betul!

Marissa terkekeh ketawa sambil menyedut jus nenas yang dibelinya tadi. Muka berlagak dipamerkan apabila sepasang mata Adam tak berkalih memandangnya. Ulas bibir lelaki itu turut mengulum senyuman kecil. Senang hati melihat gelak tawa Marissa itu.

"Best kan sesekali luangkan masa kat tempat macam ni? Hilang semua stres saya dibuatnya." Udara petang dihirup dalam. Kadang kala Marissa tergelak kecil melihat beberapa orang kanak-kanak sedang berkejaran di taman itu.

Dia pernah impikan suasana begini. Membawa anak-anaknya berkunjung ke taman permainan sambil memerhatikan mereka bermain dengan rakan-rakan baharu. Kadangkala manusia hebat dalam perancangan mereka, namun sering terlupa takdir yang Allah susun lebih indah daripada segalanya.

"Kalau anak-anak saya masih hidup, mesti dia orang pun nak rasa apa yang budak-budak sekarang tengah merasa masa zaman kecil mereka. Pergi taman dan main dengan kawan-kawan. Itu belum lagi bila dia orang dah meningkat dewasa. Lalui zaman cinta monyet dan waktu tu... saya pernah impikan untuk menjadi orang pertama tempat anak-anak saya meluahkan rasa kecewa bila kena reject dengan crush." Marissa ketawa kecil dengan fantasinya.

"Tapi saya tahu... semua hasrat tu mustahil untuk jadi kenyataan. Mereka sekarang dah berada di tempat yang lebih baik..."

Kedengaran luahan itu seakan Marissa belum mampu menerima hakikat pemergian anak-anaknya. Tetapi tidak. Dia suda reda. Dia terima Qada dan Qadar yang telah tertulis. Cuma saat rasa rindunya datang menghentam dada, Marissa tak dapat lari dari berkata ini semua. Mungkin itu sajalah cara yang dia boleh lakukan untuk mengubati rindu yang tidak berpenghujung ini. Hanya yang bergelar ibu akan memahami gelojak yang Marissa lalui.

Adam tekun mendengar. Terbit simpati yang tidak berkesudahan terhadap wanita itu. Apatah lagi tiada setitis pun air hangat yang mengalir lesu pada wajah muram Marissa. Sungguh, ujian yang datang bertimpa-timpa menjadikan Marissa seorang wanita yang tabah.

Apa tidaknya, tiap-tiap kali Marissa membuka topik tentang anak-anaknya, selalunya setiap bicara yang diluahkan akan berserta dengan banjiran air mata. Akan tetapi, pada detik ini lain pula yang berlaku. Sedikit sebanyak Adam bersyukur kerana dia diberi kesempatan menjadi peneman setia yang tidak pernah jemu mendengar rintihan wanita kesayangannya. Dan Adam kagum dengan ketabahan yang diperolehi Marissa.

"Sorry, mesti awak bosan kan dengar benda yang sama aje." Marissa sengih menampakkan barisan giginya. Serba salah pula pada Adam kerana lelaki itu masih tekun mendengar luahan hatinya walaupun perkara yang sama saja diulanginya. Gusar andai Adam berasa jelak dengan ceritanya.

Adam menggeleng perlahan, menyangkal tanggapan Marissa tadi.

"Saya suka tengok awak macam ni. Kalau awak sedih, luahkan. Jangan pendam. Walaupun sejuta kali saya perlu dengar benda yang sama, saya takkan bosan. Sebab yang bercerita tu... wanita yang saya sayang."

Berona kemerahan pipi Marissa. Agak segan dengan omongan Adam. Meskipun dia sudah tahu isi hati lelaki itu terhadapnya, Marissa tetap ingin menafi. Dia tak mahu sang hati terlalu terbuai-buai dengan ungkapan sayang tadi.

"Saya serius dengan apa yang saya cakap." Adam tak lepas pandang wajah Marissa yang sedang tertunduk. Jelas di netranya, kulit putih itu makin kemerahan. Adam menggarit senyuman di bibir. Nak saja dia mencubit pipi gebu itu. Sabar wahai hati. Jangan nampak gelojoh sangat.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [COMPLETED]Where stories live. Discover now