BAB 45 | DENDAM CINTA 2

2.1K 94 17
                                    

JATUH kasihan Datin Kalsom melihat belakang tubuh Harraz yang sedang tersandar lemah di gazebo luar rumahnya. Bahu anaknya jatuh seolah-olah semangatnya dibawa pergi bersama angin yang bertiup malam itu. Bukan Datin Kalsom tak tahu apa yang mengganggu fikiran anaknya itu, tapi dia tak mahu masuk campur. Namun, melihat keadaan Harraz yang makin tak terurus, hati tuanya dijentik pilu.

"Harraz..." Bahu si anak digosok lembut. Serentak itu Harraz berpaling ke tepi, memandang sosok badan mamanya. Air mata yang masih bersisa di pipi segera dikesat. Harraz tak mahu Datin Kalsom melihat keadaannya yang lemah sebegini.

"Mama... duduklah." Punggungnya mengengsot ke tepi. Tanpa banyak kata, Datin Kalsom mengambil tempat di sebelah Harraz. Wajah anak lelakinya direnung hiba. Tidak dapat tidak, air mata Datin Kalsom mengalir lesu menuruni pipi.

"Eh, mama... kenapa mama menangis ni?" Kaget Harraz cuba menenangkan Datin Kalsom. Belakang tubuh wanita kesayangannya diusap berkali-kali.

Datin Kalsom tidak menjawab. Tangisannya semakin kedengaran pilu. Harraz tidak senang duduk. Apa yang membuatkan mamanya tiba-tiba saja menangis? Sungguhlah, Harraz tak betah melihat wanita kesayangannya mengalirkan air mata. Hatinya seakan dicincang-cincang lumat.

"Ma... Harraz ada sakitkan hati mama, ke? Kalau ada, Harraz minta ampun ya, ma. Mama janganlah menangis macam ni. Hati Harraz ni tak tenang tengok mama menangis." Harraz mencium tangan Datin Kalsom sambil cuba memujuk mamanya. Manalah tahu dia ada menggores hati Datin Kalsom tanpa sedar.

Datin Kalsom menggeleng lemah. "Tak, sayang... Harraz tak ada lukakan hati mama..."

"Habistu kenapa mama menangis?" Dahi Harraz berkerut-kerut. Tangannya yang berada dalam genggaman Datin Kalsom terasa makin ketat dikejap.

Datin Kalsom menyeka juring matanya. Udara disedut memasuki peparu. Jemari tuanya mengusap-ngusap tapak tangan si anak. Dahulu, kecil sungguh tapak tangan ini. Sekarang, saiznya jauh lebih berganda dari tangannya. Anak yang lahir dari rahimnya kini hampir jejak angka tiga puluh satu tahun. Cepat sungguh masa berlalu.

"Mama cuma kesian tengok kamu..." Nada Datin Kalsom masih kedengaran getarannya. Barangkali sedang menahan emosi.

"Kesian? Kesian kenapa, ma?" Harraz kurang faham. Apa kaitan Datin Kalsom menangis kerana kasihannya melihatnya? Rasanya, dia baik-baik saja. Tak nampak apa yang perlu dikasihani tentangnya.

"Kamu... masih fikirkan tentang Marissa? Esok... dia akan menikah dengan Adam. Kamu tahu, kan?"

Air muka Harraz kembali sugul. Mengingatkan hari 'duka' buatnya esok, hati semerta kembali memerit pedih. Esok... hari bahagia buat Marissa tetapi tidak untuknya. Kalau boleh, biarlah lambat masa bergulir. Entah macam manalah dia hendak menempuh harinya esok. Sudah tentu azab.

"Apa yang Harraz nak buat lepas ni, ma? Ris dah jadi isteri Adam. Harraz macam mana? Hati ni... tak mampu nak lepaskan dia lagi. Harraz sayangkan Ris sangat-sangat." Harraz teresak. Dia tak mampu nak sorokkan lagi perasaannya tika ini. Biarlah dia nampak lemah sekalipun. Memang itu kenyataannya.

Datin Kalsom turut mengalirkan air mata. Senak terasa di hulu hati melihat anaknya mengongoi begini. Sekejapan, tubuh tegap Harraz dipeluk erat. Ibu mana yang mampu melihat sang anak meratapi nasib diri. Sedih anaknya, maka duka buat Datin Kalsom juga.

"Mama ada sayang..."

Esakan Harraz semakin menggila. Air mata deras mengalir. Hidupnya kosong selepas pemergian Marissa. Kini, wanita itu bakal berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya, buatkan hidup Harraz tidak bermakna lagi. Cuma jasadnya yang masih bernyawa. Realitinya, hati dan jiwanya sudah lama terkubur.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [COMPLETED]Where stories live. Discover now