Pemetik api dibuka dan ditutup setelah menyalakan rokok pada bibirnya. Asap rokok dihembus ke udara sambil menunggu seseorang tiba di tempat letak kenderaan. Matanya memerhati gerak-geri seorang gadis berperwatakan tomboy dengan wajah kacak menghampiri dirinya di situ.
"Datang pun. Aku fikir lambat lagi dia nak turun. Tak sempat nak merokok," omelnya lalu mencampak puntung rokok ke tanah dan memijaknya sehingga api terpadam.
Sejenis gula-gula penyegar mulut dikeluarkan dari poket seluar dan dimakan. Dia tidak mahu mulutnya berbau rokok ketika berdekatan dengan manusia itu kerana dia lebih suka berpura-pura berhenti merokok walaupun dia sendiri tapi anaknya tidak mudah untuk ditipu.
"Ni je barang?" soalnya kepada anak sulungnya atau lebih tepat anak angkatnya.
"Cuti bukan lama pun. Baju-baju Along di rumah masih banyak. Tak akan nak bawa balik semua," kita Aryana. Dia lebih mesra dipanggil Along oleh bapanya berbanding ibu dan adik-adiknya yang memanggil namanya.
Pintu pada bahagian pemandu dibuka. Begitu juga pada bahagian penumpang hadapan. Mereka masuk ke dalam kereta. Aryana mencampak beg sandang pada bahagian tempat duduk penumpang belakang. Si bapa menghidupkan enjin kereta untuk memulakan pemanduannya.
"Macam mana sekarang ni? Belajar okey? Kerja okey?"
"Belajar tak ada masalah. Kerja pun. Cuma tengah fikir jalan nak hapuskan parasit," jawabnya.
Shuhaimi memulakan perjalanan mereka. "Selagi ada duit. Semuanya boleh jalan."
"Ya. Abah pula macam mana di sana?"
"Dengar cerita ada yang rancang nak jual tanah untuk bina perumahan orang asing. Kononnya untuk pekerja tapi tanah tu luas. Ada khabar kata tempat tu untuk bina perkampungan pelarian," jelas bapanya pula.
Aryana memakai fon telinga pada bahagian kanan. Lagu pada telefon pintar dipasang. Kemudian, matanya beralih ke arah jalan raya yang memiliki banyak kenderaan.
"Ada masa dua bulan lebih untuk Along uruskan hal di sana. Datuk Hamzah macam mana sekarang? Dah keluar wad ke?"
"Orang tua tu dah boleh berlari 10 pusingan kawasan perumahan. Abah suruh rehat. Degil juga nak buat kerja. Siap bertapa di kawasan nak kena jual tu. Sampailah abah suruh Pak Cik Taha bawa geng dia jaga kawasan tu."
Aryana ketawa mendengar keluhan bapanya. "Datuk memang degil. Tapi kalau bukan disebabkan idea dia dulu. Neraca tak akan wujud."
"Tapi itulah. Menantu sendiri buat hantu dalam negara. Siapa tak sakit hati dan rasa bersalah," kata Shuhaimi.
Aryana tongkat dagu menggunakan tangan kirinya. "Hairan juga. Macam mana dia boleh jadi Perdana Menteri sedangkan dia bekas banduan yang menafikan beberapa kes. Sesuatu yang tak logik."
"Banyak yang kena suap tu. Sekarang, ayah dah tak percaya kalau polis dan ketenteran masih lagi bersih daripada rasuah sebab pengurus kes rasuah pun makan rasuah. Mungkin lepas ni Neraca jalan terakhir untuk rakyat," kritik Shuhaimi berdasarkan pemerhatiannya.
"Manusia tak boleh lari daripada beri dan terima rasuah kecuali ada prinsip," kata Aryana yang tegas terhadap hal sedemikian.
"Minggu depan, cawangan Along buka untuk kemasukkan ahli baru, kan?"
"Ya. Kenapa?"
"Datuk suruh masukkan cucu dia untuk cawangan sana. Rasanya cucu dia pun balik kampung. Bolehlah Along jumpa nanti. Dia anak Tan Sri Yusman tu."
"Eh? Kenapa anak orang tu nak masuk Neraca?"
"Menegakkan kebenaran dan hak bangsa," jawapan ringkas daripada Shuhaimi.
YOU ARE READING
NERACA
Mystery / ThrillerKehidupan bukan sesuatu yang mudah untuk dijalani terutama kepada manusia yang tidak memiliki pilihan kecuali satu jalan. Kebaikan dan keburukan hanya berlandaskan satu jalan yang dipilih oleh seseorang walaupun berisiko tinggi. Keadilan sukar untuk...