Shuhaimi dan Ling membawa kanak-kanak itu keluar dari kawasan tersebut setelah Shuhaimi membelinya dengan harga RM500. Harga murah diberikan kerana si penjual menerima ugutan daripada kanak-kanak tersebut. Pekerjanya juga hairan melihat penjual itu akur terhadap harga rendah itu.
"Kebebasan dibalas kebebasan tanpa nilai tinggi. Kematian dibalas kematian tanpa belas budi," ujar kanak-kanak itu kepada si penjual sebelum dirinya dibeli oleh Shuhaimi.
Hanya si penjual yang mengetahui betapa ngerinya kanak-kanak itu ketika membuka mulut. Dia juga pernah menutup mulut kanak-kanak itu tiga bulan tetapi suara kanak-kanak itu bagaikan mengekori dirinya sehingga dia sendiri menghadapi nasib malang. Dia percaya bahawa kanak-kanak itu memiliki saka atau seangkatan dengannya.
Kanak-kanak berusia lima tahun itu keluar dari tandas perempuan di dalam pusat beli-belah. Dia berlari ke arah Shuhaimi dan Ling di sebuah bangku dengan senyuman gembira.
"Terima kasih sebab belikan baju yang cantik ni," katanya sambil berpusing-pusing.
Shuhaimi turut gembira melihat senyuman kanak-kanak itu. "Baguslah."
Ling menyilangkan kakinya lalu lengannya disilang pada dada. "Jadi, siapa nama kamu?" soalnya dengan serius.
Senyuman kanak-kanak itu menghilang. Shuhaimi yang perasan tentang perubahan tersebut segera mencucuk pinggang kanan rakannya sebagai isyarat, jangan buat kanak-kanak itu menangis.
Tanpa dijangka, kanak-kanak itu melutut di hadapan mereka dengan gaya seorang pahlawan menghadap sang raja. Mereka pula yang terkejut melihat situasi itu. Ling terdiam. Disangkanya gurauan itu tidak diendahkan atau mungkin membuatkan kanak-kanak itu menangis.
"Saya, Victoria Silenceux. Anak tunggal Silenceux III. Keluarga saya dah musnah kerana pengkhianat," jelasnya tentang dirinya.
"Macam mana kamu boleh ada di sana?" tanya Shuhaimi pula walaupun dirinya terkejut terhadap keterangan itu.
"Salah seorang daripada mereka yang hantar saya ke sini walaupun dia diarahkan untuk membunuh saya."
"Motif?"
"Demi ramalan masa depan anak dia."
"Ramalan?" soal mereka berdua.
"Saya mampu meramal masa depan seseorang yang saya pernah lihat. Mereka anggap saya sebagai gadis suci di tempat asal saya dan ramai orang mahukan saya sehingga perang sesama mafia tercetus," beritahunya kepada mereka.
"Mafia? Dari luar negara ke?" tanya Ling untuk mendapatkan kepastian.
"Ya," dia mengakuinya.
"Apa nama kumpulan mafia tu?" giliran Shuhaimi pula bertanya.
"Black Rose. Organisasi yang lahirkan pembunuh upahan dan disebarkan ke seluruh negara secara diam-diam. Sekarang ni dipegang oleh bekas orang kanan bapa saya, Orland Gostav. Berkhidmat untuk mencetuskan peperangan dengan negara lain," jelasnya tentang maklumat rahsia itu.
Ling segera berdiri. Dia melihat ke arah Shuhaimi dengan wajah serius. "Kerja bagus, Shu. Tak sia-sia kau bebaskan dia dari sana. Kita dapat emas yang lebih berharga daripada batu permata," katanya dengan bersemangat.
Shuhaimi mengangguk sebagai tanda faham. "Jadi, apa kamu nak buat lepas dibebaskan? Saya tak beli untuk kamu jadi hamba saya, Victoria."
Kanak-kanak itu berdiri. "Terima kasih kerana telah selamatkan saya. Saya akan lakukan apa sahaja untuk balas budi tuan. Saya tak mahu ambil kembali sesuatu yang saya dah hilang. Saya bukan mahukan kuasa. Black Rose hanya sejarah. Saya mahukan masa depan. Mulakan hidup baru sebagai manusia biasa."
Shuhaimi turut berdiri. "Kalau macam tu. Kamu nak jadi anak angkat saya?"
"Anak angkat?" soal kanak-kanak itu.
"Ya. Demi isteri saya."
Dia mengangguk kepalanya kerana memahami maksud Shuhaimi. "Baiklah." Kemudian, dia berdiri.
Ling tepuk tangan. "Tahniah. Tapi tak akan nak guna nama lama? Ada cadangan nama?"
Shuhaimi berfikir sejenak. "Aryana."
"Eh? Itu kan nama anak kau?"
"Nama tu lebih sesuai untuk ubati luka isteri aku. Lagi pun, muka mereka tak jauh beza. Mungkin isteri aku nampak dia macam anak kami. Kalau tak sesuai. Aku akan tukar nama," jawabnya.
"Kamu tak kisah, kan?" soal Shuhaimi kepada kanak-kanak itu.
"Saya tak kisah."
"Bagus."
"Tapi saya ada satu permintaan," ujar kanak-kanak itu.
Mereka tekun mendengar permintaan kanak-kanak bijak tersebut. "Apa?" tanya Ling.
"Boleh saya buat latihan menembak dan berlawan lepas ni? Saya dah lama tahan diri daripada kemarahan. Benda tu buat saya tertekan dan saya pernah cederakan diri sendiri sebab mental saya lemah," katanya.
"Kejap! Menembak?" Ling memandang serius.
"Tak boleh?" tanyanya.
"Untuk apa?" soal Ling lagi.
"Untuk..." Dia melihat ke arah lain.
"... sambung latihan yang tertangguh. Tuan berdua bukan orang biasa, kan?"
Mereka tergamam.
Aryana tersenyum. "Kalau nak gunakan saya untuk tugasan tuan berdua pun, saya tak kisah. Asalkan saya dapat apa yang saya cari."
"Apa yang kamu cari?" Ling memegang bahu Aryana.
"Keadilan dan habuan."
"Budak ni bukan kanak-kanak normal yang aku pernah jumpa. Dia ni, monster bertopengkan manusia. Macam manalah perisik macam kami boleh ditakdirkan berjumpa dengan dia ni? Kalau orang jahat beli dia. Mesti negara ni huru-hara," monolog Ling dengan tatapan tajam kepada Aryana.
"Saya tak akan terlepas kepada mereka. Mereka bukan orang yang saya cari. Wang dan kebebasan tak sama nilainya dengan keadilan. Silenceux berpegang kepada keadilan dan maruah," tuturnya berdasarkan prinsip keluarganya.
Shuhaimi memegang lengan kanan rakannya. "Ling. Lepaskan dia. Biar aku bincang hal ni dengan Inspektor Taha."
"Kau nak budak ni masuk pasukan perisik kita?"
"Kalau dia mampu. Kau sendiri dengar, kan? Dia daripada keturunan mafia. Mustahil mereka lemah."
"Kau percaya kata budak ni?"
"Aku tahu menilai orang. Dia pun sama."
"Macam mana kau boleh yakin?"
"Hanya yang faham je boleh faham. Betul tak, Victoria?" Matanya melihat ke arah kanak-kanak itu.
"Ya. Menilai manusia bukan susah sebab mata tak pernah menipu walaupun mulut selalu berdusta. Saya dah banyak lihat orang macam tu di sana," jawabnya.
"Kecil-kecil dah pandai bercakap macam orang dewasa," bidas Ling.
Aryana silang lengan pada dada. "Bapa saya yang ajar sebagai pewaris Black Rose seterusnya."
"Tapi Black Rose dah dirampas," kata Ling.
"Saya tak perlukan Black Rose. Saya perlukan orang yang saya boleh percaya untuk bina masa depan baru."
YOU ARE READING
NERACA
Mystery / ThrillerKehidupan bukan sesuatu yang mudah untuk dijalani terutama kepada manusia yang tidak memiliki pilihan kecuali satu jalan. Kebaikan dan keburukan hanya berlandaskan satu jalan yang dipilih oleh seseorang walaupun berisiko tinggi. Keadilan sukar untuk...