Secawan Affogato dihidangkan di atas meja oleh seorang barista kepada pelanggannya. Tanpa membuang masa, pelanggan itu mencapai sudu di atas piring yang menjadi pelapik cawan tersebut lalu menyudu sedikit aiskrim. Affogato bukan sejenis air kopi biasa tetapi Affogato merupakan gabungan aiskrim vanila atau gelato yang disiram dengan espresso. Gabungan rasa manis dan pahit pada masa yang sama menjadikan hidangan ini lebih sedap.
"Macam mana rasanya resepi baru gelato tu? Sesuai dengan selera kau?" tegur seorang lelaki setibanya dia di situ.
Sebuah kerusi ditarik lalu dia duduk berhampiran pelanggan tadi. Manakala, si pelanggan menyuap gelato ke dalam mulutnya sambil mendengar lelaki itu membuat pesanan minuman kepada barista di hadapan mereka. Sudah pasti ketika ini mereka berada di meja bar.
"Ada apa kau datang cari aku di sini?" soal pelanggan itu kepada lelaki tersebut.
Lelaki itu tidak menjawab segera soalan itu, malah dia mengeluarkan sesuatu dari dalam poket seluarnya lalu diletakkan di atas meja. "Aku nak kau tengok barang ni," beritahunya.
Barang tersebut dilihat terlebih dahulu sebelum dia mengambilnya. "Mana kau dapat cincin ni?" tanya si pelanggan sambil memegang cincin tadi.
"Aku terjumpa cincin masa berkhemah minggu lepas. Nampak cantik. Sayang pula nak tinggal dalam hutan tu," beritahu lelaki itu kepada manusia tersebut.
Batu permata pada cincin dilihat dengan teliti. "Suka hati kau je nak ambil cincin tu. Kalau ada penunggu, macam mana?"
"Sebab tu aku bawa cincin ni untuk kau tengok. Ada penunggu atau tak?"
Cincin kembali diletakkan di atas meja. "Lebih baik kau kembalikan cincin ni ke tempat asal atau kau akan menyesal."
"Maksud kau?"
Dia mengeluh dan mengambil kembali cincin tersebut. "Kau tak perlu tanya lebih. Cukup kau dengar arahan aku."
Lelaki itu turut berdiri apabila melihat pelanggan tersebut berlalu pergi dari situ bersama-sama cincin tadi. Dilihat seketika ke arah affogato yang masih banyak tersisa. Sekeping wang kertas dicapai dari dalam poket jaket lalu diletakkan di atas meja untuk membayar affogato tersebut. Kemudian, dia mengejar pelanggan tadi sehingga ke luar kedai.
Kelibat orang itu hilang dari pandangannya. Dia tercari-cari sambil mengeluarkan telefon pintar dari sebalik jaketnya. Nama pelanggan tadi dicari lalu dia menelefonnya.
"Nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan."
"Ke mana pula dia bawa lari cincin tu?" gertus hatinya.
Bahu lelaki itu tiba-tiba sahaja ditepuk dari belakang. "Hoi, Luqman. Kau buat apa depan kedai aku? Datang sini tak beritahu."
Hampir sahaja dia mahu mencampak rakannya itu kerana terkejut tadi. Nasib baik dia cepat sedar apabila mendengar suara rakannya itu. Dia berpaling arah kepada rakannya, Damian.
"Tadi aku jumpa dengan Ary. Minta tolong dia tengok-tengok cincin yang kita jumpa hari tu. Tapi dia pula bawa lari cincin tu. Kau rasa?" adunya.
Damian memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar. "Kau macamlah tak kenal dia. Kalau bukan disebabkan ramalan dia dulu. Mungkin kita dah mati masa jalankan tugas dulu. Lepas kejadian tu, isteri aku suruh letak jawatan daripada jadi polis."
"Letak jawatan pun. Kafe kau ni boleh tahan maju," kata Luqman sambil melihat kedai milik bekas rakan sekerjanya dahulu.
"Jadi, kau datang sini semata-mata nak jumpa dia je?" soal Damian.
"Kalau ikutkan macam tu lah. Tapi sekarang ni aku telefon pun dia tak jawab. Nak cari dia. Sekejap saja dah lesap," beritahu Luqman tentang rakan baik mereka.
"Mungkin dia ada hal penting kena uruskan. Eh, Luqman! Kau tahu tak kes pembunuhan bersiri baru-baru ni di kawasan Taman Permai. Aku dengar suspek memburu orang asing. Bahagian kau tak ada dengar apa-apa cerita ke?"
"Oh, kes tu! Inspektor Kazim yang uruskan. Aku tak ada kaitan dengan kes tu. Tapi tahu la juga sikit. Kenapa kau tanya?" Luqman angkat kening kepada rakannya.
"Kau rasa apa motif pembunuh tu?"
Luqman mendiamkan diri sambil berfikir sebelum menjawab soalan tersebut. "Mungkin mereka ada kaitan dengan sesuatu yang sama."
"Apa?"
"Entah." Mereka kebuntuan.
*
Panggilan segera dijawab menggunakan fon telinga pada telinga kanannya. Jam tangan dilihat sekilas sebelum masuk ke dalam rumah. "Macam mana keadaan di sana?"
"Tugas dah selesai. Sekejap lagi aku akan hantar maklumat tu ke unit maklumat. Kau pula macam mana? Ada dapat apa-apa jejak tentang pengkhianat bangsa yang hilangkan diri tu?" kata seseorang melalui panggilan itu.
Jaket ditanggalkan lalu diletakkan di atas sofa. Tali leher pula dilonggarkan dan satu butang kemeja dibuka. "Dia dah di Jerman. Ada kemungkinan dia mencari back up atau larikan diri. Siapa tak takut mati? Tapi jual harta pusaka berani pula."
Lelaki itu ketawa. "Pengecut. Dia belum jumpa aku lagi. Sebagai pemburu kepala. Tembakan aku tak akan pernah meleset," katanya dengan bangga.
Dia duduk di atas sofa dengan senyuman pada wajahnya. "Kau jangan terlalu yakin, Qazmir. Ingat pesan aku. Keyakinan kau akan makan diri kau."
Qazmir menghela nafas keluhan. "Baiklah. Aku faham."
"Esok aku kena balik Pahang sebab cuti semesta. Ada apa-apa masalah nanti beritahu aku."
"Berapa lama balik sana?"
"Dua bulan lebih. Ada masa nanti aku datang sini," jelasnya.
"Hati-hati balik tu."
"Abah aku ambil. Motor aku tinggal di apartmen ni. Kalau kau nak guna. Ambillah. Nanti aku tinggalkan kunci dalam pasu," katanya yang mesra kawan.
"Bagus. Nanti aku guna."
"Minyak motor jangan lupa isi. Aku balik nanti. Kalau tak penuh. Siap kau, aku penuhkan minyak dalam mulut kau," ugutnya kepada Qazmir.
"Ampun, Cik Ary yang kacak. Saya masih mahu hidup lama," ujarnya lalu ketawa.
"Minggu depan, Neraca akan buka untuk kemasukan ahli baru. Dalam situasi negara kita sekarang ni, mungkin ramai pemuda akan sertai kita untuk keadilan. Pastikan kau tapis betul-betul sebelum aku ambil alih nanti," pesannya selaku ketua organisasi bernama Neraca.
"Baiklah."
YOU ARE READING
NERACA
Misterio / SuspensoKehidupan bukan sesuatu yang mudah untuk dijalani terutama kepada manusia yang tidak memiliki pilihan kecuali satu jalan. Kebaikan dan keburukan hanya berlandaskan satu jalan yang dipilih oleh seseorang walaupun berisiko tinggi. Keadilan sukar untuk...