Part 1

678 21 1
                                    

KAKI terus mencecah lantai sebaik sahaja Kashaf tersedar dari lena. Langsir yang sempat diselak ketika dia bangun solat subuh membuatkan biliknya diterangi mentari pagi. Bangun sahaja dari katil, badannya terus menggeliat, menghilangkan lenguh sendi kerana kembali menyambung tidur.

Selesai mencuci wajah serta menggosok gigi, Kashaf turun ke dapur. Susu segar dituang ke dalam gelas dan kemudiannya diteguk rakus.

"Morning!"

Kashaf berpaling dengan kening yang terjungkit. Kemudian dia bersandar pada meja pulau sambil berpeluk tubuh.

"Awal bersiap. Nak pergi mana?"

Usai mengambil air kosong di mesin penapis, Fahri ikut bersandar pada kabinet dapur Kashaf. Berhadapan dengan sepupunya itu.

"Nak keluar sekejap." Air kosong di dalam gelas diteguk.

"Nak jumpa Sofie?"

Kelihatan rahang Fahri bergerak menahan rasa. Gelas di tangannya juga dipegang dengan kemas. Nasib baik kaca tebal, kalau nipis dah lama pecah agaknya.

"How could she..." Nafas ditarik dalam. Banyak yang ingin dia katakan tetapi tiada apa yang terluah.

"Aku rasa lebih baik kau beri ruang kepada Sofie untuk fikirkan tentang hubungan kau dan dia." Kata Kashaf yang masih cuba berlapik.

Fahri pandang Kashaf dengan pandangan yang menyimpan pelbagai rasa.

"Beri dia ruang dan masa bermaksud aku lepaskan dia pergi Kashaf."

"Mungkin itu yang terbaik, Fahri."

Ting!

Gelas kaca berlaga dengan counter top yang diperbuat daripada marmar. Mata Kashaf terus terarah ke situ sebelum kembali memakukan pandangan ke wajah Fahri yang sedang beriak serius.

"Kau pun setuju dengan kata-kata ibu aku?"

"She just want the best for you."

"Sofie dah cukup bagus untuk aku Kashaf."

"Tapi dia pilih untuk pergi." Kashaf tetap tenang membalas renungan tajam Fahri kerana dia tahu semuanya tentang kekasih sepupunya itu.

Dia tahu yang Sofie curang dengan Fahri kerana ibu Fahri sudah menceritakan segalanya kepada dia. Malah mak ngahnya itu siap berpesan supaya tengokkan Fahri sepanjang Fahri berada di sini.

Fahri tunduk menekur lantai. "Kau dah tahu semuanya Kashaf?"

"Ya." Kedua belah tangan yang memeluk tubuh dimasukkan ke dalam poket seluar. "Lebih baik kau naik berehat sebelum flight kau malam nanti."

"Aku cuma nak jumpa dia untuk kali terakhir."

"Untuk apa? Untuk sakitkan hati kau sendiri?"

"Mate."

Kashaf menggeleng dan terus berlalu ke ruang tamu. Lalu badannya direbahkan ke atas sofa berbentuk L. Alat kawalan jauh ditekan dan kaca televisyen terus memaparkan berita pagi.

"Kashaf."

"Sekejap lagi aku bawa kau keluar makan." Putus Kashaf tanpa berpaling ke arah Fahri yang sedang memandangnya dengan riak tidak puas hati.

KAIN kotor dimasukkan ke dalam mesin basuh bersama cecair pencuci. Selesai menekan butang pada mesin basuh tersebut, Amani merehatkan diri di atas kerusi plastik yang ada di situ. Pulang dari pasar, dia meneruskan tugas mendobi pula. Sekejap lagi dia akan masuk ke dapur untuk menyediakan makan tengah hari bersama neneknya, Nek Rubiah.

KASHAF AMANI (SUDAH TERBIT)Where stories live. Discover now