CUFFLINK pada pergelangan tangan diperkemaskan untuk melengkapkan gayanya pada pagi itu. Kemudian Kashaf memandang wajahnya di dalam cermin dengan tangan mencekak pinggang. Rambutnya sudah mulai panjang tetapi tetap kelihatan kemas setelah disikat dengan rapi. Jambang nipis pada wajahnya juga telah dipangkas agar kelihatan lebih kemas.
Kemudian Kashaf berpaling untuk keluar dari biliknya setelah berpuas hati dengan penampilannya pada hari itu. Baru sahaja pintu bilik dibuka, kelihatan ibunya sedang berdiri di hadapan pintu bilik Amani.
"Mama?"
Puan Soleha yang sedang mengangkat tangan ingin mengetuk pintu bilik Amani itu berpaling.
"Kashaf. Dah nak pergi ofis?"
"Ya ma. Mama buat apa dekat situ?"
"Mama nak ajak Nani sarapan tapi dah dua kali mama ketuk pintu bilik ni langsung tak ada jawapan."
"Belum bangun agaknya ma." Kashaf bergerak mendekati Puan Soleha yang masih tegak berdiri di hadapan pintu bilik Amani.
"Atau mungkin Nani dalam tandas." Sambung Kashaf lagi. Tetapi hatinya sudah mula risau.
"Cuba Kashaf ketuk pula. Mama rasa tak sedap hatilah." Keadaan Amani yang masih berduka membuatkan dia risau dan bimbang kalau gadis itu masih meratapi pemergian neneknya sendirian di dalam bilik itu.
Belum sempat Kashaf mengangkat tangan, pintu dibuka dari dalam. Kashaf dan Puan Soleha terus terdiam bila melihat wajah Amani yang sembab dan pucat.
"Maaf tuan, puan. Saya tak larat nak bangun tadi." Tombol pintu dipegang kemas bagi menyokong badan yang terasa lemah.
"Nani tak sihat ke?" Puan Soleha bergerak pantas dengan melekapkan tangan ke dahi Amani.
Wajah Kashaf mula berubah riak. Berkerut dahinya bila melihat keadaan Amani ketika itu.
"Panas ke ma?" Soalnya kepada Puan Soleha.
"Panas sikit. Badan Nani lemah mungkin sebab semalam dia banyak menangis." Puan Soleha menjawab dengan nada berbisik.
"Saya okey tuan, puan. Saya tidur sekejap, bila dah bangun nanti okeylah badan ni." Bibir cuba mengukir senyum walaupun agak payah.
Kashaf pandang Amani dengan riak tidak puas hati. "Bersiap sekarang, I bawa you ke klinik."
"Takpe tuan, saya okey."
"Now Nani." Kashaf mula bertegas.
Sejak semalam dia asyik kena bertegas sahaja dengan gadis ini. Kalau tidak ada saja alasan yang Amani berikan untuk tidak mengikut arahannya. Bila di pejabat tidak begini pula. Sentiasa patuh apa saja yang dia katakan.
Seperti semalam, ketegasan Kashaf akhirnya membuatkan Amani akur. Ketika pintu biliknya hampir tertutup rapat, Kashaf sekali lagi bersuara.
"I tunggu you dekat sini."
"Baik tuan."
Nafas dihela sedikit keras setelah pintu bilik Amani tertutup rapat. Puan Soleha yang diam sejak tadi hanya menggeleng melihat gelagat Kashaf.
"Degil sangat ma." Kata Kashaf seperti memahami maksud gelengan ibunya itu.
"Dia bukan degil tapi dia tak nak susahkan Kashaf."
Kedua belah tangan naik mencekak pinggang. "Kalau Kashaf rasa susah, I won't take this responsibility ma."
"Ya mama tahu tapi tidak Amani. Kalau Kashaf nak jaga dia, jangan terlalu memaksa. Nanti Nani rasa rimas pula." Pesan Puan Soleha penuh makna.
YOU ARE READING
KASHAF AMANI (SUDAH TERBIT)
Romance"I'm sorry Amani. Tapi saya tak boleh teruskan pernikahan ini." - Nuh "Berhambus kau dari sini. Aku tak nak tengok lagi muka kau dekat rumah aku Amani!" - Fatimah Ditinggalkan oleh tunang dan dihalau oleh ibu saudara setelah neneknya meninggal dunia...