JARAK antara tempat kerja Amani dengan rumahnya tidak jauh tetapi terpaksa mengambil masa yang lama untuk tiba di rumahnya kerana kesesakan jalan raya yang terpaksa dilalui. Sebaik sahaja Amani keluar dari kereta, azan maghrib berkumandang dari masjid yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Dengan langkah perlahan Amani masuk ke dalam rumah teres satu tingkat itu.
"Baguslah anak dara, orang azan maghrib baru nak balik."
Sindiran terus menyapa pendengaran sebaik sahaja kaki Amani menjejak lantai rumah. Dijeling sekilas sepupunya Zizi yang sedang duduk di sofa sambil mengunyah kerepek. Mata sepupunya itu melekat pada kaca televisyen walaupun mulutnya sibuk menyindir Amani.
Amani buat tidak dengar sahaja dan meneruskan langkah menuju ke biliknya yang terletak berhampiran dapur. Dia sudahlah penat dengan kerja di pejabat. Balik rumah nak kena hadap perangai tak semenggah sepupunya pula.
Geram dengan Amani yang tidak mengendahkan sindirannya, bekas kerepak dihentak keras di atas meja sebelum dia bangun dan menarik lengan gadis itu.
"Hei, kau pekak ke?"
"Apa ni Zizi." Pegangan Zizi pada lengannya cuba dileraikan.
Zizi tersenyum sinis memandang kerutan di wajah Amani. Rasakan. Lengan Amani terus dicengkam sebelum dia menolak kasar tubuh itu. Kemudian dia kembali duduk menghadap televisyen. Puas bila dapat menyakiti Amani bila sindirannya tidak berbalas.
Bekas cengkaman Zizi diusap perlahan dengan wajah yang masih berkerut menahan sakit. Ikutkan hati mahu sahaja dia menampar wajah sepupunya itu tetapi dia masih sedar akan kedudukannya yang menumpang. Disabarkan hatinya agar dia tidak terus hanyut dalam dendamnya terhadap keluarga ibu saudaranya itu.
Sikit lagi Nani. Tak lama lagi kau akan keluar dari sini dan hidup bahagia dengan suami kau. Bisik hati Amani. Namun keluhan lemah terlepas dari bibir saat teringatkan bakal suami yang masih sepi tanpa sebarang khabar.
Langkah yang longlai kembali diatur menuju ke bilik tidur. Pintu bilik ditolak perlahan dan kelihatan neneknya, Nek Rubiah sedang menyarungkan kain sembahyang. Amani terus melangkah masuk ke dalam bilik tidur yang dihuni bersama neneknya sejak beberapa tahun yang lalu.
"Nek."
Nek Rubiah terus tersenyum sebaik sahaja terpandangkan wajah Amani. Namun senyuman di wajahnya perlahan memudar bila melihat riak kepenatan di wajah itu.
"Nani baru sampai?"
"Ya nek." Duduk dilabuhkan di atas katil bujang di tepi dinding.
"Pergilah mandi lepas tu solat. Nanti nenek sediakan makan malam untuk Nani."
Amani menggeleng dengan lemah. "Tak perlu nek, nanti Nani buat sendiri je semua."
"Tak apa, nenek dah siap masak tadi sebelum Nani balik. Nenek nak solat sekejap." Nek Rubiah terus berpaling menghadap kiblat, membiarkan Amani bersandar lemah di atas katil bujangnya itu.
Mata Amani terus memandang susuk tubuh Nek Rubiah di dalam kain sembahyang. Kemudian dia memandang sekeliling bilik yang dihuni oleh mereka berdua. Sudah lama dia memasang niat untuk membawa Nek Rubiah keluar dari sini dan hidup menyewa sendiri, tetapi niatnya itu dihalang oleh Fatimah, mak longnya.
"Duduk je dekat rumah aku ni, tak payah mengada nak bawa mak aku duduk merempat dengan kau dekat luar sana. Cukuplah dia dah gadai tanah dekat kampung semata nak hantar kau masuk universiti dulu tu. Sudah-sudahlah kau susahkan dia Nani!"
YOU ARE READING
KASHAF AMANI (SUDAH TERBIT)
Romance"I'm sorry Amani. Tapi saya tak boleh teruskan pernikahan ini." - Nuh "Berhambus kau dari sini. Aku tak nak tengok lagi muka kau dekat rumah aku Amani!" - Fatimah Ditinggalkan oleh tunang dan dihalau oleh ibu saudara setelah neneknya meninggal dunia...