Part 8

297 13 1
                                    

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi sebelum berlangsungnya majlis akad nikah Amani dan Nuh. Tetapi nampaknya seperti majlis tidak akan berlangsung seperti yang dirancang bila Nuh terus menyepi sehingga akhirnya nombor telefon Amani juga telah disekat daripada menghubunginya.

Setiap malam Amani tidur bermandikan air mata. Mengenangkan cinta yang dibuang seperti tiada harga. Malah impian untuk terus menjadi suri hati si cinta hati juga musnah dalam sekelip mata. Langsung tiada belaskah di hati bekas tunangnya itu untuk dirinya ini?

Bekas tunang.

Pedih untuk diterima namun itulah takdir cinta mereka yang telah dipijak lumat oleh lelaki yang bernama Nuh Salleh.

Barang hantaran yang bersusun di tepi dinding bilik membuatkan hatinya semakin terluka. Semuanya dibeli untuk Nuh dan sekarang dia tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan semua barang hantaran itu.

Tingkap bilik yang terbuka membawa angin dingin menempa wajah. Amani terus merenung ke luar jendela dengan fikiran yang berat memikirkan tentang bagaimana harus dia berterus terang dengan neneknya tentang pernikahan yang tidak akan berlangsung seperti yang telah dirancang.

Bagi tahu sekarang atau di hari pernikahan, kesannya tetap sama. Mereka tetap terluka. Yang tenang menjalani kehidupan seperti tiada apa cuma Nuh sahaja. Nafas dilepaskan dengan berat lalu Amani bangun dan keluar dari biliknya. Kelihatan Nek Rubiah sedang duduk santai menonton televisyen di ruang tamu.

"Nek."

Nek Rubiah berpaling dan tersenyum. "Buat apa memerap saja dalam bilik tu Nani?"

Amani tersenyum tawar seraya melabuhkan duduk di atas lantai, dekat dengan kaki Nek Rubiah yang sedang duduk di atas sofa.

"Tak buat apapun nek."

Lama Nek Rubiah merenung wajah cucunya itu. Melihat perubahan pada wajah Amani. Kemudian tangannya yang berkedut bergerak mengusap pipi cucu kesayangannya itu.

"Orang lain nak kahwin nampak serinya. Tapi kamu, nenek tengok makin dekat hari nikah semakin muram pula. Nani ada masalah ke?"

Bibir bawah dikemam. "Nenek."

Rasa sebak di dada akhirnya terluah di bibir ketika menyebut nama neneknya.

"Kenapa ni Nani?"

Tangisan yang selalu dilepaskan sendirian akhirnya terhambur di hadapan Nek Rubiah.

"Nani minta maaf nek."

Nek Rubiah mula panik melihat Amani yang teresak sambil memohon kemaafan daripadanya. Entah atas kesalahan apa, dia sendiri tidak pasti.

"Kenapa ni Nani? Kenapa nangis macam ni?" Tangan Amani yang diletakkan di atas ribanya digenggam kemas.

Esakan Amani semakin kuat dengan bahu yang terhinggut-hinggut.

"Nuh dah tinggalkan Nani nek. Kami tak jadi kahwin."

"APA?!"

Belum sempat Nek Rubiah bersuara, Fatimah yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu rumahnya itu sudah terjerit. Beg plastik yang berada di tangannya terus terhempas ke lantai. Turut kelihatan Zizi yang menjenguk dari belakang emaknya itu.

"Apa yang kau cakap ni Amani?" Fatimah terus menerkam ke arah Amani dan menarik menarik anak saudaranya itu bangun.

"Fatimah!"

"Kau tak jadi kahwin?" Soal Fatimah tanpa mempedulikan teguran ibunya. Malah wajah Amani turut dicengkam kemas.

"Sakit mak long."

KASHAF AMANI (SUDAH TERBIT)Where stories live. Discover now