Part 9

316 14 1
                                    

AZAN maghrib baru sahaja berkumandang ketika kenderaan yang dipandu oleh Kashaf memasuki perkarangan rumahnya. Sebaik sahaja enjin dimatikan, Puan Soleha berpaling ke arah belakang untuk melihat keadaan Amani.

Gadis itu kelihatan termenung memandang ke arah luar. Sesekali jemari runcingnya itu naik mengesat pipi. Amani masih menangis.

Dalam diam Kashaf turut memandang melalui cermin pandang belakang. Pelbagai rasa yang bermain di dada saat memandang wajah mendung itu. Rasa sedih, simpati dan yang pasti, rasa cinta yang tidak dapat diselindungkan lagi.

"Kashaf."

Kashaf berpaling ke arah ibunya. "Mama bawa Nani masuk. Bilik atas. Barang yang lain nanti Kashaf bawa masuk."

Puan Soleha angguk dan terus keluar menuju ke tempat duduk Amani.

"Nani."

Amani diam memandang Puan Soleha yang berdiri di hadapannya setelah pintu kereta dibuka.

"Jom masuk, dah maghrib tak elok duduk dekat luar macam ni."

Seperti dipukau, Amani terus keluar dari kenderaan Kashaf dan beriringan masuk ke dalam rumah bosnya itu bersama Puan Soleha.

Segala-galanya kosong. Fikiran dan juga jiwanya. Yang ada cuma jasad yang bergerak bila disuruh.

"Ini bilik Nani." Kata Puan Soleha setelah mereka menjejakkan kaki di tingkat atas. "Bilik auntie dekat sebelah dan bilik Kashaf dekat depan." Kemudian Amani didudukkan di atas katil yang kemas tidak terusik.

Sayu hati Puan Soleha bila melihat kedukaan di wajah Amani. Walaupun tangisan Amani tidak lagi kedengaran seperti tadi, tetapi pipi gadis itu yang masih basah membuatkan hatinya gundah.

Tangisan dan kesedihan yang begini lebih sukar untuk dipujuk berbanding tangisan dan raungan yang jelas kedengaran.

"Nani." Tangan Amani yang berada di atas riba disapa lembut. Sepertinya cuba menyedarkan gadis itu dari lamunan yang panjang.

Amani berpaling dengan mata yang berkaca. Sentuhan Puan Soleha di tangannya mengingatkan dia kepada arwah neneknya. Nek Rubiah sentiasa ada di sisi saat dia kesedihan tetapi kini tinggal dia sendiri. Menumpang di rumah Tuan Kashaf dengan ditemani oleh ibu majikannya itu.

"Sedih sangat hidup saya ni puan."

"Nani."

Amani cuba untuk senyum tetapi keras benar rasa bibirnya itu untuk membentuk senyuman.

"Saya minta maaf sebab menyusahkan puan dan Tuan Kashaf."

"Tak ada apa yang perlu dimaafkan Nani dan awak tak menyusahkan kami."

Amani terus memandang Puan Soleha dengan mata yang kembali berkaca.

"Saya nak solat puan, nak baca yasin untuk nenek." Pinta Amani dengan sebak di dada. Berat terasa lidah untuk menyebut arwah nenek. Mulai hari ini dia harus belajar untuk menyebut neneknya dengan panggilan arwah pula.

"I akan imamkan you solat. Lepas tu kita baca yasin sama-sama."

Serentak Amani dan Puan Soleha berpaling ke arah pintu yang terbuka. Kemudian Amani bangun mendekati Kashaf dengan langkahnya yang perlahan. Pakaian yang berada didalam pegangan Kashaf ditarik ke dalam pegangannya pula.

"Terima kasih Tuan Kashaf."

Mata Kashaf tunak memandang wajah Amani yang masih sugul. Jelas kelihatan wajah dan mata Amani yang basah dengan air mata. Terasa ringan tangannya ingin bergerak mengesat pipi yang basah itu.

KASHAF AMANI (SUDAH TERBIT)Where stories live. Discover now