Part 2

347 17 1
                                    

HAMPIR satu jam, perbincangan di dalam bilik pengarah urusan syarikat Infinity Lab masih belum selesai. Kashaf kelihatan serius berbicara dengan klien yang datang ke pejabatnya pada hari itu.

"Semuanya bergerak pantas sekarang Kashaf. Sesaat kita lambat, beribu atau berjuta yang kita akan rugi."

"I faham." Kashaf angguk faham. "Leave it to us, we will do our best." Sambung Kashaf dengan yakin.

Hampir lapan tahun bergelumang di dalam industri perisian komputer, dia yakin akan kemampuan pekerjanya.

"Terima kasih Kashaf."

Tangan dihulur untuk bersalam sebaik sahaja perbincangan mereka selesai. Kemudian Kashaf ikut bangun bagi menghantar pemergian kliennya itu. Sebaik sahaja kliennya berlalu, setiausahanya melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya bersama dulang di tangan.

Kashaf memandang Amani yang sedang menuju ke mejanya dengan kedua belah tangan berada di pinggang.

"Saya kemaskan cawan ni dulu tuan." Amani mula bersuara sebaik sahaja tiba di hadapan meja Kashaf.

Hanya anggukan sebagai isyarat dia memberi keizinan. Kemudian tangan kanannya jatuh ke meja, membelek dokumen di atas meja sambil setiausahanya itu mengemas cawan yang digunakan untuk menjamu tetamunya seketika tadi.

Sesekali Amani mencuri pandang Kashaf yang diam membelek dokumen dengan tangan kiri yang masih berada di pinggang. Bosnya itu kelihatan begitu santai dengan lengan kemeja yang dilipat ke separuh lengan.

Ada sesuatu yang ingin dia tanyakan. Tetapi perasaan teragak-agak sentiasa menghalang dia untuk bersuara tentang perkara yang tidak melibatkan soal kerja bila berhadapan dengan Kashaf.

"Yes, anything Nani?"

Wajah diangkat memandang Amani yang kelihatan tersentak bila dia tiba-tiba bersuara. Wajahnya yang serius itu terus merenung Amani yang turut memandang ke arahnya. Dia yakin bibir itu akan terus diam tidak memberi jawapan. Selama lima tahun Amani menjadi setiausahanya, dia sangat kenal akan perwatakan gadis itu. Agak berat mulut untuk bersuara dan bercakap tentang perkara penting sahaja.

Bibir Amani sedikit terbuka tetapi tiada kata yang terluah daripada bibirnya itu. Akhirnya dia menggeleng sahaja. Seperti yang Kashaf jangkakan, kemudian Kashaf tunduk semula melihat dokumen di atas meja. Tidak lagi mempedulikan Amani yang masih memerhati.

DULANG berisi cawan yang kotor diletakkan di atas sinki sebelum kedua belah tangannya menongkat pada birai sinki tersebut. Sendat dadanya bila memikirkan tentang masalah yang melanda.

Tinggal sebulan sahaja lagi sebelum majlis perkahwinan Amani bersama tunangnya berlangsung. Tetapi sejak tiga hari yang lalu tunangnya itu langsung tidak dapat dihubungi. Entah ke mana lelaki itu telah menghilang. Tanpa sebarang kata pula membuatkan kerisauannya bertimpa-timpa.

"Nani?"

Pantas Amani berpaling ke belakang bila namanya dipanggil. Lantas bibirnya tersenyum bila melihat Mastura mendekat.

"Eh, tinggal saja dekat situ. Nanti Kak Mas cuci." Kata Mastura merangkap tukang cuci di syarikat mereka. Atau lebih tepat di tingkat pejabat paling atas yang menempatkan bilik pengarah urusan.

"Nanti kotor baju kerja Nani yang cantik tu," sambung Mastura lagi setelah berdiri di sebelah Amani.

Spontan Amani tunduk memandang pakaian di badan. Baru beberapa tahun kebelakangan ini baru dia mampu untuk berpakaian mahal begini. Setelah lima tahun dia bekerja di sini.

"Terima kasih Kak Mas." Amani terus keluar dari pantri dan menuju ke meja kerjanya.

Duduk dilabuhkan dan dia bersedia untuk meneruskan kerja tetapi perbuatannya terhenti bila terpandangkan Kashaf melalui dinding kaca di hadapan. Setiap kali terpandangkan bosnya itu pasti ingatannya terhadap encik tunang semakin menekan.

Sedang Amani leka memandang Kashaf, lelaki itu mengangkat wajah lalu pandangan mereka saling bertaut. Tersentak, pantas Amani melarikan pandangan dengan menundukkan wajah.

Ish, risaukan encik tunang tapi gayanya seperti angaukan encik bos pula. Spontan pipinya berubah rona.

DESKTOP dimatikan kemudian Kashaf menyimpan barang peribadi miliknya di dalam beg kerja termasuklah komputer riba yang sentiasa dibawa ke mana saja. Beg bimbit kulit jenama Brunello Cucinelli diangkat dari meja bila dia sudah bersedia untuk pulang. Sebelum itu blazer hitam yang dipakai pada waktu pagi disangkut pada lengan kiri. Malas untuk menyarungkan semula ke badan bila lengan kemejanya juga sudah dia lipat sehingga separuh lengan.

"Nani."

Nama Amani diseru bila dia tiba di hadapan meja setiausahanya itu. Amani mendongak dan angguk bila melihat Kashaf telah sedia untuk pulang. Beg tangan disangkut ke bahu dan beg kerja dipegang kemas di tangan kiri. Kemudian Amani bangun dan mengekori Kashaf dari belakang.

Telah menjadi rutinnya untuk pulang bersama Kashaf jika bosnya itu berada di pejabat sehingga tamat waktu bekerja. Jika Kashaf terpaksa berada di pejabat lebih lama, dia akan pulang terlebih dahulu setelah diberi arahan oleh bosnya itu. Dan jika bosnya itu langsung tiada di pejabat, dia akan terus pulang sebaik sahaja jarum jam berada di nombor enam.

"Esok I masuk lambat." Kata Kashaf sebaik sahaja mereka masuk ke dalam lif. Kedua mereka mendongak memandang nombor lif yang sedang bergerak.

"Baik tuan." Pendek sahaja jawapan Amani. Langsung tidak bertanyakan kenapa.

Lif terus bergerak turun dan ketika mereka berjalan keluar baru Amani teringat akan hari keluarga syarikat mereka yang dibincangkan dengan Kashaf beberapa hari yang lalu.

"Tuan, family day yang tuan cakap hari tu macam mana?"

Langkah Kashaf terhenti sebelum tiba di pintu lobi bangunan. Tangan yang tersangkut blazer bergerak mencekak pinggang.

"Is it necessary Nani?"

Semua itu dicadangkan oleh salah seorang pekerjanya di dalam mesyuarat yang berlangsung pada minggu lalu. Ini kerana dia menyuarakan tentang tekanan kerja di pejabat. Lalu diberikan cadangan supaya diadakan hari keluarga untuk semua pekerja sebagai salah satu cara untuk melepaskan tekanan kerja.

"It's up to you Tuan Kashaf. Saya cuma ikut arahan tuan."

"Tapi kalau nak buat pun tak boleh buat dalam waktu yang terdekat. You sibuk dengan majlis kahwin you, kan?" Kashaf kembali melangkah dan Amani ikut berjalan bersama-sama dengannya.

"Ya tuan."

"Kalau macam tu, we will talk about this later. Kalau ada yang tanya you tentang perkara ni, cakap saja masih dalam pertimbangan."

"Baik tuan."

Langkah mereka terhenti di hadapan BMW X6 milik Kashaf.

"I balik dulu Nani. Drive safe."

Amani angguk. "Tuan juga, hati-hati memandu." Kemudian Amani terus berlalu menuju ke tempat parkir yang sedikit jauh dari perkarangan bangunan pejabat mereka.

Kashaf memandang langkah Amani sehingga gadis itu semakin menjauh. Kemudian barulah dia masuk ke dalam kenderaannya dan mula bergerak pulang. 

KASHAF AMANI (SUDAH TERBIT)Where stories live. Discover now