Beberapa minggu kemudian...
AMANI baru sahaja selesai sembahyang zuhur bila kedengaran bunyi hon di hadapan rumahnya. Yakin yang hon itu adalah dari kenderaan Nuh, telekung sembahyang dibuka dan Amani bergegas bersiap untuk keluar bersama tunangnya itu.
Ketika dia hampir siap menyarungkan tudung di kepala, hon berbunyi lagi. Pergerakan Amani semakin pantas kerana bimbang akan Nuh yang telah lama menunggunya di luar sana. Kerana kesuntukan masa, tudung yang dipakai hanya sempat dipin secara ringkas sahaja. Beg tangan disangkutkan ke bahu dan Amani bersedia untuk keluar setelah berpuas hati dengan penampilannya pada hari itu.
Ketika Amani baru sahaja keluar dari bilik, langkahnya dihalang oleh Zizi yang berada di dapur.
"Nak keluar dengan tunang kau ke?"
"Ya." Sepatah Amani menjawab sebelum kembali melangkah. Zizi yang sedang menghalang laluannya ditolak begitu sahaja.
Kedengaran tawa sinis dari bibir sepupunya itu.
"Kadang aku kesian dengan kau Nani. Mudah sangat kena tipu."
Berkerut kening Amani bila mendengar kata-kata Zizi. Tetapi kerana mengejar waktu, dia buat tidak endah sahaja dengan kata-kata sepupunya itu.
"Simpan kesian kau hari lain saja Zizi. Aku dah lambat." Kaki dihayun lagi tetapi langkahnya sekali lagi dihalang bila tiba di ruang tamu.
"Jangan lupa minta separuh duit hantaran dengan tunang kau tu. Berapa kali dah aku ingatkan kau Nani."
Amani berpaling ke arah Fatimah yang kelihatan santai menonton televisyen bersama suaminya Zainal.
"Kan Nani dah bagi tahu mak long yang Nani guna duit sendiri untuk majlis tu nanti. Lagipun kenduri lambat lagi. Bulan depan kan akad nikah sahaja dulu."
Sememangnya begitulah perancangan dia dan Nuh, yang wajib akan didahulukan manakala kenduri kedua belah pihak akan dilangsungkan pada hujung tahun seperti yang telah dipersetujui.
Alat kawalan jauh dihentak kasar sebelum Fatimah bangun mendekati Amani dengan wajah bengis.
"Kau ni bodoh ke apa?!" Tidak cukup dengan suara yang meninggi, kepala Amani turut ditunjal geram.
"Separuh daripada duit hantaran memang akan digunakan untuk belanja kenduri. Dah memang pihak lelaki yang patut keluarkan belanjan tu semua, yang kau baik hati sangat nak guna sendiri tu dah kenapa?" Mata dijegil dengan kedua belah tangan mencekak pinggang. Geram dengan kebodohan anak saudaranya itu.
"Fatimah." Nek Rubiah yang baru keluar dari tandas menegur bila mendengar suara anaknya yang meninggi di ruang tamu.
"Cucu mak ni bebal sangat. Nak tunjuk baik tapi tak bertempat."
"Saya bukan bebal mak long, tapi kami dah sama-sama bersetuju untuk tidak saling membebankan."
"Huh, tak nak membebankan konon. Hakikatnya kau tu bodoh. Percaya sangat dengan lelaki sehingga sanggup susahkan diri sendiri. Kau ingat lelaki dekat luar sana tu baik sangat ke? Dia orang cuma tahu ambil kesempatan di atas kebodohan perempuan macam kau ni haa. Termasuklah tunang kau tu." Cemuh Fatimah.
Merah muka Amani menahan rasa. Sikit masa lagi mungkin pipinya akan basah dengan air mata kerana tidak tahan mendengar cemuhan ibu saudaranya itu.
"Nuh bukan lelaki macam tu..."
"Ah tak payah kau nak bela sangat tunang kau tu. Aku nak kau minta dengan dia separuh daripada wang hantaran kau. Jangan sampai aku keluar dan minta sendiri dengan tunang kau tu Nani." Fatimah berpaling dan menghempaskan duduk di sisi suaminya yang tenang menonton televisyen. Langsung tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku di ruang tamu rumah mereka ketika itu.
YOU ARE READING
KASHAF AMANI (SUDAH TERBIT)
Romance"I'm sorry Amani. Tapi saya tak boleh teruskan pernikahan ini." - Nuh "Berhambus kau dari sini. Aku tak nak tengok lagi muka kau dekat rumah aku Amani!" - Fatimah Ditinggalkan oleh tunang dan dihalau oleh ibu saudara setelah neneknya meninggal dunia...