𝐖𝐏𝐃 𝟗

184 17 1
                                    

SUSUK tubuh ibunya dipeluk erat sambil lengan wanita yang sudah berumur itu diusap lembut. Sesekali tangan Naura dicium sekilas oleh anaknya itu.

"Hud dah bermanja-manja dengan mama ni mesti ada sesuatu yang Hud nak kan?" soal Naura sambil tertawa kecil. Sudah tahu perangai anak tunggalnya ini.

"Mana ada. Hud nak ajak mama berbual je."

"Iya lah tu." Naura membuat muka. Tangannya masih ligat menyediakan makanan tengah hari untuk mereka berdua.

"Ma..."

"Hmm..."

"Macam mana mama kahwin dengan papa dulu?" Soalan rawak dari Hud membuatkan gerak geri Naura terhenti. Wajah anaknya kemudian dipandang sambil lengan dilipat ke dada. Mata dikecilkan seolah-olah cuba untuk mengingat memorinya bersama Umar dahulu.

"Mama pun tak tahu kenapa mama sendiri boleh bersetuju untuk kahwin dengan papa. Tapi yang pasti, perasaan tu sendiri yang hadir tanpa mama sedar bila dan bagaimana. Magik kan?" Naura tertawa kecil. Sungguh, dia juga tidak tahu entah bagaimana dia boleh terjatuh hati pada Umar. Hud hanya mengangguk.

"Tiba-tiba sangat Hud tanya pasal ni dah kenapa? Dah nak bawa balik menantu ke dekat mama?" Anaknya itu sengaja disakat sambil kening dijongket berkali-kali. Bukannya dia tak tahu, Hud memang tak pernah mengungkit tentang perkara-perkara begini melainkan ada sebab di sebaliknya. Jarang sekali untuk membuka topik perbualan tentang perkahwinan.

Lelaki itu hanya mendiamkan diri sebelum tangan ibunya ditarik dan wanita itu dibawa untuk duduk di meja makan. Naura hanya membiarkan perlakuan anaknya itu. Dia tahu, ada perkara penting yang ingin Hud bincangkan.

"Hud... ada kenal dengan seorang perempuan ni tapi..." Percakapan Hud terhenti membuatkan Naura mengerut dahi. Hud sudah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Macam mana pula dia nak cakap ni?

"... Hud tak tahu nak ambil hati dia macam mana." Hud menunduk malu. Belum pernah lagi dia terasa jatuh cinta sampaikan ingin membina rumah tangga dengan wanita tersebut. Naura tersenyum melihat tingkah laku dari Hud yang kelihatan sedikit kekok. Ini adalah kali pertama Hud berbicara tentang wanita di hadapan Naura. Sebelum ini, mulut Hud itu boleh dikatakan agak susah untuk mengeluarkan nama seorang wanita.

"Anak mama tengah jatuh cinta ke sekarang ni?" Perut anaknya itu dicuit-cuit. Hud hanya mengangkat bahu.

"Hud betul-betul serius ke dengan dia?"

"Mungkin."

"Mama tak nak jawapan tu. Kalau Hud betul-betul serius, Hud kena tunjuk usaha yang lebih untuk nak halalkan dia. Tanya hati Hud ni balik." Jari telunjuk Naura menekan-nekan pada dada Hud.

"... Hud dah betul-betul jatuh cinta pada dia ke atau sekadar perasaan yang suka-suka? Bagi mama, mama tak nak Hud bercinta sebelum kahwin. Bercinta selepas kahwin itu lebih baik. Kalau Hud betul-betul nak kan dia, bawa dia jumpa mama nanti." Tangan kasar anaknya itu diusap dengan penuh lembut. Cuba untuk memberi sokongan sebagai seorang ibu.

"Hud lebih tahu apa yang Hud inginkan," sambung Naura lagi. Mata anaknya ditatap dengan tatapan penuh lembut seraya pipi Hud diusap berkali-kali. Senyuman manis diberikan buat lelaki itu.

WANITA yang kelihatan sebaya dengannya itu berjalan menghampiri Hud Rafael. Meja diketuk apabila lelaki itu hanya menunduk sambil bermain dengan telefonnya. Lantas lelaki itu panggung kepala sebelum kening sebelah kirinya dijongket.

Wanita itu juga sudah melabuhkan punggung berhadapan dengan Hud sebaik sahaja pandangan Hud benar-benar tertumpu ke arahnya.

"Dah lama ke sampai?" soal sepupunya, Adalea Sofeeya.

"10 minit dah kena sidai." Wajahnya hanya beriak tenang namun suaranya kedengaran sedikit sinis. Adalea membuat muka di hadapan lelaki itu. Halah, bukannya dia sidai satu jam.

"Aku ada berita baik nak bagi tahu kau," kata wanita itu dengan penuh teruja. Tangannya kemudian menyeluk ke dalam beg tangannya dan mengambil sesuatu dari beg tersebut.

Hud mengerut dahi apabila melihat kad putih yang dipegang oleh sepupunya itu.

"Nah tengoklah." Kad putih itu kemudian diberikan pada Hud dan lambat-lambat lelaki itu mengambil dari tangan Adalea.

"Kau dah nak kahwin?" Hud menyoal Adalea walaupun dia sudah melihat tulisan yang sudah tertera di atas kad tersebut. Laju sahaja Adalea mengangguk seraya tersenyum sehingga menampakkan barisan giginya.

"Congrats." Hud juga tersenyum kecil. Tidak percaya bahawa wanita di hadapannya saat ini tidak lama lagi akan menamatkan masa bujangnya.

"Kau bila nak menyusul? Masih sibuk dengan kerja?" Adalea juga tahu sepupunya ini terlalu susah untuk jatuh hati pada mana-mana wanita. Terlalu mementingkan kerja dan langsung tidak berminat untuk mencari peneman hidup. Hud mengoyak senyuman sinis.

"Kau tahu kan kerja aku macam mana? Dan sejujurnya aku dah target seorang wanita ni tapi entah lah, rasa macam ditolak pun ada." Sayu sahaja suaranya saat ini. Mata Adalea membulat.

"Siapa yang berani tolak kau Hud? Lelaki hensem dan berkelas macam ni pun orang tolak? Rugi betul perempuan tu." Adalea menggelengkan kepalanya berkali-kali. Sepatutnya wanita itu perlu bersyukur dan bangga kerana dapat menambat hati seorang lelaki yang susah untuk jatuh cinta.

Hud hanya tertawa apabila dipuji oleh sepupunya itu. Terlalu susah untuk mendengar Adalea memujinya. Selalunya mereka berdua akan bergaduh setiap kali berjumpa.

"Alang-alang kau dah nak kahwin ni... apa kata kau bagi tahu aku, macam mana nak yakinkan perempuan tu yang kau betul-betul nak kahwin dengan dia?" Adalea mengusap-usap dagunya seakan-akan sedang memikirkan sesuatu.

"Perempuan ni kan... dia senang je. Kau tunjukkan usaha yang kau betul-betul nak halalkan dia tu pun dah cukup. Jangan tahu cakap dekat mulut je yang kau nak kahwin dengan dia tapi satu habuk usaha pun tak ada. Macam mana dia sendiri nak yakin untuk nak kahwin dengan kau? Action speaks louder than words. Cinta itu juga perlukan pembuktian, Hud." Panjang lebar wanita itu memberi kata-kata motivasi buat Hud Rafael.

"Usaha maksud kau tu macam mana?" Hud kembali menyoal sambil kening yang sudah bertaut.

"Kau boleh usaha melalui doa. Doa banyak-banyak untuk dijodohkan dengan dia. Dan usaha yang aku maksudkan juga bila kau tak akan pernah berputus asa untuk ambil hati dia walaupun kau ditolak berkali-kali. Jangan mengalah, itu je kunci dia. Kalau kau betul-betul nakkan dia, kejar lah semampu yang kau boleh sampailah kau berjaya dapatkan dia sebagai milik kau." Hud hanya mendengar tanpa mengerdipkan matanya. Mendalam juga kata-kata dari sepupunya itu.

"Perempuan ni bila dah nampak banyak usaha yang kau buat demi nak ambil hati dia, lama-lama hati dia akan lembut juga Hud. Maksudnya kau memang betul-betul ikhlas nak jadikan dia sebagai milik kau seutuhnya," sambungnya lagi. Adalea kalau bab-bab cinta memang nombor satu. Bukan apa, cumanya dia sudah belajar dari pengalamannya sebelum dia berjumpa dengan bakal suaminya itu.

"Hud?" Hud panggung kepala apabila mendengar suara seorang wanita yang tiba-tiba sahaja menyebut namanya. Matanya membulat apabila bertembung dengan mata milik wanita itu. Azaleya?

Lelaki itu segera berdiri dan menatap wajah cantik Azaleya.

"Tak sangka kita akan berjumpa lagi." Belakang lehernya diusap. Rasa kekok pula tiba-tiba. Kehadiran Adalea di situ sudah lagi tidak dipeduli oleh Hud.

"Ni... siapa?" soal Azaleya dengan penuh sopan. Terlalu banyak persoalan yang berada di pemikirannya saat ini. Siapa perempuan ni?

𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐏𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐃𝐢𝐚 | 𝐎𝐆Where stories live. Discover now