𝐖𝐏𝐃 𝟑𝟎

80 8 0
                                    

SETELAH seminggu mereka pulang dari Bali, Hud akan kembali dengan kerjanya seperti biasa. Ada tanggungjawab lain yang harus dia selesaikan selain dari memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Berat hati juga untuk berjauhan dengan isterinya tapi mahu tak mahu, Hud patut akur dengan aturan kerja.

Wajah cemberut isterinya ditatap. Tahu lah dia punca wajah Azaleya sebegitu rupa. Dari tadi juga Azaleya hanya diam. Sepatah disoal, sepatah yang dijawab. Isterinya itu tak banyak bunyi seperti selalu.

"Perlu ke abang pergi?" Setelah lama berdiam diri, baru lah Azaleya membuka mulut. Hud mengeluh kecil sebelum dia mengangguk perlahan.

"Ini kan tugas abang? Mana boleh abang lari macam tu je. Marah lah orang atasan abang nanti." Rambut Azaleya diusap penuh lembut.

"Abang dah tak sayang Leya lah tu sampai pentingkan kerja dari Leya." Wajah Azaleya berkerut.

"Aip, kenapa cakap macam tu? Abang sayang isteri abang. Tapi sekarang... abang dah kena masuk kerja semula. Awak nak ke suami awak ni kena marah sebab asyik tak datang kerja?" Hud muncungkan bibir. Kepalanya menyenget memandang wajah si isteri. Perlahan-lahan Azaleya gelengkan kepala. Tangan Azaleya kemudian digenggam oleh Hud.

"Abang bagi tips sikit untuk Leya. Kalau Leya rindu abang... cuba pandang langit. Dekat situ lah langit yang sama abang terbangkan pesawat. Ya... abang mungkin berada jauh dengan Leya tapi abang sentiasa ada dekat sini. Dekat sini... Leya dah simpan abang kan?" Hud lekapkan tangannya pada dada wanita itu. Keningnya terangkat. Cuba mencari jawapan. Azaleya mengangguk.

"Dan dekat sini..." Tangannya yang tadi berada pada dada Azaleya kini jatuh pada perut wanita itu.

"... ada hasil cinta kita." Dia berbisik halus di hadapan wajah isterinya sambil lakarkan senyuman.

Tanpa sedar hati Azaleya yang tadinya bergelojak dengan rasa gelisah kini sudah sedikit tenang. Dia tak mahu lelaki itu berangkat ke tempat kerja kerana hatinya gelisah tanpa sebab. Dia mula rasa tak sedap hati seakan-akan benda buruk akan terjadi dalam keluarga kecil mereka.

"Jangan risaukan abang. Risaukan diri awak tu lebih lagi. Jujurnya abang yang paling rasa risau sekarang ni. Isteri abang tengah bawa anak abang. Abang terlalu takut kalau Leya sakit. Macam mana kalau apa-apa jadi pada Leya dan waktu tu abang tak ada?" Pandangan Hud berubah redup. Kerisauan dia pada Azaleya semakin berganda lebih-lebih lagi setelah wanita itu berbadan dua.

"Leya akan jaga diri Leya untuk abang. Dan Leya... akan jaga anak kita untuk abang. Biar nanti bila dia dah lahir, dia boleh tengok wajah ayah dia yang hebat ni." Rahang tajam Hud diusap lembut. Hud mengangguk sambil tersenyum kecil.

"Sayang rasa anak kita lelaki ke perempuan?" soal Hud penuh tanda tanya. Bebola mata Azaleya bergerak ke atas seolah ingin memikirkan sesuatu.

"Perempuan." Azaleya sengih. Dia teringin sebenarnya nak ada anak perempuan. Ada juga geng.

"Kalau perempuan mesti dia ikut muka Leya. Kalau macam tu, ada lima anak perempuan pun abang tak kisah kalau semua ikut muka awak. Kalau rindu Leya, abang boleh tengok muka anak kita." Azaleya mencubit lengan suaminya. Ramai betul sampai lima orang. Ingat dia kilang anak ke?

"Kalau macam tu... Leya ubah fikiran lah. Leya nak lelaki. Kalau lelaki mesti dia akan ikut muka abang. Kening abang, hidung abang, lesung pipit abang, bibir abang, mata coklat abang. Semua turun ke anak kita. Kalau Leya rindu abang pun, Leya akan tengok muka anak kita. Biar dalam rumah ni ada dua orang Hud Rafael." Azaleya sengih membuatkan Hud juga tersengih. Geli hati mendengar kata-kata Azaleya. Gamaknya Azaleya tak puas nak pandang wajah dia sampaikan nak ada anak yang muka sebijik macam dia sendiri.

"Abang tak kisah anak kita lelaki atau perempuan, ikut muka Leya atau muka abang. Janji dia lahir dengan sihat. Itu pun dah cukup." Hud senyum. Ya, dia tak mengharapkan apa-apa sebenarnya. Asalkan nanti Azaleya dan anak itu selamat, itu pun dia dah cukup bersyukur.

𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐏𝐢𝐥𝐢𝐡𝐚𝐧 𝐃𝐢𝐚 | 𝐎𝐆Where stories live. Discover now