Bab 7

708 35 6
                                    

Sarapan pagi ini lebih tenang berbanding hari-hari sebelumnya, masing-masing diam dalam menjamah rezeki dengan penuh rasa syukur.

Anas hari ini pun baik, siap tersenyum lebar lagi. Teruja hendak ke taska menurut papanya. Tak menyempat tangan kecil itu jamah roti bakar elok-elok. Bahagian hangit pada roti dikikisnya menggunakan kuku, berterabur serpihan ke atas meja dan lantai. Ada-ada saja karenah dia.

Lambat pula ayah dan mama pergi kerja hari ini. Gara-gara itu May siap dapat jelingan maut dari Puan Amelia. Ini merupakan kali pertama mereka duduk sarapan bersama.

Mendengar bunyi motor yang baru singgah masing-masing memalingkan kepala ke arah pintu. Esra menjengah lalu melangkah mendekati meja makan.

"Es dah makan? Duduklah dulu." pelawa Tuan Omar ramah.

Tersengih lelaki lesung pipit itu. Dia geleng perlahan. "Es dah makan tadi ayah..." Tolaknya bernada sopan.

"Abang tunggu jap! Qadr ambik barang kat atas dulu!" bergegas remaja itu ke dapur untuk letak pinggan kotor lalu menuju ke bilik.

"Pak Ayub tak ada pagi ni, itu yang Ina call Es minta dia hantar Qadr ke sekolah." terang Mak Ina apabila perasan wajah pelik keluarga majikannya. Mungkin kerana ini kali pertama dia menggunakan khidmat Esra untuk menghantar Qadr ke sekolah.

Pak Ayub tak ada? Mana dia nak cekau driver pagi-pagi ni!

May gelisah sendirian. Dia pandang Esra yang berdiri di tepi kerusinya, cuba raih simpati.

Esra buat tak layan. Ikutkan arahan Mak Ina, hantarkan Qadr bukannya kakak Qadr. Dia kena patuhi masa agar hari ini dia tidak lewat lagi ke tempat kerja. Dia tahu mereka bergerak ke satu tempat kerja, tapi Esra rasa tiada manfaat pun kalau dia tumpangkan May. Daripada dia melayan celoteh entah apa-apa dari mulut May, baik dia tidak termakan langsung dengan mimik muka kasihan itu.

May cebik.

"May naik kereta dengan Kak Gia aje. Kan kita satu tempat kerja?" prihatin nada Gia menawarkan, dia faham interaksi bisu antara dua gerangan di hadapannya kini.

Manis sungguh senyuman isteri alongnya itu pada pandangan May. Lagi manis apabila menawarkan dia tumpangan.

Jimat duit grab! Rezeki jangan di tolak.

Hampir saja May lupa ada seorang lagi yang bekerja dibawah bumbung yang sama dengannya. May kembali pandang Esra dengan pandangan 'pergi mampos la kau'.

"May nanti luangkan juga masa ambik lesen, lulus saja ayah akan hadiahkan May kereta."

Lagi lah melebar senyuman May. Rezeki datang bertimpa-timpa buatnya pagi ini. Mesti rasa tak menyesal bernafas hari ini hehe...

"Baik sangat. Naik kepala lah budak tu nanti." perli Puan Amelia.

"Biar lah, May anak saya." sahut Tuan Omar bersahaja mengundang senyum mereka yang lain.

...

Sepanjang melangkah menuju ke lif, May dan Gia leka bersembang tanpa mempedulikan pandangan orang sekeliling. Pandangan itu lebih kepada May sebenarnya, mungkin kerana mereka tidak pernah melihat gadis itu sebelum ini.

Saat May dan kakak iparnya menapak masuk ke dalam bilik persalinan pekerja, semakin ramai yang berkerut dahi menatap keduanya bersilih-ganti. Ada juga yang berbisik seakan tertanya kehadiran orang baru itu.

"Akak tak tukar baju?"

Wanita berasal Filipina itu balas dengan senyuman serta gelengan kepala. Lumrah orang punya senyuman yang cantik, automatik raut wajahnya juga menjadi tarikan. Rasa tak puas ditatap hanya seketika. Malah apabila ramahnya Gia tidak kurang menyenangkan hati. Memang jadi pakej perempuan 'attractive'. Untung saja sudah berkeluarga, kalau tidak pasti menjadi rebutan para lelaki.

Mawar Terakhir | (COMPLETED)Where stories live. Discover now